Monday, July 27, 2015

Ahli GHB dicabar isytihar keluar PAS, tak perlu tunggu 16 September - Naib Presiden PAS

Mohd Amar menegaskan, sekiranya mereka yakin tidak 'jatuh talak', maka isytiharkan keluar PAS daripada mengkritik dan merendah-rendahkan parti sendiri. - Foto arkib TRP/ Mokhsin Zamani

KOTA BHARU, 27 Julai:

Ahli PAS yang beria-ia mahu menubuhkan Gerakan Harapan Baru (GHB) diminta bersikap `gentleman’ dan jangan mencerca serta menghina parti terbabit daripada dalaman.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah juga menegaskan, sekiranya mereka yakin tidak ‘jatuh talak’, maka isytiharkan keluar PAS daripada mengkritik dan merendah-rendahkan parti sendiri.

Beliau berkata, kumpulan terbabit tidak perlu mengutuk PAS, sekiranya menganggap parti itu sudah tidak boleh diperbaiki.

“Jikalau yakin dengan hujah mereka…isytiharkan keluar PAS. Kenapa perlu tunggu 16 September…kalau mati sebelum tarikh itu macam mana? Kenapa masih di dalam PAS, tetapi mengkritik. Mereka ini tidak perlu berdolak-dalik dan kalau tidak lagi mahu bersama, isytiharkan keluar. Kita bukannya mahu menghalau.

“Perbuatan terbabit (mengkritik dan merendah-rendahkan parti) bercanggah dengan peraturan parti. Perbuatan seperti ini boleh dikenakan tindakan, sekiranya ada aduan daripada ahli PAS cawangan, kawasan atau negeri,” katanya kepada The Rakyat Post.

Jelasnya, begitu juga dengan isu bai’ah, kalau ada yang mengatakan bai’ah tidak ‘mengikat’ mereka, isytiharkan keluar parti.

“Setahu saya, bai’ah ini wujud di seluruh negara, tetapi bai’ah berkaitan taklik ini hanya ditambah di Kelantan oleh Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat.

“Arwah Nik Aziz adalah seorang yang menepati ciri-ciri seorang mufti dan soal itu tidak perlu dipertikaikan.

“Jadi, pandangan beliau adalah sesuai di negeri ini…begitu juga pandangan-pandangan ulama di sebelah luar, tetapi di sini, kita menggunakan pandangan kita sendiri,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS memberitahu, tindakan menggantung atau memecat keahlian boleh dikenakan, bergantung sejauh mana kesalahan yang dilakukan.

Namun begitu, katanya, setakat ini, belum ada aduan rasmi diterima Jawatankuasa Disiplin PAS berkaitan perbuatan sesetengah pemimpin itu.

“Meskipun tiada aduan rasmi diterima setakat ini, namun kita yakin lama-kelamaan, apabila ahli sudah tidak tahan dengan gelagat sesetengah pemimpin ini, mungkin ada yang tampil membuat aduan,” katanya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/07/27/ahli-ghb-dicabar-isytihar-keluar-pas-tak-perlu-tunggu-16-september-naib-presiden-pas/#ixzz3h133qMyH

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-