Showing posts with label Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar. Show all posts
Showing posts with label Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar. Show all posts

Friday, June 17, 2016

Hujan lebat, cat merah & Mahathir di Sg Besar



RANGKUMAN Seperti biasa, Pakatan Harapan hari ini akan menutup kempen mereka tengah malam ini dengan ceramah besar-besaran di Sungai Besar.
BN bagaimanapun mungkin menggunakan pendekatan lain apabila tiada rancangan ceramah besar dibuat setakat ini.

Di hari terakhir kempen sebelum peti undi dibuka pada jam 8 pagi esok, tokoh-tokoh besar menghabiskan masa untuk memberi sentuhan akhir.

Ini termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang keluar Umno sebagai tanda protes pada pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Mahathir hari ini menyertai beberapa siri penerangan dengan tokoh-tokoh Pakatan Harapan, termasuk bersolat Jumaat di sebuah masjid di kawasan itu.

Mahathir juga dilihat berkongsi kereta dengan calon Parti Amanah Negara (AMANAH) Azhar Abdul Shukor.

Dalam acara di Sekinchan tengah hari ini, Mahathir mengambil kesempatan memperkecil-kecilkan peranan calon BN, yang menurutnya hanya akan menjadi penurut Najib.

“Jika mereka hanya kata, ya, ya, ya, apa gunanya,” katanya yang tampil dengan pakaian rasmi busjaket, seperti gaya biasanya ketika menjadi perdana menteri sebelum ini.

Insiden vandalisme
Beliau bergerak selepas solat Jumaat di Kampung Sungai sebelum bergerak mengikuti Azhar turun padang bertemu pemilih.

Bagaimanapun cuaca lebat membuatkan Mahathir terpaksa membatalkan rancangan itu.

Sementara itu, di hari terakhir kempen, suasana dicemari dengan insiden vandalisme apabila sekurang-kurang dua poster BN Budiman Mohd Zohdi disimbah dengan cat merah.

Ia dikesan pagi ini di jalan Sungai Besar-Sekinchan.

Kerusi parlimen Sungai Besar menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, AMANAH dan PAS.

Dalam pilihan raya umum lalu, BN hanya memang tipis dengan majoriti undi kira-kira 400 sahaja.

Pilihan raya kecil itu diadakan serentak dengan Kuala Kangsar esok susulan kematian penyandang-penyandang kerusi itu dalam nahas helikopter di Sarawak bulan lalu.

Wednesday, June 15, 2016

Dewan Ulama PAS Selangor nafi sebaran whatsapp tentang Dr Abdul Rani

AIDCNEWS
AIDCNews – Dewan Ulama PAS Selangor menafikan sekeras-kerasnya mengadakan mesyuarat tergempar memutuskan agar calon PAS Dr Abdul Rani Osman menarik diri daripada menjadi calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar ekoran kehadiran beliau di Majlis Iftar Perdana di Dewan Kampung Hala Cara Baru di Sungai Panjang, anjuran PAN hari ini.

Setiausaha Dewan Ulama PAS Selangor, Muhammad Najhan Halim berkata sebaran fitnah itu telah dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab menerusi aplikasi Whatsapp sejak petang Selasa.

“Dewan Ulama PAS Selangor menolak sekerasnya amalan politik fitnah dan sebaran maklumat tanpa sebarang usul periksa dan tabayyun.

“Dewan Ulamak PAS Selangor akan terus bersama kepimpinan dan jentera PAS bagi memenangi PRK P093 Sungai Besar,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.

Petang tadi, Dr Rani membuat kejutan apabila hadir di majlis berbuka puasa yang dianjurkan bagi tujuan berkempen untuk calon PAN.

Dr Rani, yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Meru berkata kedatangannya di Majlis Iftar itu untuk mempraktikkan amalan ‘politik matang’.
Beliau disambut dengan sopan serta diberikan tempat di meja utama bersama Azmin untuk berbuka puasa, namun dalam masa sama kehadiran Dr Rani itu disusuli dengan satu mesej Whatsapp yang banyak disebarkan di media sosial pro PAN seperti berikut :

SEGERA
Untuk Sebaran Ahli SAHAJA

Dewan Ulama’ Pas Negeri Selangor sebentar tadi telah mengadakan mesyuarat tergempar dan mengambil ketetapan seperti berikut:-

1) Menggesa Dr Rani, calon P093 menarik diri dari bertanding mewakili Pas susulan tindakan beliau menghadiri program iftar anjuran Pakatan Harapan di Sungai Besar petang tadi.

