Saturday, July 18, 2015

'Melayu terulung' konsep perjuangan PAS bersama Umno?

oleh Rizuan Shamsudin

Konsep ‘The Great Malays’ atau Melayu Terulung kini seperti menjadi dasar perjuangan dua parti Melayu terbesar, Umno dan Pas.

Suatu ketika dahulu hanya Umno yang terkenal dengan konsep Ketuanan Melayunya. Konsep ini meletakkan Melayu sebagai bangsa kelas pertama dan selain Melayu pula sebagai bangsa kelas kedua. Sebagai bangsa kelas pertama, Melayu diperuntukkan kuota dalam pelbagai bidang, antaranya pendidikan. Sistem kuota ini membantu orang Melayu untuk masuk ke universiti, yang merupakan satu perkara yang amat jarang berlaku beberapa dekad yang lalu, atas pelbagai sebab.

Namun hanya dalam dekad 1950 – 1970-an Umno jujur melaksanakan agenda perjuangan Melayu. Mulai tahun 1980-an, apabila Dr Mahathir menjadi perdana menteri, perjuangan Melayu mula terpesong jauh. Umno di bawah Mahathir pada ketika itu hanya berminat untuk melahirkan golongan kapitalis Melayu.

Kapitalis Melayu

Para pemodal ini kebanyakannya adalah pemimpin Umno dan kaum kerabat mereka yang diberi laluan mudah menguasai ekonomi. Mereka mendapat ‘pink form’ iaitu saham bernilai tinggi secara kuota. Untuk membeli saham pula diberi pinjaman mudah.

Pada tahun 2010, dalam jawapan di Dewan Rakyat, Menteri Kewangan Najib Razak mengakui bahawa daripada RM54 bilion saham yang diperuntukkan kepada Melayu, hanya RM2 bilion yang masih dalam pegangan kaum itu. Apa yang telah berlaku kepada selebihnya? Barangkali telah digunakan untuk menampung kehidupan mewah golongan tertentu.

Melayu juga diberi peluang untuk menceburi perniagaan bidang besar seperti membina lebuh raya, pengangkutan awam, pelabuhan dan sebagainya. Sekali lagi kerajaan menyediakan pinjaman mudah, yang kebanyakannya jatuh ke tangan kroni Umno. Syarikat bermodal RM2 ditubuhkan dan mereka diberi projek bernilai puluhan malah ratusan juta ringgit.

Di sinilah lahir budaya ‘sub-con’. Melayu jenis ini menjual kebanyakan projek tersebut kepada kontraktor – kebanyakannya masyarakat Cina - dan mendapat komisen 5 hingga 15 peratus. Mereka menjadi jutawan segera tanpa perlu kerja. Melayu yang rajin berusaha pula dipinggirkan kerana tiada ‘kabel’.


Namun ada juga kroni yang menyiapkan sendiri projek yang diperolehi, walaupun tetap dengan pinjaman mudah oleh kerajaan. Namun projek itu berakhir dengan perjanjian konsesi yang panjang antara mereka dengan kerajaan. Syarikat-syarikat ini mengaut untung berbilion ringgit, manakala rakyat menanggung beban, antaranya dengan perlu membayar tol sehingga hari ini.
Tidak lupa juga dengan kroni yang hampir jatuh bangkrap, namun diselamatkan oleh kerajaan dengan menggunakan wang rakyat. Semuanya atas alasan mengekalkan ekuiti Bumiputera.

Biasiswa Melayu

Skim bantuan atas nama Melayu yang benar-benar memajukan kaum itu hanyalah biasiswa masuk universiti. Program yang bermula pada era 1950-an ini menampakkan hasil dengan lahirnya golongan korporat dan teknokrat Melayu.

Namun pada 1990-an, biasiswa ini digantikan dengan pinjaman PTPTN akibat keghairahan segolongan usahawan Melayu ingin berniaga dalam bidang pendidikan. Akibatnya, anak Melayu terpaksa berhutang antara RM15,000 hingga RM30,000 sebaik sahaja mereka mendapat segulung diploma atau ijazah.

Inilah makna perjuangan Melayu di mata Umno. Mereka menjaja kononnya tanpa Umno Melayu akan binasa. Tetapi selepas memerintah negara sejak merdeka, Melayu tidak juga menampakkan kemajuan hebat.

