Tuesday, April 5, 2016

AMANAH, PAS tidak akan menang di Sarawak

Mohamad Fadli

Kedua-dua parti itu dilihat terlalu ekstrem dan tidak sesuai dengan sosial budaya masyarakat berbilang etnik di Sarawak.
KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (AMANAH) dan PAS dijangka tidak akan menang walaupun satu kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sarawak.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Dr Jeniri Amir berkata, kedua-dua parti itu tidak sesuai bertanding di Sarawak kerana dilihat parti ekstrem dan tidak serasi dengan sosial budaya di negeri itu yang mempunyai pelbagai etnik.

“Saya fikir AMANAH yang ingin bertanding 13 kerusi dan PAS dengan 11 kerusi di PRN Sarawak nanti tidak akan berjaya. Tidak ada cahaya dihujung terowong untuk mereka kerana mereka satu parti baru (AMANAH).

“AMANAH juga tidak mempunyai rangkaian akar umbi yang kuat dan kebatasan dari segi kewangan. Saya rasa pilihan raya ini bukan untuk AMANAH dan PAS,” katanya kepada pemberita di Dewan Zabeda di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA).

Beliau sebelum itu menjadi ahli panel dalam Forum “Isu dan Perspektif dalam PRN di Sarawak”.

AMANAH telah mengumumkan akan bertanding 13 kerusi di PRN Sarawak manakala PAS pula mengumumkan akan bertanding 11 kerusi termasuk menampilkan seorang calon bukan Islam.

Mengulas lanjut, Jeniri berkata hanya DAP dan PKR sahaja yang boleh menjadi pencabar utama kepada Barisan Nasional (BN) di PRN Sarawak.

Katanya, DAP sangat berpengaruh dalam kalangan pengundi Cina kawasan bandar manakala PKR pula berpengaruh di luar bandar.

“PKR seteruk-teruknya akan menang dua kerusi dan mengekalkan kerusi yang ada,” katanya.

PRN Sarawak pada 2011, DAP menang 15 kerusi manakala PKR tiga kerusi.

Jeniri berkata, BN akan mempertahankan kerusi di kawasan luar bandar kerana kegagalan rancangan Impian Sarawak oleh DAP.

“DAP tidak akan berjaya menarik pengundi di luar bandar kerana rancangan Impian Sarawak itu lebih kepada simbolik dan tidak beri kesan kepada masyarakat.

“BN masih akan dapat pertahankan kerusi mereka kerana mereka lebih utamakan pembangunan dan keperluan penduduk di luar bandar Sarawak,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-