2) Mengarahkan seluruh jentera pilihanraya di negeri selangor berhenti dari memberi sokongan kepada Dr Rani serta merta.

3) Mengarahkan semua pengundi Pas di Sungai Besar mengundi calon Barisan Nasional atau memboikot dengan tidak turun mengundi dalam PRK akan datang.

DUPNS amat kecewa dengan tindak tanduk Dr Rani yang memalukan parti sejak bermula kempen PRK kali ini.

Terbukti apa yang dibahaskan oleh perwakilan DUPNS bahawa Dr Rani adalah harumanis adalah benar!

PRK Sungai Besar: Azmin macam perempuan dua suami

AKHIRNYA Azmin memecah kepelikan terbesar dalam pilihanraya kecil Sg Besar apabila muncul dihujung-hujung kempen di Dewan Kg Hala Cara Baru, Sg Panjang petang tadi. Mana tak pelik, dia Menteri Besar tapi bila ada pilihanraya dalam negeri pentadbirannya, dia tidak muncul (melainkan pada hari penamaan calon).

Tapi kedatangan Azmin mencetus kepelikan berganda apabila kehadirannya bersama calon PAN, Azhar Ab Syukur dalam sebuah kereta, turut disambut calon PAS, Dr. Rani Othman – dah macam perempuan berkahwin dua sudahnya Azmin jadi.

Mana satu dia nak sokong pun keliru, last last, dua dua sekali turun, padahal masing-masing berlawan sesama sendiri dalam pilihanraya ni.

Kejadian ini bagaimanapun mencetus persoalan yang baru, benarkah PAS menentang PAN dalam pilihanraya ini ataupun PAN sebenarnya bekerjasama dengan PAS? Kalau bekerjasama, maksudnya pengundi cina Sg Besar, terutama di kawasan Sekinchan, kena tipu dengan DAP lah.

Suruh tolak PAS, tapi boleh pulak duduk dalam satu majlis yang sama.
Tak hairan ADUN Sekinchan, Ng Sue Lim, tidak kekok beramah mesra dengan Rani di tempat yang sama – dalam dok mengata PAS itu dan ini, rupanya di belakang pengundi cina, DAP buat cerita lain. Tak sudah-sudah orang cina ditipu DAP, dulu suruh undi PAS, dah undi PAS, suruh undi PAN pulak.

Maksudnya, pengundi cina tidak ada kebebasan memilih, apa yang DAP kata saja. Kalau dia suka, undi, kalau dia tak suka, undi orang lain. Depan pengundi di Sekinchan semua pasal PAS jahat, masuk kawasan Sg Burung (kawasan Melayu) elok saja beramah mesra dengan Rani, baju oren PAN pun tak pakai.

Usahlah pengundi keliru lagi. Hanya BN saja yang berlaku jujur, tidak menipu sesiapa.

Thursday, June 9, 2016

PRK Sg Besar: Azhar Shukur hanya boneka DAP?

'Boneka DAP'. Itu mungkin tanggapan umum kepada calon Parti Amanah Negara (AMANAH), Azhar Abdul Shukur, apabila kempennya untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar jelas dibayangi DAP.

Ini dapat dilihat menerusi pendekatan bersemuka dengan rakyat oleh Azhar, khususnya kawasan majoriti Cina yang terpaksa 'mengusung' pemimpin tertinggi DAP untuk sama-sama turun padang berjumpa masyarakat setempat.

Hasil tinjauan Bernama mendapati, usaha Azhar bertemu rakyat di Pasar Sari Selasa di Sekinchan yang turut disertai Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP kawasan itu, Ng Suee Lim juga sedikit hambar.

Apa yang pasti, masyarakat Cina termasuk peniaga di pasar sari itu dilihat lebih teruja berjumpa dan bersalaman dengan Kit Siang dan Suee Lim berbanding Azhar.

Kelihatan sedikit kekok, Azhar yang turun berkempen bersama isterinya, Nor'adzimah Hassanuddin, hanya sekadar tersenyum dan kebanyakan masyarakat Tiong Hua yang ditemui lebih memberikan fokus perbualan kepada pemimpin DAP berkenaan.

DUN Sekinchan dalam Parlimen Sungai Besar mempunyai 16,055 pengundi berdaftar yang mana 9,139 daripadanya adalah kaum Cina, Melayu (6,524 pengundi) manakala bangsa India 363 pengundi.

