Thursday, October 29, 2015

Najib fail saman fitnah terhadap Liong Sik

OLEH V. ANBALAGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA

Published: 29 October 2015 5:44 PM
Bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik masih belum menerima sebarang notis saman rasmi daripada Datuk Seri Najib Razak berhubung kenyataan beliau mengenai cara perdana menteri itu mengendalikan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).Gambar fail The Malaysian Insider, 29 Oktober, 2015.

Datuk Seri Najib Razak akhirnya memfailkan saman fitnah terhadap bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik berhubung kenyataan beliau mengenai cara perdana menteri mengendalikan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Peguam perdana menteri, Datuk Hafarizam Harun dalam satu mesej teks kepada The Malaysian Insider berkata, saman itu difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.

Semalam beliau memberitahu pemberita, beliau akan meminta temujanji dengan Najib dan berharap mendapatkan satu arahan daripadanya, dalam satu atau dua hari, sama ada untuk meneruskan tindakan saman atau tidak.

Sementara itu, peguam Dr Ling Ranjit Singh memberitahu The Malaysian Insider, beliau belum lagi menerima sebarang notis rasmi daripada peguam Najib bagi memaklumkan sama ada saman itu sudah difailkan.

Awal bulan ini, Dr Ling dilaporkan bersetuju dengan bekas bosnya, Tun Dr Mahathir Mohamad yang Najib "mengambil wang rakyat dan memasukkannya ke dalam akaun peribadi beliau".

"Saya bersetuju dengan (Dr) Mahathir. Kerana beliau (Najib) mengambil wang rakyat dan memasukkannya ke dalam akaun peribadi beliau," Dr Ling dipetik sebagai berkata dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur.

Berikutan kenyataan itu, firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak mengeluarkan surat tuntutan bagi pihak Najib kepada Dr Ling di kediamannya.

Surat bertarikh 5 Oktober menuntut permohonan maaf dan pampasan dalam masa 7 hari, jika tidak tindakan undang-undang akan dimulakan.

Bagaimanapun, peguam Dr Ling berkata anak guamnya mempertahankan kenyataan itu.

Dr Ling semalam mempersoalkan mengapa Najib mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan mendakwa beliau, The Star melaporkan.

Beliau bagaimanapun berkata beliau adalah seorang yang sabar dan akan menunggu. "Saya masih menunggu. Saya adalah seorang lelaki yang sangat sabar. Jangan tergesa-gesa, tunggu sahaja.

"Saya juga hairan mengapa beliau mengambil masa yang lama (untuk mengambil tindakan undang-undang), tetapi saya akan bersabar," katanya kepada The Star.

Najib disiasat selepas akhbar The Wall Street Journal melaporkan pada Julai sejumlah AS$700 juta (RM2.6 bilion) dipindahkan ke dalam bank akaun peribadi beliau, 2 bulan sebelum pilihan raya umum 2013.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berkata, wang itu adalah sumbangan daripada individu di Timur Tengah.

Perdana menteri juga menafikan menggunakan wang rakyat, termasuk daripada 1MDB untuk kepentingan peribadi, walaupun soalan yang dibangkitkan adalah berhubung sumber dan tujuan sumbangan itu. – 29 Oktober, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/najib-fail-saman-fitnah-atas-liong-sik#sthash.7cRfFJEF.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-