Showing posts with label pelancong China. Show all posts
Showing posts with label pelancong China. Show all posts

Sunday, December 3, 2023

Ancaman wabak misteri di China, Malaysia tingkat pemantauan di pintu masuk negara

hmetro.com.my
Mahaizura Abd Malik
mahaizura@mediaprima.com.my
TIONG (tengah) ketika melancarkan gerai Jualan Batik Rahmah di Kompleks Kraf Tangan Kuala Lumpur. FOTO Hazreen Mohamad

Kuala Lumpur: Malaysia bersiap sedia dan meningkatkan pemantauan di pintu masuk utama negara bagi menerima kemasukan pelancong China meskipun timbul dakwaan mengenai kemunculan wabak misteri berkaitan penyakit pernafasan dan radang paru-paru di negara terbabit.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa mengawal ketat kemasukan pelancong asing termasuk dari China di semua pintu masuk utama negara bagi mengelak perkara tidak diingini seperti penularan penyakit.

Katanya, semua pintu masuk utama negara dilengkapi kelengkapan seperti kamera pengawasan dan mesin pengimbas suhu seperti yang dilaksanakan untuk saringan Covid-19.

"Itu memang KKM sudah buat pemantauan dan kawalan dan kita juga menyediakan semua seperti kamera dan kelengkapan yang sepatutnya.

"China pun sama mereka sudah menaik taraf semua kelengkapan diperlukan bagi mengawal sebarang situasi," katanya kepada media sempena Majlis Sambutan Hari Batik Malaysia 2023 di Kompleks Kraf di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan kewujudan wabak misteri baharu yang dikaitkan dengan sindrom White Lung sedang menular di China.

Mengulas lanjut, Tiong berkata, beliau meminta semua pihak tidak membuat spekulasi dan memutar belitkan isu berkenaan sehingga mencetuskan kebimbangan ramai.

Kebelakangan ini, laporan media antarabangsa mendakwa, China melaksanakan semula pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal selepas lonjakan kes berkaitan wabak misteri itu.

Wabak itu yang didakwa mengancam kanak-kanak, dikesan menular di China sejak pertengahan Oktober lalu hingga menimbulkan kebimbangan di seluruh dunia selain Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga memandang serius dakwaan itu.

Disiarkan pada: Disember 3, 2023 @ 4:14pm

Tuesday, January 3, 2023

Covid-19: Bersatu gesa k'jaan sekat kemasukan pelancong China

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jan 3, 2023 10:04 AM
Pemuda Bersatu (Armada) menggesa kerajaan menyekat kemasukan pelancong China buat sementara waktu berikutan lonjakan kes Covid-19 di negara itu.

Ketuanya, Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal berkata kerajaan perlu memantau perkembangan Covid-19 yang amat teruk di China seperti yang dilaporkan media-media antarabangsa.

"Tindakan tangkas dan tegas perlu segera diambil bagi mengelak penularan yang berlaku diluar jangka seperti mana yang telah berlaku pada 2020 yang lalu khususnya melibatkan pergerakan keluar-masuk manusia di semua pintu masuk sempadan negara.

"Pihak kerajaan mesti menghalang kemasukan pelancong dari China buat sementara waktu sehinggalah kes harian di China menurun," katanya dalam kenyataan.

Ahmad Fahysal berkata gesaan itu juga selari dengan gesaan Presiden Persatuan Pelancongan Malaysia, En Uzaidi Udanis bahawa Malaysia mesti mengambil pengajaran daripada gelombang pertama dan kedua Covid-19 yang meranapkan industri pelancongan negara.
"Kerajaan Malaysia wajib mengambil pengajaran daripada kesilapan kerajaan Pakatan Harapan pada Febuari 2020 yang lambat menyekat kemasukan pelancong daripada negara berisiko.

"Kesilapan kerajaan pada ketika itu mengakibatkan kematian ribuan rakyat dan kemusnahan ekonomi yang sampai sekarang masih belum pulih.

“Armada mahu kepentingan rakyat diutamakan berbanding hal-hal lain dalam soal ancaman Covid-19 yang terbaru kini," katanya.

Sebelum ini PAS turut meminta kerajaan agar menangguhkan kemasukan pelancong dari China buat sementara waktu, seperti yang dilakukan oleh beberapa negara lain.

Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam Khirudin mengingatkan kerajaan supaya waspada dengan penularan varian baru virus tersebut, memandangkan republik itu membenarkan rakyatnya mengembara dengan kes bilangan yang sedang melonjak.

Semalam Kementerian Kesihatan memaklumkan dua varian Covid-19 iaitu BA.5.2 dan BF.7 yang merangkumi kira-kira 80 peratus daripada varian yang menular di China ketika ini telah dikesan di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah berkata setakat 31 Dis lepas, terdapat sejumlah 4,148 kes di negara ini yang dijangkiti varian BA.5.2 dan tiga kes dijangkiti BF.7.