Berbaki 10 hari lagi tempoh berkempen, kehadiran Azhar ke Pasar Awam Sungai Besar, di sini pula juga disambut hambar yang mana rata-rata rakyat setempat sekadar membalas senyumannya, malah ada juga yang enggan menerima risalah dan sapaannya.

Walaupun jentera AMANAH berusaha gigih memperkenalkan calon menggunakan pembesar suara, namun kebanyakan pengunjung pasar awam itu dilihat lebih kepada meninjau dan melihat pergerakan Azhar dan pengikutnya berbanding cuba mendekatinya.

Azhar merupakan calon pertama yang diketengahkan Pakatan HARAPAN menerusi AMANAH bagi pertandingan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN), Budiman Mohd Zohdi dan calon PAS, Dr Abdul Rani Osman.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian awal pada 14 Jun manakala hari pengundian, 18 Jun ini.

PRK berkenaan diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

- Bernama

Wednesday, June 8, 2016

Shafie Apdal nafi buat pusingan U, berjuang demi rakyat

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjadi perhatian banyak pihak selepas menghantar gambar dirinya bersama anggota kempen BN semasa pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar di Facebook.

Ia mencetuskan spekulasi sama ada beliau telah meninggalkan kumpulan yang memberontak terhadap Umno yang telah berikrar untuk menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pada Julai yang lalu, Shafie bersama-sama Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dilucutkan jawatan mereka dalam kabinet kerana mengkritik Najib atas skandal 1MDB dan berbilion wang dalam akaun bank peribadinya.

Dalam gambar itu, para anggota kempen BN yang terkejut dengan kehadiran Shafie dilihat berjabat tangan dan memeluk beliau.

Gambar-gambar tersebut muncul susulan rancangan oleh para 'pemberontak' Umno yang diketuai oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk berkempen menentang BN di pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Mereka yang menentang BN menyifatkan dua pilihan raya kecil itu sebagai referendum kepada kepimpinan Najib selaku perdana menteri.

Dalam laman Facebook, Shafie sempat menafikan bahawa beliau telah membuat pusingan U sambil menekankan bahawa beliau sentiasa setia dengan Umno.

"Saya masih ahli Umno, masih naib presiden Umno. Isu membuat pusingan U atau isu kesetiaan saya kepada parti tidak timbul sama sekali.

"Selagi saya masih hidup , saya akan terus berjuang untuk rakyat, bukan untuk mana-mana individu. Saya suka parti saya , tetapi saya juga suka negara saya lebih daripada segala-galanya, " katanya.

[Baca berita penuh]

Monday, June 6, 2016

Sampai hati Azmin 'tikam belakang PAS' di Sungai Besar

FMT Reporters

PAS ibarat janda gila talak kalau masih terus berada dalam kerajaan Selangor, kata MyKMU.
PETALING JAYA: Tindakan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hadir ke pusat penamaan calon PRK Sungai Besar bagi menunjukkan sokongan kepada calon AMANAH adalah satu pengkhianatan kepada PAS, kata blog pro UMNO MyKMU.net.

Apatah lagi PAS yang mencalonkan nama Azmin sebagai menteri besar, ketika DAP dan PKR tegas mahu Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail memegang jawatan itu, kata MyKMU dalam satu artikel semalam.

“Jasa PAS menyokong Azmin jadi menteri besar dulu nampaknya langsung tidak dikenang. Elok macam itu saja Azmin sokong AMANAH.

“Apabila Azmin hadir, terang tak payah suluh lagi beliau memang sokong AMANAH dan PAS ibarat janda gila talak kalau masih terus berada dalam kerajaan Selangor.


“Tidak ada sebab untuk PAS kekal dalam kerajaan Selangor bila Pakatan Rakyat secara rasminya (dengan tindakan Azmin) tidak lagi wujud,” kata MyKMU.

Timbalan presiden PKR itu sebelum ini dilihat berbelah bagi untuk menunjukkan sokongan kepada rakan partinya dalam Pakatan Harapan, iaitu AMANAH memandangkan keberadaan PAS dalam kerajaan Selangor.

Selepas tidak hadir ke program pengumuman calon AMANAH bagi PRK Sungai Besar pada 1 Jun lalu, Azmin membuat kejutan dengan hadir ke pusat penamaan calon semalam, malah memberi arahan kepada jentera PKR untuk membantu kempen Pakatan Harapan di kedua-dua PRK.

