Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Friday, June 16, 2017

Ulama, NGO Islam selar 'big gay iftar'



Penganjuran acara buka puasa 'Big Gay Iftar' di Kuala Lumpur minggu lalu diselar pelbagai pihak, termasuk NGO Islam dan ahli agama.

NGO Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan pendakwah terkenal Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz antara yang dilapor menyatakan rasa tidak senang mereka.

Turut berbuat demikian Majlis Belia Malaysia (MBM) – badan induk yang menyelaraskan pertubuhan belia dan pelajar di negara ini.

Ketua Biro Islamiyah ISMA Omar Kassim berkata penganjur majlis itu perlu disiasat dan dipanggil memberikan keterangan kepada pihak berkuasa.

“Apa yang mereka lakukan bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar. Islam mengharamkan zina, macam mana kita boleh membiarkan orang mempromosikan zina.

“Islam mengharamkan seks sejenis, apa yang mereka lakukan ialah mempromosikan maksiat dan kehancuran,” katanya dalam satu kenyataan, yang disiarkan Ismaweb.

Berkaitan: Penganjur: Kenapa kami anjur 'big gay iftar'

Acara kontroversi itu dianjurkan minggu lalu di Bangsar, Kuala Lumpur, bagi mempertemukan masyarakat pelbagai latar.

Ia juga dianjurkan sempena memperingati 49 anggota komuniti lesbian, gay, biseksual, transeksual (LGBT) yang terkorban dek tragedi keganasan di Florida, Amerika Syarikat pada 12 Jun 2016.

Selain berbuka puasa, program anjuran Pelangi Campaign – kumpulan yang mempromosikan kesetaraan untuk LGBT – itu turut melibatkan forum dan tayangan filem berkaitan golongan itu.

Menurut Pelangi Campaign, hanya melalui acara sebegitu kita dapat membuktikan kepada golongan ekstremis dan pengganas bahawa mereka tidak dapat memecahkan persaudaraan dan kemanusiaan semua orang.

Sementara itu, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) pula berpendapat, pihak yang terlibat dengan majlis itu perlu bertaubat dan menghormati bulan Ramadan.

“Menganjurkan program berbuka puasa itu tak ada masalah tapi nampaknya apa yang mereka lebih tonjolkan itu adalah LGBT.

“Tindakan mereka amat dikesali kerana seperti yang semua maklum LGBT adalah bercanggah dengan Islam,” kata presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid.

Haram, kata Hassan

Hassan pula menyifatkan penganjuran majlis itu haram di sisi Islam kerana majlis berbuka puasa seperti itu “bukan sahaja sia-sia bahkan mempermainkan hukum Allah”.

Katanya, penganjuran majlis berkenaan juga bertentangan dengan ajaran Islam sebenar yang mengharamkan seks sejenis.

“Orang yang puasa perlu ikut semua perintah Allah dan puasa ini merangkumi semua perbuatan kita.

“Sekarang ini pula wujud golongan yang tolak hukum Allah tapi terima hukum lain dan itu tidak boleh dalam Islam,” lapor Ismaweb yang memetik Sinar Harian.

Sementara itu, Majlis Belia Malaysia (MBM) pula mendakwa penganjuran majlis itu sengaja dibuat bagi melanggar kesucian Islam dan norma masyarakat Malaysia.

Presidennya Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaluddin berkata, apa yang dilakukan sebenarnya cubaan untuk mempromosikan gerakan LGBT yang menurutnya bertentangan dengan ajaran Islam dan mahu mempersendakan agama.

“Mereka dengan jelas cuba memesongkan pemikiran majoriti masyarakat negara ini khususnya umat Islam dengan menggunakan platform agama.

“Matlamat iftar tidak boleh menghalalkan cara mempromosikan aktiviti songsang itu apatah lagi ia jelas hanya mengambil agama pada bahagian yang disukai sahaja,” beliau dipetik sebagai berkata.