Showing posts with label tsunami Melayu. Show all posts
Showing posts with label tsunami Melayu. Show all posts

Wednesday, April 17, 2019

Najib, Zahid tak perlu menonjol ketika UMNO sedang bangkit

admin 
16/04/2019

Tsunami patah balik orang Melayu kepada BN kerana meluatkan PH


BANGI, 10 Syaaban 1440H, Selasa Tsunami patah balik orang Melayu kepada UMNO, serta kebangkitan semula parti itu tidak seharusnya diganggu oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berpendapat adalah lebih baik Najib dan Ahmad Zahid tidak perlu mencuba untuk menjadi Presiden UMNO semula demi menjaga imej UMNO yang sedang bangkit semula sekarang.

“Melainkan mereka telah dibebaskan oleh mahkamah daripada semua pertuduhan, adalah lebih baik bagi imej UMNO jika mereka tidak memegang apa-apa jawatan dalam UMNO. Malah, pada pandangan saya DS Najib lebih baik tidak mencuba untuk menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri semula.

“Sehingga beliau dibebaskan daripada semua pertuduhan, jika itu berlaku, persepsi negatif terhadapnya, betul atau tidak, adalah terlalu tebal untuk dilupai dalam sekejap masa. Juga, adalah tidak elok bagi imej Malaysia jika Perdana Menterinya berulang alik ke mahkamah, kerana menghadapi tuduhan jenayah,” katanya.

Beliau juga berpendapat populariti Najib sekarang disebabkan rakyat kecewa dan meluat dengan Pakatan Harapan (PH) dan menteri-menterinya. Selain berasa kasihan kepadanya, rakyat juga merasakan kehidupan mereka lebih baik ketika Najib menjadi Perdana Menteri.

Namun, Abdul Hamid percaya ramai rakyat yang sanggup menerima semula Barisan Nasional (BN) dengan syarat Najib bukan Perdana Menteri.

“Najib tidak dapat lari daripada tanggungjawab sebagai pemimpin UMNO yang menyebabkan kerajaan BN tumbang buat pertama kalinya dalam sejarah. Cara untuk memperbaiki imejnya bukanlah dengan berusaha untuk menjadi Perdana Menteri semula yang berkemungkinan menyebabkan BN kalah lagi dalam PRU15.

“Malah, saya berpendapat, BN tidak akan menang, jika ia menampilkan Najib semula sebagai bakal Perdana Menterinya. Saya masih berpendapat, secara rasmi, UMNO perlu menjauhkan diri daripada Najib.

“Bagaimana dengan DS Zahid? Apa yang saya katakan mengenai DS Najib terpakai kepada beliau. Beliau eloklah mengikut teladan Najib dengan meletak jawatan sebagai Presiden UMNO. Berhentilah cakap-cakap untuk menjalankan tugas sebagai Presiden semula,” katanya.

Katanya, jika Ahmad Zahid berbuat demikian juga, populariti UMNO yang mula meningkat sekarang akan merudum semula.

Pada masa sama, Abdul Hamid memilih tiga individu yang boleh menjadi tonggak utama UMNO sekarang iaitu, Datuk Seri Mohamad Hasan; Datuk Seri Ismail Sobri Yaakob; dan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Friday, April 27, 2018

‘Masa makin suntuk untuk cetuskan tsunami Melayu’

Setakat hari ini, Pakatan Harapan, di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohmad, dikatakan berjaya menimbulkan “kocakan” di kalangan masyarakat Melayu, namun janjinya untuk mencetuskan “tsunami” masih sukar dilihat lagi.

Dengan berbaki 12 hari menjelang pilihan raya umum 9 Mei, HARAPAN perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 10 hingga 14 peratus lagi sokongan Melayu di Semenanjung Malaysia jika mahu peluang realistik menawan Putrajaya, menurut satu kajian Merdeka Center.

Kajian itu mendapati bahawa di Semenanjung Malaysia, sokongan Melayu terhadap BN semakin terhakis, terutamanya di pantai barat berbanding dengan pilihan raya umum ke-13.

Kira-kira 7.9 peratus pengundi Melayu dikatakan telah beralih dan meninggalkan gabungan pemerintah itu pada awal bulan ini.
Bagaimanapun, peralihan sokongan Melayu itu tidak mencukupi untuk menumbangkan BN kerana perpecahan dalam pembangkang dengan kedua-dua, HARAPAN dan PAS menentang BN secara berasingan.

