Showing posts with label pemuda AMANAH. Show all posts
Showing posts with label pemuda AMANAH. Show all posts

Friday, February 14, 2025

Berhentilah beri cadangan pelik, kata Pemuda Amanah P Pinang

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 14, 2025 8:59 AM
Pemuda Amanah Pulau Pinang berpendapat, memang tiada keperluan untuk kerajaan mewujudkan portfolio khas dalam kabinet bagi mengelola hal-ehwal agama bukan Islam.

Pengarah komunikasinya, Abrar Sadiq, berkata negara sudah memiliki mekanisme yang mencukup bagi menguruskan aspek keharmonian dan kebebasan beragama rakkyat Malaysia.

Langkah mewujudkan portfolio tersebut juga, katanya, boleh memberi implikasi besar kepada kewangan negara.

“Justeru adalah lebih baik wakil-wakil rakyat DAP berhenti daripada mengemukakan cadangan-cadangan pelik sebaliknya memberikan fokus untuk membina negara bersama.

“Cukup-cukuplah memberi ruang kepada pembangkang seperti PAS untuk menjadikan cadangan seperti itu sebagai modal perkauman mereka,” katanya dalam kenyataan media.

Baru-baru ini Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, menyarankan agar diwujudkan satu lagi jawatan menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi mengelola urusan penganut agama selain Islam.

Untuk rekod ketika ini salah seorang menteri di JPM bertanggungjawab dalam urusan pentadbiran Islam.

Ada di peringkat negeri

Menurut Chow, langkah itu dicadangkan agar isu keharmonian serta perpaduan negara dapat dibincangkan denngan lebih berkesan, selain dapat mengelak sesuatu kontroversi.

Ia mendapat kecaman daripada PAS apabila ketua dewan ulama parti itu, Ahmad Yahaya, menganggap saranan tersebut adalah usaha terancang DAP untuk meletakkan Islam setara dengan agama lain di Malaysia.

Ahmad juga menyelar Chow sebagai gagal memahami prinsip perlembagaan negara.

Umno juga menyelar cadangan berkenaan dan menganggap tiada keperluan jawatan menteri baru diwujudkan. Sebaliknya, kata parti itu, bagi menangani isu yang dibangkitkan Chow, Kementerian Perpaduan Negara perlu menjalankan tugasnya dengan berkesan.
Chow Yu Hui
Seorang ahli parlimen PKR pula mengingatkan portfolio berkaitan agama bukan Islam wujud dalam pentadbiran negeri, termasuk di Kedah yang diterajui pemimpin kanan PAS serta Selangor.

Kata Sim Tze Tzin, sikap ditunjukkan PAS adalah hipokrit apabila tidak membantah portfolio exco tersebut di Selangor ketika parti berkenaan menjadi sebahagian daripada kerajaan Pakatan Rakyat.

Menurut Ahli Parlimen Bayan Baru itu, Selangor memiliki exco yang mengelola hal ehwal agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme.

“Ada exco yang memegang portfolio tersebut.

"Parti PAS menganggotai kerajaan Selangor selama 10 tahun dari 2008 hingga 2018. Portfolio agama bukan Islam tidak pernah menjadi isu.

“Islam terus dimartabatkan di Selangor. Hal ehwal agama bukan Islam diberi hak seperti termaktub dalam perlembagaan negeri. Kenapa sekarang menjadi isu?

“PAS buat boleh, orang lain buat tak boleh. Adakah ini satu hipokrasi,” katanya semalam
Sim Tze Tzin
Menurut Abrar, Malaysia wajar bergerak ke hadapan dengan memberikan tumpuan kepada aspek pembangunan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Kita tak perlu bergerak ke hadapan dengan mencetuskan isu yang boleh mencabar sensitiviti masyarakat,” katanya.

Friday, January 24, 2025

Pemuda Amanah akui sukar saingi PAS

malaysiakini.com
Shakira Buang
Diterbitkan: Jan 24, 2025 4:49 PM
Pemuda Amanah mengakui kekuatan PAS dan kesukaran bersaing dengan parti itu.