Dalam satu artikel berbeza, MyKMU mendakwa hubungan PKR dan PAS kini ibarat ‘telur di hujung tanduk’ dan Azmin mungkin tunduk kepada desakan untuk memecat EXCO PAS dalam kerajaan Selangor ekoran parti itu tetap meletakkan calon di Sungai Besar.

“Secara prinsipnya Azmin boleh dikatakan sebagai menteri besar yang tidak mengenang budi. PAS pula jika tersinggung sekali pun dengan tindakan Azmin, terpaksa memendam rasa geram, kecewa atau marah,” kata artikel itu.

Sunday, June 5, 2016

PRK Sg Besar: Calon PAS serah borang pencalonan

Send by Email
Sabak Bernama – Calon PAS, Dr Abdul Rani Osman menghantar borang pencalonan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar pada jam 9.12 pagi di Dewan Seri Bernam, di sini.

Pencalonannya dicadang oleh Mohd Maksom Ramli sambil disokong Salihudin Baharum.

Terdahulu beliau yang tiba di pusat penamaan calon berkenaan pada jam 8.55 pagi diiringi kira-kira 1,000 penyokong dan juga beberapa pemimpin tertinggi PAS.

Antara yang hadir ialah Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden PAS, Idris Ahmad. – BH Online

Read more http://www.kualalumpurpost.net/prk-sg-besar-calon-pas-serah-borang-pencalonan/

Sg Besar mula meriah, penyokong tunggu calon tiba

Kelibat delegasi penyokong BN, AMANAH dan PAS yang semakin bertambah di sekitar dewan dilihat tenang menanti kehadiran calon mereka.
SUNGAI BESAR: Keadaan di Sungai Besar pagi ini mula sibuk seawal 7 pagi tadi apabila kumpulan penyokong berkumpul di lokasi ditetapkan bagi menanti rombongan calon menuju ke Dewan Seri Bernam bagi proses penamaan calon bagi PRK Parlimen itu yang bermula 9 pagi ini.

Kelibat delegasi penyokong BN, AMANAH dan PAS yang semakin bertambah di sekitar dewan dilihat tenang menanti kehadiran calon mereka.

Keadaan cuaca setakat ini baik dan dijangka akan melancarkan lagi proses penamaan calon.

Kira-kira 1,000 anggota PDRM turut bersiap sedia mengawal keadaan di sekitar pusat penamaan calon selain beberapa jalan utama di sekitar kawasan itu turut ditutup seawal 5 pagi tadi bagi membantu memudahkan pergerakan calon ke pusat penamaan.

Kehadiran lebih 70 pengamal media dari pelbagai agensi turut memeriahkan proses pencalonan biarpun terpaksa berjalan lebih 500 meter ke pusat penamaan calon akibat penutupan jalan utama.

Laluan penyokong daripada parti bertanding ke dewan juga dipisahkan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

— BERNAMA

Thursday, May 26, 2016

Zuhdi: Pertandingan tiga penjuru beri peluang pada PAS di Sg Besar

Shakira Buang
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS pusat, Dr Zuhdi Marzuki menyifatkan pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar bakal memberikan kelebihan kepada parti itu.

Berucap dalam satu ceramah perdana di Taman Melewar, Gombak malam tadi, Zuhdi berkata pandangan itu dibuat berdasarkan peningkatan sokongan pengundi Melayu kepada PAS serta trend sokongan pengundi Cina yang semakin kembali kepada BN.

Zuhdi yang juga AJK PAS pusat berkata, pertembungan dua penjuru antara PAS dan BN menyaksikan pengundi Cina berpihak kepada BN manakala pengundi Melayu berpecah antara dua parti itu.

Katanya lagi, pertembungan dua penjuru antara Pakatan dan BN pula menyaksikan situasi sama seperti pilihan raya umum (PRU) ke-13 yang lalu di mana majoriti pengundi Cina mengundi Pakatan dan majoriti pengundi Melayu mengundi BN.

"Kalau bertanding tiga penjuru, sejumlah pengundi Cina tidak akan pergi kepada Pakatan Harapan. Jadi peluang kita lebih besar kerana sokongan pengundi Melayu terhadap PAS sekarang lebih kurang sama dengan BN," kata Zuhdi.

