Monday, June 6, 2016

Sampai hati Azmin 'tikam belakang PAS' di Sungai Besar

FMT Reporters

PAS ibarat janda gila talak kalau masih terus berada dalam kerajaan Selangor, kata MyKMU.
PETALING JAYA: Tindakan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hadir ke pusat penamaan calon PRK Sungai Besar bagi menunjukkan sokongan kepada calon AMANAH adalah satu pengkhianatan kepada PAS, kata blog pro UMNO MyKMU.net.

Apatah lagi PAS yang mencalonkan nama Azmin sebagai menteri besar, ketika DAP dan PKR tegas mahu Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail memegang jawatan itu, kata MyKMU dalam satu artikel semalam.

“Jasa PAS menyokong Azmin jadi menteri besar dulu nampaknya langsung tidak dikenang. Elok macam itu saja Azmin sokong AMANAH.

“Apabila Azmin hadir, terang tak payah suluh lagi beliau memang sokong AMANAH dan PAS ibarat janda gila talak kalau masih terus berada dalam kerajaan Selangor.


“Tidak ada sebab untuk PAS kekal dalam kerajaan Selangor bila Pakatan Rakyat secara rasminya (dengan tindakan Azmin) tidak lagi wujud,” kata MyKMU.

Timbalan presiden PKR itu sebelum ini dilihat berbelah bagi untuk menunjukkan sokongan kepada rakan partinya dalam Pakatan Harapan, iaitu AMANAH memandangkan keberadaan PAS dalam kerajaan Selangor.

Selepas tidak hadir ke program pengumuman calon AMANAH bagi PRK Sungai Besar pada 1 Jun lalu, Azmin membuat kejutan dengan hadir ke pusat penamaan calon semalam, malah memberi arahan kepada jentera PKR untuk membantu kempen Pakatan Harapan di kedua-dua PRK.

Dalam satu artikel berbeza, MyKMU mendakwa hubungan PKR dan PAS kini ibarat ‘telur di hujung tanduk’ dan Azmin mungkin tunduk kepada desakan untuk memecat EXCO PAS dalam kerajaan Selangor ekoran parti itu tetap meletakkan calon di Sungai Besar.

“Secara prinsipnya Azmin boleh dikatakan sebagai menteri besar yang tidak mengenang budi. PAS pula jika tersinggung sekali pun dengan tindakan Azmin, terpaksa memendam rasa geram, kecewa atau marah,” kata artikel itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-