Bagi HARAPAN, untuk memenangi 100 kerusi parlimen di Semenanjung Malaysia, dan 12 kerusi lagi dari Sabah dan Sarawak untuk mengambil-alih Putrajaya, mereka memerlukan tambahan sokongan 14 peratus pengundi Melayu.

Setakat 9 April, kajian itu mendapati sokongan Melayu ke atas HARAPAN di Semenanjung Malaysia berada pada tahap 20 peratus, diikuti oleh PAS pada 27 peratus dan BN pada 53 peratus.

Walau bagaimanapun, HARAPAN dibantu dengan sokongan pengundi Cina dan India yang tinggi masing-masing pada 85 peratus dan 54 peratus. Ini diterjemahkan kepada undi popular sebanyak 50.5 peratus.

Sementara itu, sokongan Cina dan India kepada BN masing-masing berjumlah 15 peratus dan 41 peratus manakala sokongan Cina terhadap PAS hampir boleh diabaikan manakala sokongan India berada pada tahap lima peratus.

Ini boleh diterjemahkan sebagai undi popular sebanyak 37.8 peratus untuk BN dan 24.5 peratus untuk PAS di Semenanjung Malaysia.
Kedua-dua angka itu jauh lebih rendah daripada sokongan terhadap HARAPAN yang berada pada tahap 50.5 peratus tetapi mengikut sistem First Past The Post (FPTP) dan gerrymandering, undi popular tidak menjamin kemenangan.

Andaian semasa, jika corak berkenaan tetap sama pada hari mengundi, BN dijangka akan kehilangan lebih banyak kerusi di Semenanjung Malaysia tetapi tidak mencukupi untuk menubuhkan kerajaan.

Menurut kajian itu, PAS mungkin kehilangan mana-mana kerusi yang mempunyai kurang 80 peratus pengundi Melayu.

Berbanding di pantai barat, sokongan pengundi Melayu di pantai timur yang dikatakan menjadi kubu PAS mula berpindah kepada BN.

Menurut kajian itu lagi, bagi PAS untuk mengekalkan 20 kerusi parlimen di Semenanjung Malaysia, parti itu perlu meningkatkan sokongan orang Melayu dari 27 peratus kepada hampir 40 peratus, satu perkara yang sukar dilakukan oleh parti tersebut.

Di sebalik pandangan suram itu, PAS memutuskan untuk bertanding di lebih 160 kerusi parlimen. Tindakan itu dilihat berpotensi menggagalkan usaha HARAPAN untuk menawan Putrajaya.

HARAPAN kini hanya mempunyai 12 hari lagi untuk mencuba dan mencetuskan tsunami Melayu, yang diperlukan untuk mengatasi 'gelombang hijau' PAS sebelum dapat mengusir BN dari Putrajaya.

Saturday, April 14, 2018

Pengakuan mengejutkan dari Strategis DAP

PENGAKUAN MENGEJUTKAN DARI STRATEGIS DAP: TUN DR MAHATHIR GAGAL BAWA TSUNAMI MELAYU, PAKATAN HARAPAN AKAN KALAH DAN DAP AKAN TINGGALKAN PAKATAN HARAPAN

 Posted By Admin
Apr 14, 2018

Dr Wong Chin Huat adalah strategis terkemuka DAP yang mengetuai Program Kajian Politik di Penang Institute, sebuah badan pemikir besar yang didanai oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang dan yang dipengerusikan sendiri oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Kepakaran Dr Wong Chin Huat adalah dalam bidang pilihan raya di mana tesis PhD beliau yang diserahkan kepada University of Essex pada Ogos 2011 adalah bertajuk “The Implications of the Electoral System for Party Competition in West Malaysia, 1982-2004”.

Di dalam tesis PhD beliau ini, Dr Wong Chin Huat di antara lainnya menyatakan bahawa kemungkinan untuk pembangkang berkuasa di peringkat Pusat adalah hampir tiada (next to zero) kerana faktor “excessive gerrymandering and mal-apportionment of constituencies”.

Semalam Dr Wong Chin Huat mengakui bahawa beliau meragui adanya tsunami Melayu (doubtful of a Malay tsunami) dan menyebut tidak ada apa-apa bukti meyakinkan mengenai adanya tsunami Melayu (there hasn’t been any conclusive evidence of a Malay tsunami).

Kata Dr Wong Chin Huat, dengan persempadanan semula yang meningkatkan bilangan kerusi majoriti Melayu dan bilangan pengundi Melayu dalam kawasan campuran, hanya pengundi bukan Melayu sahaja yang boleh mengekalkan kedudukan Pakatan Harapan.