Berdasarkan perangkaan terbaru Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Sungai Besar mempunyai 67.18 peratus pengundi Melayu, pengundi Cina (31 peratus), pengundi India (1.91 peratus dan kaum lain (0.23 peratus).

Mengulas lanjut Zuhdi yang juga ketua penerangan PAS Perak berkata kajian pusat penyelidikan parti itu mendapati PAS hanya ketinggalan 399 undi sahaja kepada BN di Sungai Besar.

"Perubahan boleh berlaku jika kita kerja keras. Dengan sokongan pengundi Melayu dan sedikit lonjakan sokongan pengundi India, kita ada peluang," katanya lagi.

Kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar, yang dimenangi BN dalam pilihan raya umum lalu kosong berikutan anggota parlimennya terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak pada 5 Mei lalu.

Pilihan raya kecil untuk kedua-dua kawasan itu akan diadakan pada 18 Jun depan. PAS bakal mengumumkan calonnya bagi PRK Sungai Besar esok.

Sementara itu, siri ceramah perdana itu sepatutnya menampilkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi sebagai penceramah utama selain Naib Presiden PAS, Idris Ahmad dan Exco negeri Selangor Dr Zaidy Abdul Talip serta Dr Zuhdi.

Ceramah yang dijadual bermula sekitar jam 9 malam itu hanya bermula pada 10 malam di mana pengerusi majlis memaklumkan Abdul Hadi dalam perjalanan ke lokasi ceramah.

Bagaimanapun, selepas beberapa pemimpin berucap sekitar jam 11.30 malam hadirin dimaklumkan Abdul Hadi tidak dapat hadir kerana terpaksa menghadiri sidang Dewan Rakyat di Parlimen awal pagi ini.

Monday, May 23, 2016

Mohamad Sabu antara calon AMANAH PRK Sungai Besar

Salahuddin Ayub dan Datuk Seri Nizar Jamaluddin juga disenaraikan sebagai calon PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
KUALA LUMPUR: Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu adalah antara nama yang disenaraikan sebagai calon parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar.

Selain itu, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub dan bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin juga disenaraikan sebagai calon PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

“Kita ada banyak lagi nama tetapi belum diputuskan lagi,” kata Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad berkata kepada Bernama di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam satu sidang media di Parlimen, Khalid berkata Amanah berpendapat sukar bagi PKR bertanding menentang PAS pada kedua-dua PRK itu memandangkan kedua-dua parti pembangkang itu mempunyai hubungan yang baik.

Sehubungan itu, katanya Amanah bersedia mewakili Pakatan Harapan dalam PRK berkenaan.

Menurutnya PKR perlu menerima hakikat bahawa PAS tidak akan menarik diri daripada bertanding.

Oleh itu, tumpuan perlulah diberikan kepada mengukuhkan kedudukan Pakatan Harapan di dua kerusi itu, kata Khalid.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika ditemui pemberita berkata PKR dan PAS masih boleh berbincang berhubung isu calon bagi memastikan hanya satu calon daripada pembangkang menentang Barisan Nasional (BN) pada kedua-dua pilihan raya kecil itu.

Katanya beliau tidak pernah menemui Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk berunding tentang calon bagi kedua-dua PRK itu.

Namun, katanya beliau telah pun bertemu Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Pengarah Pilihan Raya Pusat PAS Datuk Mustafa Ali dan Setiausaha Politik Presiden PAS Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berhubung perkara itu.

Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail juga berkata beliau yakin PKR dan PAS dapat berbincang mengenai pilihan raya kecil berkenaan.

“Kami perlulah menanti (kesediaan) PAS untuk bertemu kerana parti itu yang mahu bertanding di kedua-dua kerusi berkenaan,” katanya semasa ditemui di lobi Parlimen.

Nada berbeza pula dilontarkan oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang menegaskan parti itu sudah menutup pintunya bagi sebarang perbincangan dengan PAS mengenai kedua-dua PRK itu.

“Kami tidak mahu berbincang dengan PAS. DAP tidak akan adakan sebarang perbincangan dengan PAS,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu yang juga Anggota Parlimen Bagan.

PRK Kuala Kangsar dan PRK Sungai Besar diadakan berikutan kematian Anggota Parlimen bagi kedua-dua kerusi berkenaan iaitu Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar akan diadakan serentak pada 18 Jun ini, dengan penamaan calon pada 5 Jun.

