Showing posts with label wali. Show all posts
Showing posts with label wali. Show all posts

Monday, June 5, 2023

BN cadang guna WALI pilih calon PRN

bebasnews.my
By Editor
-05/06/2023
KUALA LUMPUR — Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan menggunakan konsep ‘WALI’ bagi memilih calon pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata tidak mustahil elemen WALI yang didasari oleh BN akan turut digunakan dalam pemilihan calon PRN yang merujuk kepada boleh menang (winnable), diterima (acceptable) dan disukai (likeable).

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, berkata konsep itu sesuai digunakan dalam PRN akan datang.

“Kita akan menggunakan prinsip yang sama iaitu calon ‘WALI’ atau ‘winnable’, ‘acceptable’ dan ‘likeable’.

Tiga elemen ini penting untuk PRN enam negeri ini walaupun hanya membabitkan negeri tetapi ia adalah manifestasi untuk penerimaan pengundi kepada kerajaan Malaysia Madani hari ini.

“Saya fikir sesuai untuk semua calon dalam Kerajaan Perpaduan ini,” katanya selepas majlis perasmian bangunan baharu UMNO Bahagian Batu, di sini malam tadi.

Ahmad Zahid berkata, UMNO sudah mengumpulkan hasil perbincangan di antara pengerusi-pengerusi parti gabungan Kerajaan Perpaduan untuk memuktamadkan pemilihan calon.

“Insya-Allah sebelum pembubaran, kita akan memuktamadkan pemilihan calon ini dan selepas pembubaran kita akan menentukan calon dari parti masing-masing,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Ahmad Zahid berkata ahli dan pemimpin UMNO perlu istiqamah dalam perjuangan untuk memantapkan parti walaupun pemimpin boleh datang dan pergi.

Katanya, setiap pemimpin perlu istiqamah dalam perjuangan mempertahankan parti untuk ia berdaya tahan demi kesinambungan kepimpinan.

“Pemimpin akan datang dan pergi tetapi UMNO perlu diperkukuhkan bukan sahaja di bahagian Batu, tetapi di seluruh negara. Paling penting adalah untuk kepimpinan lama bekerjasama (dengan kepimpinan baharu) memperkukuhkan UMNO,” katanya.

Tuesday, October 4, 2022

PRU15: Calon UMNO Mesti Penuhi Ciri “W A L I”

mykmu.net
04/10/2022

PRU15: Calon UMNO Mesti Penuhi Ciri “W A L I”

Calon UMNO yang bertanding dengan tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu memenuhi kriteria “WALI” — “winnability” (boleh menang), “acceptibility” (kebolehterimaan) dan “likeability” (disenangi), kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, setiap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dikehendaki mengemukakan senarai calon kepada “Top Five” UMNO dan proses rundingan bagi pemilihan calon UMNO akan bermula Isnin depan.

“Siapa sahaja yang memenuhi kriteria ini (WALI) akan menjadi calon UMNO yang mewakili BN, tiada kluster-kluster,” katanya dalam sidang media selepas perjumpaan bersama lebih 700 perwakilan bahagian dan sayap melibatkan 191 bahagian UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Dalam pertemuan lebih sejam itu yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO, Ahmad Zahid berkata, ia antara amanat yang disampaikannya dalam perjumpaan bersama pimpinan UMNO bahagian itu hari ini, selain kesiapsiagaan parti itu bagi menghadapi PRU15.

Mengulas kritikan terhadap pendirian UMNO untuk mengadakan PRU15 dalam tahun ini, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, UMNO komited pilihan raya itu perlu dilaksanakan sebelum musim banjir.

“Kita hargai bantahan kerana mereka tak bersama dalam komponen BN, maka mereka juga perlu menghormati pendirian yang ada pada UMNO…PRU15 wajib diadakan tahun ini,” katanya.

Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada 30 September lepas memutuskan supaya PRU15 diadakan pada tahun ini dan susulan itu, Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

Mengenai cadangan mempersembahkan pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong oleh Perdana Menteri (PM), Ahmad Zahid berkata, parti tidak mempunyai kuasa untuk menentukannya sebaliknya terpulang kepada perbincangan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.

“PM mempunyai kuasa mutlak setelah mendapat mandat daripada Jemaah Menteri untuk menghadap Agong dan menasihati Agong bagi penentuan tarikh pembubaran Parlimen.

“Kita menghormati kuasa PM. Bila pun, kita menghormati, seboleh-bolehnya (kalau boleh) semalam (mahu PM menghadap Agong),” katanya.

 – BERNAMA

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-