Kata Dr Wong Chin Huat lagi, berdasarkan hasil persempadanan semula dan ketidakpastian tsunami Melayu ini, jangkaan selamat boleh dibuat bahawa Pakatan Harapan tidak mempunyai peluang langsung untuk menang tanpa 85 peratus pengundi keluar mengundi.

Lebih menarik lagi ialah jangkaan Dr Wong Chin Huat bahawa, selepas kalah, parti-parti di dalam Pakatan Harapan akan menyalahkan satu sama lain atas kehilangan PAS dengan PKR, PPBM dan AMANAH akan menjadi lebih pro-Melayu dan lebih menyokong agenda PAS.

Paling menarik sekali ialah jangkaan Dr Wong Chin Huat bahawa tindakan DAP meninggalkan Gagasan Rakyat pada tahun 1995, meninggalkan Barisan Alternatif pada tahun 2001 dan meninggalkan Pakatan Rakyat pada tahun 2015 akan berulang lagi selepas ini.

Kata Dr Wong Chin Huat, sama seperti alasan yang ia gunakan sewaktu meninggalkan Gagasan Rakyat, Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat, “DAP mungkin akan terpaksa meninggalkan pakatan pembangkang bagi menjaga tapak sekular dan bukan Islamnya”.

Sesatunya perkara yang menggembirakan Dr Wong Chin Huat ialah kerana tindakan SPR memilih hari pengundian pada hari bekerja, iaitu Hari Rabu, yang kononnya merupakan pengakuan tersirat Datuk Seri Najib Abdul Razak mengenai adanya tsunami Melayu.

Sungguh melucukan bila saintis politik seperti Dr Wong Chin Huat boleh menyatakan beliau menolak dapatan kaji selidik yang dibuat oleh semua pusat kaji selidik mengenai tiadanya tsunami Melayu semata-mata kerana pemilihan Hari Rabu sebagai hari pengundian.

Logik yang Dr Wong Chin Huat gunakan ialah bila Hari Rabu dipilih sebagai hari pengundian maka Datuk Seri Najib Abdul Razak mahu menghalang pengundi Melayu dari keluar mengundi menyebabkan kebimbangan mengenai tsunami Melayu akan hilang.

Logik ini, bagi saya, adalah logik yang cukup bodoh sekali, apatah lagi bila selepas tulisan Dr Wong Chin Huat ini dikeluarkan kerajaan telah mengumumkan hari pengundian adalah hari cuti bagi memudahkan semua pengundi, termasuk pengundi Melayu, keluar mengundi.

Inilah rahmat dari pemilihan Hari Rabu sebagai hari pengundian, ia secara tiba-tiba membuatkan strategis terkemuka DAP sendiri mengakui Tun Dr Mahathir gagal bawa tsunami Melayu, Pakatan Harapan akan kalah dan DAP akan tinggalkan Pakatan Harapan.

Saturday, April 7, 2018

Pakatan Harapan gegarkan kawasan MB Johor

ZIKRI KAMARULZAMAN

Sebuah padang hijau dibanjiri hadirin yang mengibarkan bendera PKR di Pasir Gudang, Johor malam tadi.

Kawasan menteri besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin kelihatan seperti dilanda "tsunami Melayu" Pakatan Harapan dan menjadi tempat pelancaran penggunaan simbol "mata" PKR sebagai logo bersama gabungan itu.

Kira-kira 4,000 orang menghadiri ceramah itu, dengan majoritinya terdiri daripada orang Melayu.

Walaupun 4,000 adalah kurang daripada separuh daripada 15,000 orang yang HARAPAN dakwa hadir di ceramahnya di Kedah minggu lepas, namun ia masih dianggap sebagai sesuatu yang mengagumkan bagi lokasi tersebut.

Pasir Gudang, dan Johor pada umumnya, adalah kubu kuat Umno.

Tetapi dengan kelahiran parti serpihan BERSATU yang mengancam kubu Umno, parti pemerintah itu mungkin bakal berdepan dengan saingan yang sukar.

Majoriti BN di Pasir Gudang telah mengalami penurunan sejak tahun 2004.

Pada tahun itu, Khaled memenangi kerusi Parlimen dengan majoriti 31,121 undi. Pada tahun 2008, majoriti berkurangan kepada 17,281 undi.

Situasi itu bertambah buruk pada 2013 apabila Khaled dipindahkan dari persekutuan ke negeri dan menjadi calon menteri besar Johor.

Dia bertanding di kerusi DUN Permas dan penggantinya di Pasir Gudang, Normala Abdul Sama, mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 935 undi.
Bagaimanapun, Khaled memenangi Permas dengan margin yang selesa sebanyak 5,752 undi, dan menjadi menteri besar yang baru.