-BERNAMA

Sunday, May 22, 2016

PAS sedia hilang tiga Exco di Selangor

PAS bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk hilang tiga Exconya di Selangor ekoran keputusan parti itu meletakkan calonnya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, soal kedudukan ahli Exco adalah urusan sesebuah negeri malah pelantikan dilakukan harus mendapat perkenan Sultan.

Hadi berkata, meskipun PAS bersedia namun beliau berharap ia hanyalah sekadar khabar angin.

“Saya cuma mendapat khabar berita angin dan ia mungkin betul dan mungkin salah.

"Kalau benar pun dia nak minta Exco letak jawatan, soal pelantikan Exco adalah urusan kerajaan negeri manakala hal meletak calon dalam pilihan raya adalah soal parti.

“Lagipun, pelantikan Exco harus mendapat perkenan sultan menerusi dan ada angkat sumpah. Sebab itu kita bersedia dengan segala kemungkinan, perkara ini terpulanglah pada Sultan. Apa pun saya harap perkara ini adalah khabar angin,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Abdul Hadi berkata demikian mengulas spekulasi berhubung dakwaan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mahukan tiga Exco Selangor daripada PAS meletak jawatan jika parti itu bertegas mahu calonnya bertanding dalam PRK Parlimen Sungai Besar.

Monday, May 16, 2016

Inilah berita baik yang sangat2 ditunggu oleh UMNO/BN

PRK Sungai Besar: Amanah sudah hantar tiga nama

MOHD IZZATUL IZUAN TAHIR
16 MEI 2016
Azhar Ab Shukur.
SUNGAI BESAR - Parti Amanah Negara (Amanah) Sungai Besar mengakui telah menghantar tiga senarai nama calon kepada Amanah Negeri sebelum diputuskan Amanah Pusat sebagai persediaan sekiranya parti itu bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu.

Ketuanya, Azhar Ab Shukur membayangkan tiga nama yang diketengahkan itu adalah terdiri dalam kalangan calon tempatan yang amat dikenali dan mesra pengundi di Parlimen Sungai Besar.

Azhar memberitahu, mereka menghantar senarai calon itu dua hari lalu dan tidak boleh mendedahkan nama berkenaan selagi tiada arahan dan perbincangan yang diputuskan bersama antara Amanah dan Pakatan Harapan.

“Soal Amanah akan bertanding pada PRK ini bergantung kepada Pakatan Harapan. Kita tunggu keputusan yang dicapai antara tiga gabungan parti ini dalam waktu terdekat,” katanya kepada Sinar Harian.

Ditanya kesediaan Amanah untuk bertanding tiga penjuru di Parlimen Sungai Besar, Azhar memberitahu, sekiranya Amanah bertanding di kerusi itu, parti itu tidak bergerak bersendirian kerana mendapat sokongan penuh daripada PKR dan DAP.

“Saya rasa tiga parti gabungan ini (Pakatan Harapan) mampu memberi persaingan besar kepada BN. Kita sudah cukup bersedia bertanding tiga penjuru jika diputuskan Majlis Presiden,” katanya.

Beliau berkata, walaupun Amanah secara rasminya baharu sebulan ditubuhkan di Kawasan Sungai Besar, namun pihaknya tetap optimis mendapat sokongan baik daripada pengundi di Parlimen berkenaan.

“Masa mula dibuka (jawatankuasa) penaja Amanah di Sungai Besar, kita baru ada tiga cawangan di sini, tapi selepas dibuka ada penambahan hampir setiap minggu.

“Kita bergerak secara agresif bagi meyakinkan rakyat supaya menerima Amanah dan PRK inilah peluang untuk kami terangkan kepada orang ramai tentang parti ini,” katanya.

Friday, May 13, 2016

Pas Selangor tetap bertanding Parlimen Sungai Besar

 AIDCNEWS


AIDCNews – 12/5/16 – PAS selangor akan terus bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar kerana kerusi itu adalah milik PAS sejak berdekad lamanya, kata Mohd Prasad bin Hanif, Ketua Penerangan PAS negeri.

“Pilihanraya Kecil Parlimen Sg Besar akan mendedahkan lawan dan kawan PAS. PRK ini akan meletakkan batu asas pertandingan di dalam PRU14. Sikap DAP terhadap Melayu dan Islam akan terlihat dan kawan serta lawan di dalam PKR juga akan zahir.

