Saturday, May 30, 2015

DAP jangan riak -- Mat Sabu

Mat Sabu ingatkan DAP jangan terlalu riak kerana parti itu hanya menguasai Pulau Pinang sahaja. - Foto fail TRP

TUMPAT, 30 Mei:

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menempelak tuduhan sesetengah pihak yang mengatakan PAS hanya menjadi alat kepada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila sehingga kini masih kekal di dalam Pakatan Rakyat (PR).

Dalam ceramahnya di pekan Tumpat berkaitan Isu 1MDB dan GST malam tadi, Mat Sabu dengan lantangnya turut memberitahu DAP jangan terlalu riak kerana parti itu hanya menguasai Pulau Pinang sahaja.

Di hadapan kira kira 1,000 penyokong PAS, beliau berkata, apabila PAS sudah menang di Perlis, Kedah, Terengganu, Kelantan, Pahang dan Johor barulah orang ramai akan nampak PKR dan DAP itulah sebenarnya yang jadi `barua’ PAS.

“Yang tinggal cuma kita tak menang lagi sebab itulah tuan-tuan nampak seolah-olah PAS jadi alat.

“Saya nak guna istilah kasar sikit malam ni…bila kita menang barulah tuan-tuan nampak Keadilan (PKR), DAP `barua’ PAS. Bolehkah DAP perintah Kelantan? Tak mungkin. Perintah Terengganu? Bertanding pun tidak…jadi kenapa takut sangat dengan DAP,” katanya.

Hadir sama sebagai penceramah malam tadi adalah calon yang akan menentang Presiden PAS pada Muktamar Agung PAS bulan hadapan, bekas Naib Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang; Ahli Parlimen Bukit Bendera dari DAP, Zainul Khir Johari; Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar dan Adun Kelaboran, Zaki Ibrahim.

Mat Sabu menjelaskan itu adalah kebijaksanaan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang meletakkan PAS banyak bertanding di negeri.

“Harapan kita ialah agar PAS tidak lari daripada dasar, matlamat hingga terlaksananya syariah.

“Mengambil contoh Pergerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir yang sebelum itu menang 52 peratus sehingga berjaya menguasai pemerintahan.

“Bagaimanapun disebabkan terlalu cepat mahu meminda undang-undang banyak rakan lain yang selama ini menyokong, mula menentang mereka. Dalam soal ini kadang-kadang kesilapan politik boleh membawa kemusnahan.

“Saya juga berharap kita jangan terbabit dalam isu kafir mengkafir sesama sendiri kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada PAS, pakatan dan negara. Apabila berterusan kita tidak tahu puak mana yang betul atau salah,” katanya.

Katanya PAS banyak bertanding di negeri (Dewan Undangan Negeri) sebab sekiranya menang pelaksanaan syariah bergantung kepada jumlah DUN yang dimenangi nanti.

“Ertinya sekiranya PR menang nanti seperti di Johor, Melaka, Perak, Selangor maka PAS lah yang akan menguasai negeri terbabit.

“Bayangkan pada masa hadapan PAS menguasai tujuh negeri manakala DAP hanya berkuasa di Pulau Pinang Sahaja,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad menjelaskan perbuatan mengkafirkan seseorang atau mana-mana pihak amat bahaya khususnya dalam jemaah Islam.

Katanya mereka ini kemungkinan terpengaruh dengan mana mana kumpulan atau pergerakan di tempat mereka menuntut ilmu dahulu ataupun terpengaruh dengan pihak yang sengaja mahu pecah belahkan parti termasuk parti lawan.

Mengulas mengenai serangan ke atas Abdul Hadi khususnya daripada DAP, Ahmad berkata, biasalah kalau hari ini DAP serang Hadi maka dengan sendirinya harapan orang yang-orang yang ingin bertanding iaitu yang proPakatan dan proPAS akan terkesan.

“Bagi saya dalam PR ada tiga pemimpin hebat. Dalam pimpinan kena sentiasa berbincang cuma yang jadi masalahnya ialah ada pihak yang tak nak berbincang, maka itulah yang jadi masalahnya,” katanya tanpa mahu mengulas lanjut.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-