Sunday, July 16, 2017

Barisan pimpinan baru PH hanya 'lakonan', kata menteri Umno

Diyana Ibrahim

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Ismail Sabri menuduh keputusan tidak meletakkan wakil DAP dalam kedudukan ketiga teratas bagi barisan pimpinan terbaru Pakatan Harapan adalah lakonan semata- mata.Gambar Facebook, 16 Julai, 2017.


MENTERI Umno mendakwa barisan pimpinan baru Pakatan Harapan (PH) yang diumumkan Jumaat lalu hanya mengaburi semua pihak dan akan memilih calon perdana menteri di kalangan DAP jika gabungan itu berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) kelak.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Ismail Sabri berkata, perkara itu tidak mustahil memandangkan tiada jaminan dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan perdana menteri mesti dilantik di kalangan orang Melayu dan beragama Islam.

Sebaliknya, ia hanya menggariskan parti yang menguasai majoriti dalam Parlimen boleh membentuk kerajaan dan yang mempunyai kerusi terbanyak boleh memilih perdana menteri daripada kalangan mereka.

"Kalau Lim Guan Eng hendak jadi perdana menteri, beliaulah yang akan jadi perdana menteri. Kalau mereka tidak berani letak Guan Eng, boleh letak orang Melayu tapi jadilah orang Melayu seperti beberapa menteri besar Selangor yang tidak boleh membuat keputusan kerana semua dikuasai Teresa Kok dan Hannah Yeoh dan sebagainya," katanya semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Ampang malam tadi.

Beliau berkata demikian merujuk kepada pengumuman kepimpinan baru PH yang menyaksikan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan timbalannya, Anwar Ibrahim dinamakan sebagai pengerusi dan ketua umum manakala Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden pakatan pembangkang.

Manakala Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Presiden Amanah Mohamad Sabu dinamakan sebagai timbalan presiden.

Ismail yang menyertai menteri Umno lain memberikan reaksi berhubung gabungan baharu pakatan pembangkang, menuduh keputusan tidak meletakkan wakil DAP dalam kedudukan ketiga teratas adalah lakonan semata- mata.

"Cuba kita tengok parti PH yang baru ditubuhkan, walau nak berlakon, nak tipu kita tetapi kita tahu siapa yang akan dapat majoriti kalau pertandingan (pilihan raya)."

Katanya, semua ini boleh direalisasikan dengan berlakunya perpecahan undi di kalangan orang Melayu.

"Akhirnya kita Melayu akan berpecah kepada tiga. Kalau ini berlaku dan mereka membentuk kerajaan, DAP yang akan mempunyai kerusi terbanyak serta berdasarkan Perlembagaan tadi, berhak menentukan bakal perdana menteri," katanya.

Justeru, beliau mengingatkan orang Melayu terutama ahli Umno supaya tidak leka dan berada dalam kedudukan terlalu selesa.

"Kita jangan ingat kuasa Melayu akan kekal selama-lamanya kalau kita tidak berhati-hati dan tidak menguatkan parti."

"PRU amat penting untuk survival masa depan orang Melayu. Kita ada kerajaan yang dipertahankan Umno jadi janganlah menggadai negara. Lihat sahaja negara luar seperti Mesir yang kononnya tidak mahu Gadaffi tetapi kemudian huru-hara selepas Gadaffi tiada, sama juga dengan Iraq, Yaman."

Sebagai contoh, Ismail berkata keputusan Kabinet yang menolak kelonggaran syarat Bahasa Melayu bagi pengambilan pegawai perubatan secara kontrak dapat dilakukan kerana majoriti barisan jemaah menterinya diwakili kaum Melayu.

"Ini kerana dalam Kabinet ramai menteri Melayu berbanding bukan Melayu. Sebab itu kita boleh menolaknya," kata beliau sambil berkata pendirian kerajaan juga tetap berhubung isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Katanya, selagi sijil UEC tidak mewajibkan Bahasa Melayu maka kerajaan tidak akan sesekali mengiktiraf sijil peperiksaan itu. 

16 Julai, 2017.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-