Saturday, October 3, 2015

PAS beri amaran PKR bakal berpecah kerana Pakatan Harapan

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tindakan tergesa-gesa membentuk Pakatan Harapan menunjukkan kepada rakyat sikap terlalu mementingkan diri sendiri sesetengah pihak yang menjadi punca Pakatan Rakyat terkubur. Gambar fail The Malaysian Insider, 3 Oktober, 2015.

PAS memberikan amaran kepada PKR, tidak mustahil bakal menerima nasib yang sama seperti parti Islam itu ketika Pakatan Rakyat berpecah, menyebabkan penubuhan parti serpihan Parti Amanah Negara (Amanah).

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti Islam itu ketika ini dapat melihat gabungan parti politik baharu, Pakatan Harapan bakal menerima nasib sama seperti Pakatan Rakyat.

"Kepada PKR yang masih menjadi rakan kerjasama PAS, kami harap tidak berlaku perpecahan kerana bibit-bibit tersebut sudah kelihatan.

"Adanya pihak yang ingin menjadi juara bagi mengawal parti pembangkang yang lain serta usaha Barisan Nasional (BN), khasnya Umno melihat semua komponen parti pembangkang menjadi lemah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, tindakan tergesa-gesa membentuk Pakatan Harapan menunjukkan kepada rakyat sikap terlalu mementingkan diri sendiri sesetengah pihak yang menjadi punca Pakatan Rakyat terkubur.

"PAS mendoakan agar PKR tidak mengalami nasib yang sedang dialami PAS.

"Perpecahan dalaman parti akibat campur tangan pihak luar yang mempunyai kepentingan tertentu, akan melemahkan kekuatan suara pembangkang," katanya.

Katanya, PAS sememangnya sudah melalui konflik dalaman parti yang menyaksikan muncul pelbagai parti kecil yang melambatkan proses perubahan dan kesedaran politik di kalangan rakyat.

Tuan Ibrahim turut menyalahkan pihak luar yang didakwa menjadi punca kepada pergolakan dalaman PAS dengan bertindak mengapi-apikan rasa tidak puas hati, melaga-lagakan pimpinan dan perbezaan pendapat di kalangan pimpinan.

"Kemelut dalaman yang berlaku ini tidak dinafikan sangat mengecewakan rakyat. Kerana setiap kali berlaku krisis, biasanya ia akan berakhir dengan pembentukan parti baru," katanya merujuk kepada Amanah.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim yakin Amanah tidak akan berjaya mendapatkan sokonngan rakyat.

"Ada yang memecahkan undi pembangkang dan inilah yang dikehendaki BN. Sebagai contoh, kemunculan parti Semangat 46 yang berpecah dari Umno, walaupun ia berjaya memenangi beberapa kerusi, ia tidak dapat menggugat kekuatan parti induk Umno.

"Telahan yang sama juga boleh dibuat pada parti Amanah. Namun, ini berbeza dengan Semangat 46, kerana ia akan menimbulkan saingan sama sendiri di kalangan pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang," katanya.

Mengulangi semula pendirian PAS, beliau berkata parti Islam itu tidak sesekali akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan kerana tindakan DAP dan pengkhianatan Amanah.

"Soal agihan kerusi akan menjadi masalah utama. PAS tidak akan bergabung dengan Pakatan Harapan kerana tindakan DAP terhadap PAS. Pada waktu ini, tidak mungkin PAS juga boleh terima Parti Amanah yang kini sedang menarik ahli PAS dan merampas bangunan Pasti dan markas PAS.

"Apabila PAS bergabung dengan PKR, sebahagian besar kerusi PAS diserahkan kepada PKR bersama jentera dan petugas parti.

"Kalau PAS bergabung pula dengan Pakatan Harapan, bermakna PAS akan sekali lagi serah kerusi kepada parti baru, dan ini tidak mungkin berlaku. Melainkan DAP atau PKR sanggup bahagikan kerusi mereka kepada Parti Amanah," katanya.

Justeru itu, beliau menegaskan PAS akan tetap meletakkan calon di semua kerusi yang ditandinginya kerana itu adalah hak mereka.

Katanya, sekiranya parti komponen pembangkang lain khasnya Amanah juga meletakkan calonnya dalam PRU kelak, maka ia seperti mengiyakakan parti tersebut menjadi penyambung tali hayat kepada BN.

"Mungkin ada yang akan mendakwa kalau calon PAS tidak akan menang, kerana pengundi Cina tidak akan beri undi, maka apakah kalau Parti Amanah akan menang kalau pengundi Melayu tidak akan memberi undi khususnya ahli dan penyokong PAS. Ahli dan penyokong Umno tentulah lagi tidak menyokong.

"Ramai yang melihat yang bakal untung mungkin DAP. Namun, reaksi senyap rakyat terhadap tindakan terlalu mendesak dan tidak berkompromi yang ditunjukkan pimpinan mereka tidak dapat diagak sebagaimana kesan terhadap sebahagian peti undi DAP di beberapa Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi dibantu petugas PAS, khasnya jentera pilihan raya sehingga ke PACA (polling agent and Counting Agent)," katanya.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pas-beri-amaran-pkr-bakal-berpecah-kerana-pakatan-harapan#sthash.DmCc72CU.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-