Sunday, April 29, 2018

Nik Omar anggap Husam 'anak butir' Tok Guru

N Faizal Ghazali
Diterbitkan 29 Apr 2018, 12:12 tengah malam

PRU14  I  Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi dewan undangan negeri (DUN) Chempaka, Nik Omar Nik Abdul Aziz menganggap Pengerusi HARAPAN negeri, Husam Musa sebagai anak butir (anak emas) kepada bapanya, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Anak kedua bekas menteri besar Kelantan itu berkata, ia terbukti dengan pendekatan yang dilakukan Husam menyamai Nik Abdul Aziz.

"Asasnya kalau kita ikut perkembangan, Tok Guru pernah sebut secara terbuka bahawa Husam dicipta Allah bukan hanya untuk negeri Kelantan, tetapi juga untuk Malaysia. Itu satu bukti.

"Dan betapa kehadiran Husam ini banyak memberi kebaikan dari sudut kewangan, ekonomi dan ambo memang tak terlibat dengan politik tetapi mengikuti perkembangan.

"Jadi ambo perhati pendekatan yang dibawa Husam memang sama, anak butir kita panggil dengan apa yang dibawa oleh Tok Guru," katanya ketika ditemui media selepas majlis pembentangan tawaran HARAPAN Kelantan bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemunculannya dalam arus politik kini mungkin menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat selepas tidak memilih untuk terus berada dalam PAS.

Terdahulu, Pengetua Maahad Darul Anwar itu menjadi tumpuan ramai menjelang PRU14 pada 9 Mei depan dengan membuat kemunculan dalam kancah politik tanah air, malah tidak memilih wadah perjuangan seperti adiknya Nik Mohamad Abduh yang bersama PAS.

Menurutnya, bagi memastikan negara ditadbir urus dengan lebih baik melalui strategi politik semasa dilihat perlu melalui HARAPAN.

"Ambo hormat semua, hatta Umno pun ambo hormat. Jadi mana-mana pengundi nak undi lagi Umno terserahlah. Dah dia rasa itu terbaik.

"Jadi pada ambo secara peribadi dalam suasana sekarang ini ada tiga pilihan dan HARAPAN yang terbaik," jelasnya.

Tambah Nik Omar, beliau melihat bagaimana pemimpin seperti bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad merasakan perlunya penambahbaikan dalam negara.

"Dan macam mana jiwa besar keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim orang yang paling layak nak marah, nak dendam (pada Mahathir) tetapi berjiwa besar," katanya yang menjelaskan turut bertemu Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi mendengar pendapat dan nasihat dalam gerakan politik hari ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-