Bagaimanapun, dia berkata belum ada data yang dapat mengaitkan peningkatan bilangan kes kemudaratan atau kematian dengan kedua-dua varian.

Sunday, April 26, 2020

Tubuh RCI siasat pendatang China, Rohingya


 
Datuk Dr Ali Ibrahim - Gambar THE STAR ONLINE

PENDATANG asing yang masuk ke negara ini seperti tidak putus-putus menunjukkan Malaysia mempunyai sifat kemanusiaan terutama terhadap pelarian Rohingya.

Namun keadaan itu adalah amat membimbangkan lebih-lebih lagi berhubung isu 95 peratus pelancong China yang datang ke negara ini, tetapi tiada rekod keluar.

Justeru, penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dilihat sebagai keperluan bagi menyiasat kemasukan pendatang asing dan penyalahgunaan visa yang boleh menimbulkan ancaman nasional.

Hal berkenaan dinyatakan Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr. Ali Ibrahim selepas menyifatkan sempadan negara mudah dibolos serta manipulasi pemberian visa kepada pendatang.

Beliau berkata, masalah sedemikian melibatkan keselamatan negara berikutan pelbagai masalah berkaitan pendatang berlaku termasuk laporan Ketua Audit Negara itu.

“Malaysia Negara mudah dimasuki oleh sesiapa sahaja. Cara halal atau haram. Halal melalui permit pekerja asing atau visa on arrival. Haram melalui sempadan Thailand atau melalui laut dan sebagainya.

“Yang ramai dari China. Laporan kira kira 95 peratus pelancong yang datang ke Malaysia tidak ada rekod keluar balik ke Negara asal mereka. Bukankah ini amat serius,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Ibrahim, sifat kemanusiaan yang ditunjukkan negara sepatutnya bukan menjadi alasan untuk terus menerima pelarian.

Menurutnya, penerimaan ‘tetamu tak diundang’ itu bakal membawa bencana kepada negara kerana mereka masuk secara tidak sah dan melanggar undang-undang.

“Dulu ditimang-timang, sekarang dikecam pula. Kedatangan Rohingya ke Malaysia samalah dengan kedatangan bangsa lain seperti China, India, Bangladesh, Myanmar, Filipina, Indonesia dan termasuk benua Afrika sebelum ini.

“Masalah keselamatan, sosial serta berbagai ancaman termasuk ekonomi negara dan perbelanjaan yang banyak. Sudah lama berlaku seperti ‘kera di hutan di susukan, anak sendiri mati kelaparan’,” tegasnya.

Terdahulu Tentera Udara Diraja Malaysia berjaya memintas sebuah bot yang membawa 200 pelarian Rohingya daripada memasuki perairan negara berhampiran Pulau Langkawi, Kedah.

Walau bagaimanapun, tindakan sedemikian mendapat kecaman rakyat Malaysia wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa.

NGO tidah sah seperti Pertubuhan Hak Asasi Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (Mehrom) turut mengecam tindakan tersebut.

Sementara itu, rakyat Malaysia menerusi media sosial menyatakan bantahan terhadap pelarian Rohingya selepas mendapati masalah sosial yang ditimbulkan mereka di negara ini. 

– SM

Monday, March 2, 2020

Batal visa pendatang China dan India, desak Pas

MALAYSIADATELINE
March 2, 2020 1:30 pm

Belum lagi pembentukan Kabinet berjalan Pas membuat desakan pertama, batalkan visa pelancong China dan India.

Ini kerana, kata beliau, ada lambakan berlebihan pelancong dan pendatang dari kedua-dua negara itu.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata perkara utama yang perlu diselesaikan adalah penyelesaian isu lebih 95 peratus pelancong China dan India yang tiada rekod tarikh keluar antara 2016 hingga 2018.

Jumlah sebenar yang didedahkan oleh Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) ialah melebihi 115,000 orang.

Pas yang merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2 juga mendapati kira-kira 1.26 juta warga China dan 296,000 warga India sedang diproses secara manual di bawah MyIMMs.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, keselamatan negara harus diutamakan ketika masih banyak isu seperti sindiket penjualan dan pemalsuan MyKad, tangkapan hampir 1,000 warga China yang terbabit dengan ‘scam online’, penurunan had ambang pemilikan hartanah warga asing dan lambakan pendatang asing tanpa izin.

Tegasnya, parti itu mahu kerajaan tidak berkompromi dan mengambil mudah dengan kemasukan warga asing di negara ini.

Berita penuh https://malaysiadateline.com/batal-visa-pendatang-china-dan-india-desak-pas/

Wednesday, January 29, 2020

Koronavirus: 1 grup WhatsApp, 4 akaun Facebook disiasat

BERITA

Satu kumpulan sembang WhatsApp dan tiga akaun Facebook sedang disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana disyaki menyebarkan khabar angin dan berita tidak sahih berhubung penularan wabak novel koronavirus (2019-nCoV).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed, berkata isu penyakit 2019-nCoV itu - yang berpunca dari Wuhan di wilayah Hubei, China - menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Katanya, orang ramai tidak perlu menjadi jaguh di internet atau mensensasikan isu itu sebaliknya menghentikan sebarang bentuk penyebaran berita, artikel atau kenyataan yang tidak sahih mengenai wabak tersebut.