Ketua Pemuda Amanah Mohd Hasbie Muda berkata lebih-lebih lagi dengan kewujudan PAS lebih 60 tahun.

“Kita kalau nak lawan dengan PAS melalui berapa banyak ceramah agama ataupun menguasai masjid dan surau, memang susah nak lawan sebab mereka dah wujud lebih 60 tahun.

“Kita nak lawan dengan ceramah berapi-api, dengan penubuhan Pasti (Pusat Asuhan Tunas Islam) yang banyak di seluruh negara, mungkin sukar.

“Nak lawan dengan Unit Amal pun mungkin sukar,” katanya ketika berucap dalam Konvensyen Pemuda Amanah Nasional sesi 2024 di Klang, hari ini.

Bagaimanapun, Senator Dewan Negara itu berkata sayap Pemuda Amanah perlu kekal bersemangat dan bergantung kepada kekuatan sedia ada.

Memetik kisah dongeng Sang Kura-kura dengan Sang Arnab, Mohd Hasbie berkata banyak yang boleh dipelajari sayap parti itu.
“Kita biasa dengar kisah kura-kura dengan arnab yang mana arnab yang angkuh dikalahkan kura-kura dalam satu perlawanan. Sebenarnya dia ada tiga perlawanan, dalam perlawanan kedua, arnab minta ulang semula perlawanan itu kerana dia tertidur sebelum ini.

“Jadi, dia buat perlawanan kedua dan arnab menang sebab arnab dan ambil pengajaran dari perlawanan sebelum ini. Jadi, kura-kura ini berfikir, aku kalau lawan dengan arnab sampai bila-bila pun tak menang.

“Jadi, dia berunding dengan arnab dia kata kalau lumba lari memang arnab akan menang sebab dari segi fizikal yang diberi oleh Allah SWT boleh melompat dan sebagainya. Jadi, kita kena adil, perlawanan seterusnya mesti melibatkan kedua-dua lapangan. Kura-kura mahu berlari atas tanah dan kemudian berenang dalam air. Baru adil. Arnab pun setuju, ketika berlari di darat memang arnab menanglah tetapi bila nak berenang arnab tak menguasai dan kura-kura walaupun tak laju dia boleh berenang dan akhirnya kura-kura menang,” katanya.

Kata Hasbie, Pemuda Amanah perlu mengambil iktibar kisah itu dan menumpukan kepada kekuatan mereka.

“Kita tak perlu fikir untuk lawan siapa lebih banyak tadika Pasti, kita tak perlu fikir untuk orang lebih besar tetapi kita mesti fokus kepada kekuatan yang kita ada.

“Amanah ada kekuatan bersama dengan rakan-rakan dalam PH. Jadi, kita harus fokus kepada kekuatan kita, barulah perlawanan itu kita boleh menang. Insya-Allah,”katanya.

Jadi benteng perpaduan

Sementara itu, dalam perkembangan lain Hasbie menjangkakan pilihan raya negeri (PRN) Sabah akan diadakan pada penghujung tahun 2025, manakala pilihan raya umum (PRU) ke-16 lebih awal berbanding tempoh luputnya pada tahun 2027.

Katanya, menuju kedua-dua pilihan raya tersebut parti itu berdepan dengan cabaran khususnya daripada Perikatan Nasional (PN).

“PN akan terus menggunakan isu ancaman Melayu dan umat Islam untuk menghasut rakyat menolak kerajaan perpaduan. Mereka tidak ada modal dari sudut integriti atau pentadbiran sebaliknya merekayasa fitnah menggunakan sentimen perkauman melampau dan keagamaan,” katanya.
Disebabkan itu, Hasbie menggesa sayap Pemuda parti itu untuk tidak berlengah dan segera bertindak melaporkan fitnah yang dilemparkan PN.

“Saya harap Pemuda Amanah tak perlu tunggu arahan (parti), kalau ada saja kenyataan yang menimbulkan fitnah daripada kepimpinan PN, buat laporan polis. Jangan berlengah, sebab mereka sekarang ini nak cabar kerajaan melalui idea ekonomi yang lebih baik mereka tidak ada, apa yang mereka ada adalah membakar dan membakar.

