Wednesday, April 4, 2018

Tsunami Melayu tidak mungkin berlaku dalam PRU14

4 APRIL 2018

Najib

PUTRAJAYA - Mungkinkah tsunami Melayu akan berlaku dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang? Tidak mungkin, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya tidak nampak tsunami Melayu akan berlaku. Tsunami Melayu ini bermaksud UMNO ditolak. Saya tidak nampak (itu akan berlaku).

"Kami telah mengambil bahagian dalam pilihan raya kecil (sebelum ia berperanan) sebagai satu ujian serta penilaian terhadap perasaan (orang Melayu) di peringkat akar umbi. Saya tidak nampak tsunami Melayu,” katanya kepada para editor kanan di pejabatnya di sini hari ini dengan pilihan raya dijangka diadakan tidak lama lagi.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, yang telah melawat beberapa negeri menjelangnya PRU14, berkata mood dan sentimen di kalangan rakyat adalah bagus dan ia lebih baik berbanding pilihan raya lepas.

“Saya tidak nampak mood untuk menukar kerajaan,” katanya.

Ketika ditanya mood pengundi Cina sebelum pilihan raya, Najib berkata ia agak sukar untuk menyatakannya sekarang memandangkan kecenderungan mereka untuk mengundi hanya akan lebih jelas pada saat akhir.

“MCA menyatakan pengundi Cina akan kembali (kepada BN), ada orang yang mengatakan tidak. Bagi pengundi Cina, anda hanya dapat mengesan (corak pengundian) pada saat akhir kerana mereka adalah pengundi berstrategi. Mereka akan mengundi berdasarkan pertimbangan tertentu. Jadi, kita belum dapat memastikannya lagi. Tiada siapa yang tahu secara pasti,” katanya.

Bagaimanapun, Najib menekankan bahawa orang Cina akan mendapat layanan lebih baik dengan BN terutamanya dari segi mempunyai perwakilan yang lebih kuat dalam kerajaan.

“Saya tidak boleh terus memberi empat atau lima (jawatan) menteri jika mereka (masyarakat Cina) tidak menyokong BN. Oleh itu, mereka (pengundi Cina) perlu membuat pilihan.

Jika negara makmur, begitu juga orang Cina. Jika kita maju dengan lebih kukuh dari segi ekonomi, masyarakat Cina di negara ini akan mendapat manfaat,” katanya.

Mengenai Parti Warisan Sabah yang dipimpin Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Najib berkata parti itu tidak cukup kuat untuk mewujudkan tsunami politik di Sabah. 

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-