“Parlimen Sg Besar adalah kerusi PAS. Di sini, PAS telah berdepan dengan Barisan Nasional sejak berdekad lamanya. PAS Sg Besar dengan kekuatan 40 cawangannya disertai dengan kekuatan jentera dari seluruh negeri telah bersedia untuk menumbangkan Barisan Nasional.

“Walau sesiapa pun meletakkan calon melawan PAS, PAS Selangor akan terus mara,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Prasad juga menjawab cadangan sesetengah pihak agar PAS kembali ke meja perundingan bersama Pakatan Harapan bagi menghadapi PRK itu.

“PAS tidak akan kembali ke Pakatan Harapan kerana PAS tidak pernah berada di dalam Pakatan Harapan. PAS masih berada di dalam Pakatan Rakyat dan masih bertahaluf siyasi bersama PKR.

“PAS Selangor melihat keikhlasan pada tindakan, bukan sekadar ucapan politik dan retorik. Maka, sekiranya pelawaan rundingan tersebut ikhlas, maka pihak-pihak tersebut perlu membuktikannya,”katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar sekali lagi mengulangi pendiriannya agar PAS dan Parti Amanah Negara (PAN) kembali bersama di meja rundingan.

Mahfuz berkata kedua-dua parti perlu membuang ego masing-masing dan mengiktiraf PAN sebagai sebuah parti politik yang sah.

“Tidak salah untuk PAS duduk berbincang dengan Amanah yang merupakan parti yang lahir dari pergolakan krisis dalaman PAS yang dianggap pengkhianat jika itu boleh membantu membina kembali imej PAS di persada politik Malaysia.

“Dan tidak salah juga untuk Amanah berbincang dengan PAS parti yang mereka begitu marah untuk mencari formula bagi mengalahkan UMNO BN.

“Kepada Amanah, saya harap buang kemarahan pada PAS dan kepada PAS juga buang rasa geram pada Amanah.

“Apa pun Parti Amanah telah wujud dan semua pihak perlu mencari jalan untuk menewaskan UMNO BN demi Rakyat dan Malaysia,”katanya dalam satu kenyataan.

Mahfuz berkata jika PAS boleh memaafkan bekas-bekas ahli UMNO yang menubuhkan Semangat 46 malah bergabung dengan parti serpihan itu dalam satu gabungan yang dinamakan Angkatan Perpaduan Ummah (APU), maka tidak salah parti Islam itu mengulangi episod yang sama dengan PAN

“Parti yang pernah mengkhianati PAS pada 1978 dalam PRU 1990. Persoalannya salahkah kalau PAS dan Amanah duduk berbincang dan bekerjasama untuk MENGALAHKAN UMNO BN pada PRK dan PRU14 akan datang,”katnya lagi.
Sementara itu, Pengarah Komunkikasi PAN, Khalid Abdul Samad membayangkan akan berlaku pertandingan tiga penjuru antara Pakatan Harapan, PAS dan Barisan Nasional dalam PRK Sungai Besar.

Katanya, Pakatan Harapan akan menghantar calon mereka dan berkemungkinan dari PKR, AMANAH atau DAP.

“Ada kemungkinan tiga penjuru. Kalau tiga penjuru membuktikan ia sokongan kepada Pakatan Harapan, bukan pada parti-parti sendirian yang bertanding.

“AMANAH akan bermesyuarat pada 15 hari bulan untuk bincang perkara ini, akhirnya kita berpandangan calon yang nak diturunkan mesti calon Pakatan Harapan,” katanya kepadaMalaysiakini.

Khalid berkata, meskipun membawa nama Pakatan Harapan, beliau turut berharap supaya calon dari AMANAH yang bertanding dalam PRK tersebut.

“Tapi bagi AMANAH, kalau boleh kita nak lah (bertanding), kita akan berhujah (dalam mesyuarat Pakatan Harapan), bertemu dan berbahas tapi tidak ada makna kalau kita tidak tonjolkan Pakatan Harapan,” katanya.

Khalid, ketika ditanya tentang kemungkinan akan kalah kerana pertandingan banyak penjuru sepertimana yang berlaku di pilihan raya negeri (PRN) Sarawak, berkata:

“Terpulang pada PAS lah kalau dia yang nak tiga penjuru. PAS sendiri nak buat blok ketiga, jadi terpulang pada dia.

“Rakyat kena pilih. Nak blok ketiga yang ada Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) atau Pakatan Harapan yang ada AMANAH, PKR dan DAP,” katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-