Tuesday, April 28, 2015

Macam betul telahan, BN bertanding pasti akan kecoh

KHAIRIL ABDUL RAHIM

BENARLAH seperti telahan umum sebelum ini, suasana politik negara akan lebih aman sekiranya tanpa penyertaan Barisan Nasional (BN) dan Umno bertanding dalam mana-mana pilihan raya terutama pilihan raya kecil (PRK).

Ini terbukti pada PRK Dun Chempaka di Kelantan pada 22 Mac lalu dan Dun Penanti di Pulau Pinang pada 31 Mei 2009. Di mana apabila kedua-dua PRK tersebut tidak disertai BN, tiada insiden ‘panas’ sehingga mendapat pujian daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Namun dalam kempen yang sedang berlangsung di PRK Rompin kali ini dalam pertembungan satu lawan satu antara calon PAS, Ustaz Nazri Ahmad dengan wakil BN Datuk Hasan Arifin, lain pula suasananya.

Dalam kejadian kira-kira jam tiga awal pagi kelmarin, dua petugas di bilik gerakan PAS Dun Tioman di Bandar Rompin telah cedera di serang dalam bangunan oleh dua orang suspek yang sudahpun ditahan.

Menurut laporan Bernama, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani telah mengesahkan dua suspek yang berumur 41 dan 46 tahun itu, disah positif ganja selepas saringan ujian air kencing dilakukan terhadap kedua-dua mereka.

Polis kini sedang mendapatkan perintah mahkamah bagi menahan reman mereka bagi membantu siasatan, katanya pada sidang media semalam.

Kedua-dua mereka disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut, dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya kerana penyalahgunaan dadah.

PAS sudah amat matang dan berpengalaman menghadapi suasana provokasi penyokong parti pemerintah sepanjang setengah abad yang lalu.

Kemuncaknya ialah pada PRK Padang Terap di Kedah pada tahun 1985. Tercatat dalam sejarah di Felda Lubuk Merbau seorang petugas jentera pilihan raya PAS (Allahyarham Osman Talib) telah terkorban dan lima yang lain cedera apabila diserang dengan senjata tajam oleh penyokong parti pemerintah.

Peristiwa hitam seperti itu sudah tentulah tidak elok diulang sebut kerana boleh memberi gambaran negatif terhadap politik kepada generasi muda. Namun setelah berpuluh-puluh tahun berlalu, perubahan dan kematangan berpolitik rakyat negara ini, belum berubah.

Apakah politik seperti ini yang mahu diwariskan kepada generasi akan datang?

Itu belum lagi diambil kira bagaimana jentera kerajaan dimanipulasikan sewenang-wenangnya untuk kepentingan parti pemerintah dan sekaligus mewujudkan padang permainan yang tidak rata.

Bayangkan di Rompin, semua agensi kerajaan seperti Felda, Risda dan sebagainya yang tiba-tiba mengadakan program untuk penduduk. Jabatan Kerja Raya pula tiba-tiba bertungkus-lumus menampal jalan tar yang menurut penduduk setempat, telah bertahun-tahun terbiar rosak.

Begitu juga dengan projek-projek ‘mi segera’ yang lain. Seolah-olah janji yang sudah ditabur bertahun-tahun mahu diselesaikan dalam tempoh beberapa hari kempen ini.

Menteri-menteri yang selama ini hanya dapat ditonton di televisyen, bagaikan bermimpi dapat dilihat duduk ‘berselepot’ dalam rumah pengundi atau ‘mengeteh’ di warung kecil di kampung-kampung.

Banyak lagi perkara luar biasa yang berlaku. Cuma kita juga sudah terdengar-dengar kalimat yang tidak elok seperti ini, ‘jika mahukan pembangunan tunggulah wakil rakyatnya mati’.- HARAKAHDAILY

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-