"Tindakan mana-mana pihak yang ingin menjadi jaguh di internet mahupun di laman sosial dengan menyebarkan berita tidak sahih mengenai isu ini akan mengakibatkan siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588)," katanya.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Huzir berkata, kes pertama yang disiasat ialah pada 24 Jan lalu membabitkan sebuah kumpulan WhatsApp yang menularkan berita palsu kononnya ada banduan mati mengejut di Penjara Sandakan kerana virus dari Wuhan itu.

Menurut Huzir, maklumat berkenaan boleh menggugat ketenteranan awam serta menimbulkan ketakutan masyarakat.

"Sehubungan itu satu siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.

Dakwa pelancong mati dalam bas

Menurut Huzir kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta 588 yang menyediakan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.

Kes kedua yang disiasat, kata Huzir, membabitkan akaun menggunakan nama Kong Tuck Wah, yang menularkan maklumat mengenai 2019-nCoV.

Katanya, kes itu disiasat mengikut 203 (A) Kanun Keseksaan yang menyediakan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Satu lagi siasatan pula dibuka untuk akan Facebook menggunakan nama Ibu Yati kerana dianggap boleh menggugat ketenteraman awam.

Kata Huzir ia disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

Melalui tangkap layar yang disertakan itu, akaun terbabit didapati memaparkan ayat: "Pagi tadi berita kata 1000 org China baru tiba di Penang... agaknya klu (kalau) LGE kena baru darurat ke?"

Satu lagi kes membabitkan akaun Facebook Roti Sardeen yang menyiarkan dakwaan ada pelancong China mati dalam bas berhampiran Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Kes kelima pula melibatkan akaun dikenali sebagai Ali Dapicey yang membuat hantaran dalam Facebook Gabungan Anak Terengganu kononnya ada lima suspek koronavirus baru pulang dari Wuhan ditahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Semua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, selain Seksyen 233 Akta 588 membabitkan kesalahan menggunakan kemudahan rangkaian secara tidak wajar.

Seksyen 233 Akta 588 memperuntukkan hukuman denda RM100,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Sunday, January 26, 2020

Koronavirus: Jangan Halang Kedatangan Pelancong China Ke Malaysia – Dr Mahathir



KUALA LUMPUR – Tiada rancangan untuk melarang pelancong China memasuki negara ini buat masa ini susulan merebaknya wabak koronavirus di Wuhan, China, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, buat masa sekarang kerajaan hanya akan menjalankan saringan ke atas penumpang dan pelancong yang tiba di negara ini.

“Jangan halang mereka. Kita akan periksa mereka (pelancong), dengan memeriksa (mereka) ia akan membolehkan kita mengesan (sebarang tanda virus itu) pada peringkat awal,” katanya pada persidangan akhbar selepas menghadiri sambutan Tahun Baru Cina di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di sini hari ini.

Hari ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan tiga daripada lapan warga China yang dikuarantin di Johor Bahru positif koronavirus atau disebut juga Wuhan koronaviru.

Ketiga-tiga pesakit itu, yang diasingkan dan dirawat di Hospital Sungai Buloh adalah keluarga rapat kepada seorang lelaki warga China berumur 66 tahun dari Wuhan, yang tiba di Singapuara pada 20 Januari dan disahkan pada 23 Januari sebagai kes pertama Singapura dengan individu yang sah positif mengalami virus itu.

Ketiga-tiga kes positif itu di Malaysia terdiri daripada isteri pesakit di Singapura, 65, dan dua cucu pasangan berkenaan.

Ketika ditanya jika kerajaan akan mengkaji semula pengecualian visa 15 hari bagi pelancong dari China sekiranya wabak itu bertambah buruk, Dr Mahathir berkata, kerajaan tidak akan berbuat demikian pada masa sekarang.

“Pada masa sekarang belum lagi tetapi kita akan memeriksa semua pelancong yang datang ke sini terutama mereka dari China,” katanya.

Mengulas mengenai tiga warga China yang disahkan positif koronavirus, Dr Mahathir berkata, rakyat Malaysia perlu terus berjaga-jaga dan memakai topeng mulut dan hidung bila berada di kawasan ramai orang.

Beliau berkata, adalah sukar untuk sesebuah kerajaan mengekang penularan wabak tertentu terutamanya dalam situasi dunia kini di mana manusia dan barangan dengan mudah bergerak dari satu negara ke negara lain.

“Oleh itu, membendung daripada jangkitan penyakit adalah lebih rumit daripada dulu,” katanya.

 – Bernama

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-