Pas sebagai pembela

Pas pada era kepimpinan Fadzil Noor dan Nik Aziz Nik Mat sentiasa kritikal dengan Umno dan agenda Melayunya. Sebelum ini, perjuangan PAS sentiasa tentang menentang Umno yang menggunakan Melayu untuk keuntungan mereka sendiri.

Pas membawakan konsep Ketuanan Islam yang lebih baik. Ketuanan Islam membela orang yang lemah dan tertindas berdasarkan merit, tanpa mengira kaum dan agama. Tiada sistem kuota yang akhirnya hanya digunakan untuk laba peribadi. Dasar Pas itu menarik minat ramai golongan bukan Melayu untuk bersama-sama membawa perubahan politik di negara ini.

Namun, Pas yang kuat dan kini mencecah 1.3 juta ahli hasil gelombang perubahan yang dibawa Anwar Ibrahim sejak 1998, tiba-tiba berubah arah secara radikal selepas kematian Nik Aziz. Pas dipengaruhi oleh pemikiran pemimpin seperti Dr Zuhdi Marzuki yang mahu membawa parti Islam itu kembali memperjuangkan agenda Melayu seperti era kepimpinan Asri Muda pada 1970-an. Ia ternyata bertentangan dengan pendirian parti sebelum ini, yang menganggap agenda Melayu sebagai rasis dan “assabiyah” dan tidak selaras dengan Islam.

Sesetengah golongan muda PAS berpendapat, perjuangan berteraskan Melayu adalah demi memudahkan orang Melayu mempertahankan Islam di negara ini. Mereka berhujah yang kerjasama Pas dan Umno akan memberi Melayu kuasa ‘menjentik’ masyarakat Cina atau India yang kononnya ingin mengubah Perlembagaan. Maka konsep Melayu Agung ini bakal membuat kaum lain kecut perut mempersoalkan status quo Melayu.

Barangkali pemimpin muda Pas ini ingin menyemai semula ketakutan masyarakat masyarakat Cina sebagaimana selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969. Ketika itu mereka takut untuk mempersoalkan apa-apa.

Namun ironinya, dalam keadaan takut seperti itu, kira-kira tiga juta hektar tanah rezab Melayu bertukar tangan kepada orang Cina, untuk dibangunkan menjadi projek perumahan pegangan bebas. Tentunya ia berlaku dengan “bantuan” pemimpin Umno.

Maka keterujaan PAS untuk kembali ke pangkuan Umno memang mengarut, selepas melihat bagaimana parti itu selama ini “menjual” Melayu kepada kroni Cina mereka. Maka niat mereka untuk “menjentik” atau “menyiku” masyarakat Cina hanyalah mitos semata. Retorik sama inilah yang telah digunakan Umno untuk memegang sokongan Melayu. Tetapi mengapa golongan ulama’ boleh jatuh ke dalam retorik yang sama?

Ayat dan hadis

Maka adakah Pas selepas ini akan bersusah payah membela penyelewengan Umno demi mendapat kuasa untuk ‘menjentik’ masyarakat Cina?

Hakikatnya jika tidak dengan pengkhianatan Umno, mungkin orang Melayu hari ini sudah pun memiliki 30 peratus pegangan ekonomi, bukan hanya 21 peratus. Mereka akan mendapat penghormatan orang bukan Melayu, dan tidak memerlukan kuasa untuk menakutkan mereka.

Dengan penguasaan lebih 30 peratus ekuiti dalam ekonomi, masyarakat Cina akan hormat kepada Melayu tanpa perlu ditakut-takutkan. Melayu akan mempunyai kuasa ekonomi untuk menambahbaik keadaaan mereka. Syarikat-syarikat besar milik Melayu boleh menyediakan biasiswa, peluang pekerjaan dan modal untuk anak Melayu memulakan perniagaan sebagaimana yang dilakukan oleh usahawan Cina kepada masyarakat Cina.

Malah jika Melayu berpecah kepada lima lima parti politik sekali pun, mereka tetap mampu melakukannya melalui kuasa ekonomi.

Ternyata satu-satunya pihak yang menyebabkan keadaan Melayu terus tidak berubah adalah Umno sendiri. Umno sebagai kerajaan telah gagal mengubah keadaan Melayu selepas 58 tahun merdeka.

Selepas ini, nasib Melayu akan lebih buruk apabila segolongan ustaz pula ingin bersama pemodal Umno. Bilakah sumpahan ke atas Melayu ini akan berakhir?

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/-Melayu-terulung-konsep-perjuangan-PAS-bersama-Umno#sthash.cyYaYh6D.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-