Manifesto HARAPAN untuk Johor

Manakala kehadiran ramai orang Melayu di 'Jelajah Harapan' malam tadi mungkin menandakan sokongan yang lebih kuat daripada masyarakat majoriti itu kepada pembangkang, namun pemerhati berpandangan bahawa kehadiran tidak semestinya diterjemahkan menjadi undi.

Selain mengumumkan bahawa parti-parti komponen HARAPAN akan menggunakan logo PKR untuk pilihan raya yang akan datang, gabungan itu turut melancarkan manifesto untuk Johor.

Manifesto itu dibahagikan kepada dua kategori - janji-janji yang akan dipenuhi dalam tempoh 100 hari dan program jangka panjang lima tahun.

Bagi jangka masa pendek, antara lain, HARAPAN berjanji untuk menghadkan tempoh dua penggal untuk jawatan menteri besar, bekalan 10 meter padu air percuma untuk kumpulan B40, dan bantuan perubatan RM500 untuk kumpulan B40.

Bagi jangka masa panjang, gabungan itu mahu memperkenalkan biasiswa, mewujudkan sebuah universiti negeri, dan menjana 200,000 pekerjaan.

[Baca berita penuh]

Wednesday, April 4, 2018

Tsunami Melayu tidak mungkin berlaku dalam PRU14

4 APRIL 2018

Najib

PUTRAJAYA - Mungkinkah tsunami Melayu akan berlaku dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang? Tidak mungkin, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya tidak nampak tsunami Melayu akan berlaku. Tsunami Melayu ini bermaksud UMNO ditolak. Saya tidak nampak (itu akan berlaku).

"Kami telah mengambil bahagian dalam pilihan raya kecil (sebelum ia berperanan) sebagai satu ujian serta penilaian terhadap perasaan (orang Melayu) di peringkat akar umbi. Saya tidak nampak tsunami Melayu,” katanya kepada para editor kanan di pejabatnya di sini hari ini dengan pilihan raya dijangka diadakan tidak lama lagi.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, yang telah melawat beberapa negeri menjelangnya PRU14, berkata mood dan sentimen di kalangan rakyat adalah bagus dan ia lebih baik berbanding pilihan raya lepas.

“Saya tidak nampak mood untuk menukar kerajaan,” katanya.

Ketika ditanya mood pengundi Cina sebelum pilihan raya, Najib berkata ia agak sukar untuk menyatakannya sekarang memandangkan kecenderungan mereka untuk mengundi hanya akan lebih jelas pada saat akhir.

“MCA menyatakan pengundi Cina akan kembali (kepada BN), ada orang yang mengatakan tidak. Bagi pengundi Cina, anda hanya dapat mengesan (corak pengundian) pada saat akhir kerana mereka adalah pengundi berstrategi. Mereka akan mengundi berdasarkan pertimbangan tertentu. Jadi, kita belum dapat memastikannya lagi. Tiada siapa yang tahu secara pasti,” katanya.

Bagaimanapun, Najib menekankan bahawa orang Cina akan mendapat layanan lebih baik dengan BN terutamanya dari segi mempunyai perwakilan yang lebih kuat dalam kerajaan.

“Saya tidak boleh terus memberi empat atau lima (jawatan) menteri jika mereka (masyarakat Cina) tidak menyokong BN. Oleh itu, mereka (pengundi Cina) perlu membuat pilihan.

Jika negara makmur, begitu juga orang Cina. Jika kita maju dengan lebih kukuh dari segi ekonomi, masyarakat Cina di negara ini akan mendapat manfaat,” katanya.

Mengenai Parti Warisan Sabah yang dipimpin Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Najib berkata parti itu tidak cukup kuat untuk mewujudkan tsunami politik di Sabah. 

- Bernama

Thursday, March 15, 2018

'Tsunami Melayu kepada PAS, bukan BERSATU'


WAWANCARA |   Kemungkinan berlakunya "tsunami Melayu" menyokong Pakatan Harapan (HARAPAN) banyak kali diutarakan gabungan pembangkang itu, terutama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Mereka yakin pengundi Melayu akan memilih mereka berbanding BN antaranya kerana isu rasuah dan peningkatan kos sara hidup.

Namun Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Husin percaya partinya yang sebenarnya akan mendapat manfaat daripada gelombang itu dan bukannya BERSATU.

