Saturday, July 30, 2016

Pembangkang: Najib berada dalam penafian terhadap laporan DoJ

Sheith Khidhir Bin Abu Bakar

Penafian Najib terhadap isu yang didedahkan oleh DoJ boleh membawa implikasi negatif kepada kebajikan rakyat selain merisikokan negara
PETALING JAYA: Sudah tiba masanya untuk Datuk Seri Najib Razak mengakui “Malaysian Official 1” (MO1) yang dinamakan oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) AS adalah dirinya dan 1MDB terlibat secara langsung dalam laporan itu, pesan Naib Presiden PKR, Tian Chua.

Beliau dalam satu temuramah dengan FMT berkata, penafian oleh Perdana Menteri berhubung perkara itu akan hanya mengecewakan siasatan antarabangsa serta menghalang siasatan dalam negara.

“Dia berada dalam penafian dan ia membawa implikasi negatif kepada kebajikan rakyat selain merisikokan negara. Justeru eloklah beliau tampil menjelaskan perkara itu secara jujur,” katanya.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang bersetuju dengan Tian Chua berkata laporan DoJ dengan jelas menyatakan dana amanah awam negara telah digunakan dengan disalurkan ke dalam akaun bank peribadi seorang individu.

“Beliau (Najib) berada dalam penafian. Beliau terlibat dalam penipuan terbesar terhadap sebuah negara. MO1 disebut beberapa kali dalam laporan itu dan adakah beliau cuba menafikan dirinya bukan MO1?” katanya kepada FMT.

Santiago berpendapat kenyataan itu ditujukan kepada Umno untuk mengubah tumpuan ahli Umno terhadap kaitannya dengan 1MDB dan laporan DOJ dengan menimbulkan isu lain.

Dalam sidang akhbar di Hotel Empire Subang di sini hari ini, bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata “pembohongan demi pembohongan” yang dikemukakan oleh pemimpin di negara ini menunjukkan mereka berada dalam penafian.

“Ada pihak yang cuba untuk menafikan kebenaran tetapi laporan DoJ dibuat berdasarkan bukti kukuh.

“Kenyataan mereka menunjukkan kononnya rakyat bodoh tetapi ia sebenarnya menjelaskan betapa tidak bijaknya mereka mengeluarkan sesuatu kenyataan.”

Pada sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno semalam, Najib memberitahu laporan DoJ langsung tidak menamakan 1MDB.

Tambahnya, ini bermakna firma pelaburan awan negara tidak terlibat secara langsung dalam saman sivil yang difailkan oleh DoJ, sekali gus mengesahkan tiada aset milik 1MDB yang berada di Amerika Syarikat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-