“Sebab itu bila timbul satu fitnah, terus buat laporan polis supaya mereka letih dengan laporan polis itu.

“Kita jangan biarkan, sebelum ini banyak yang kita biarkan dan mereka terus-menerus melakukan (kenyataan fitnah),” katanya.

Tegas Hasbie, sayap parti itu perlu lebih tegas khusunya dalam terus menyakinkan rakyat bahawa kerajaan PH-BN adalah parti gabungan terbaik.

“Kita mesti terus meyakinkan rakyat bahawa PH adalah gabungan terbaik bersama dengan rakan-rakan kerajaan Perpaduan yang bukan hanya boleh mentadbir negara kita dengan baik tetapi dapat menjamin hak dan keistimewaan orang Melayu,” tambahnya.

Selain itu, Hasbie berkata sayap Pemuda Amanah juga perlu menjadi benteng dalam mempertahankan perpaduan nasional.

“Dalam dunia hari ini tidak sunyi dengan isu-isu yang mencabar perpaduan. Isu 3R (raja, kaum, agama) akan terus dimainkan dan mereka akan terus melaga-lagakan rakyat, menanam prejudis di kalangan segmen masyarakat yang berbeza. Pemuda mesti jadi benteng yang mempertahankan perpaduan nasional .

“Kita bertanggungjawab untuk terus mendidik masyarakat khususnya generasi muda tentang pentingnya menolak politik kebencian dan beralih kepada naratif keadilan dan keharmonian

"Kita juga mesti bertegas bahawa mempertahankan hak istimewa orang Melayu dan kedudukan Islam dalam Perlembagaan tidak pernah bercanggah dengan prinsip keadilan kepada semua dan kita juga percaya bahawa keadilan bukan tentang memberikan keistimewaan kepada satu pihak sahaja tetapi memberikan hak kepada semua pihak berdasarkan keperluan dan situasi,” tegasnya.

Tuesday, June 26, 2018

Pemuda AMANAH turut kesal polemik bahasa


Pemuda AMANAH hari ini turut melahirkan rasa kesal terhadap tindakan kementerian kewangan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam Bahasa Mandarin.

Ketuanya Mohd Sany Hamzan berkata, bahasa Melayu merupakan bahasa mewakili seluruh rakyat Malaysia dan ia menjadi bahasa rasmi yang digunapakai untuk setiap urusan rasmi kerajaan.

"Pemuda AMANAH Nasional turut bertanggungjawab melahirkan rasa kesal terhadap polemik yang sedang berlaku melibatkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

"Bagi kami, mana-mana kementerian hanya perlu mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mereka di dalam Bahasa Melayu sahaja seperti yang dipraktikkan sebelum ini kerana ia mewakili keseluruhan kaum di dalam negara ini.

"Ia sewajarnya menjadi ketetapan dan prosedur yang perlu dipatuhi oleh semua pihak terutama kementerian dan agensi yang bernaung di bawah kerajaan," jelasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya manifesto Pakatan Harapan sebelum ini menegaskan Bahasa Melayu perlu dimartabatkan sejajar dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan memperluaskannya sebagai bahasa ilmu dan lingua franca serantau.

"Penegasan itu adalah bukti komitmen kerajaan persekutuan yang baru ini untuk mengangkat semangat perpaduan dan mengiktiraf keagungan Bahasa Melayu di dalam negara ini," tegasnya.

Katanya, kecuaian yang berlaku tidak sewajarnya dipertahankan mana-mana pihak kerana ia tidak membawa semangat yang dibawa oleh kerajaan persekutuan dalam membawa Malaysia Baru.

"Pemuda AMANAH Nasional mengharapkan agar seluruh pimpinan dan parti pemerintah mendukung komitmen untuk membina Malaysia Baru yang benar-benar baru," tegasnya.

[Berita penuh menyusul]

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-