Abdullah (gambar) mengakui wujudnya keinginan untuk perubahan di kalangan orang Melayu tetapi mendakwa BERSATU bukanlah pilihan pertama mereka ekoran hubungan parti itu dengan DAP - yang sentiasa dituduh anti-Islam.
 
"Kebanyakan orang Melayu kuat pegangan agama, mereka tak suka (parti yang) bergabung dengan DAP. Mereka tidak akan sokong (BERSATU)," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini di Kuala Lumpur.

Beliau mendakwa perkara ini terjadi kepada PAS apabila ramai orang Melayu tidak mengundi parti itu kerana berkerjasama dengan DAP.

"Tetapi sekarang PAS sudah berpecah dengan DAP, mereka kata tiada masalah untuk undi PAS," katanya.

Malah, katanya lagi, orang Melayu melihat bagaimana PAS sentiasa konsisten dalam soal agama dan kebajikan.

"28 tahun PAS memerintah Kelantan tapi tiada seorang pun menteri besar, exco atau wakil rakyat yang didakwa atas tuduhan rasuah. 28 tahun ini rekod yang baik," katanya lagi.
Bagaimanapun beliau merasakan "tsunami Melayu" itu, kalaupun berlaku, tidak akan melanda seluruh Johor yang mempunyai demografi yang lebih pelbagai berbanding kubu kuat parti itu, iaitu pantai timur.

Abdullah juga berkata sasaran PAS Johor adalah menang di 12 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tujuh daripada 26 kerusi Parlimen.

Pada pilihan raya umum (PRU) lalu, PAS Johor menang empat kerusi DUN namun gagal menang di peringkat parlimen.

Parti itu kini hanya memegang tiga kerusi DUN selepas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Yaani Aminolhuda Hassan (gambar) keluar parti untuk menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH). Bekas pesuruhjaya PAS Johor itu kini mengetuai AMANAH negeri itu.
AMANAH yang ditubuhkan di negeri itu mendakwa ia telah melumpuhkan PAS dengan menyerap separuh daripada aset dan jentera parti di sana. Parti itu meramalkan PAS akan tewas di semua kerusi di Johor pada PRU ke-14.

Namun Abdullah memiliki pandangan berbeza. Beliau berkata hanya 15 peratus ahli yang menyeberang ke AMANAH dan ia sudah pun digantikan dengan ahli baru.

"Cuma 'orang kuat' sahaja yang keluar - Aminolhuda, Mazlan Aliman, Salahuddin Ayub dan Dzulkefly Ahmad. Ahli masih ada. Dahan saja keluar, bukan akar," katanya.

PAS dan undi Cina

Abdullah juga mengaku yang PAS dibantu sokongan pengundi Cina yang besar pada PRU lalu.

Misalnya di kerusi Abdullah sendiri iaitu DUN Puteri Wangsa. Beliau menang di kerusi majoriti Cina itu dengan majoriti 3,469 undi pada PRU lalu.

Ditanya berkenaan kemungkinan PAS ditolak pengundi Cina kerana tidak lagi bersama HARAPAN, Abdullah berkata ia tidak semestinya begitu.
"Persepsi orang Cina tidak sokong PAS masih belum diuji.

"Dulu kita kurang mendapat undi Melayu, sekarang mungkin ia akan bertambah. Undi Cina mungkin berkurant tetapi tidaklah sampai langsung tiada.

"Kami masih ada peluang," katanya.

Abdullah memimpin PAS negeri itu tahun lalu selepas kekosongan yang ditinggalkan mereka yang berhijrah kepada AMANAH. Sebelum itu beliau mengetuai Dewan Ulama PAS Negeri selama 20 tahun.

Beliau kekal optimis dengan peluang partinya di negeri itu.

Tetapi belum pasti sama ada "tsunami Melayu" yang diperkatakan itu akan membawa parti itu lebih jauh atau menghempasnya sehingga karam.

Sunday, August 27, 2017

Tsunami Melayu: Analisis Kian Ming menarik tapi tersasar, kata Salleh

FMT Reporters
August 27, 2017

Salleh berkata, Kian Ming dalam analisisnya tentang PRU14 menyatakan akan berlaku 15% peralihan undi Melayu kepada Pakatan Harapan (PH) seperti pada tahun 1999 dan 2008, tetapi pandangan itu tidak berdasarkan fakta tepat.
PETALING JAYA: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyifatkan analisis pemimpin DAP Dr Ong Kian Ming mengenai ‘tsunami Melayu” yang dikaitkan dengan kemungkinan peralihan sokongan pengundi Melayu sebagai menarik tetapi jauh tersasar.

Salleh berkata, Kian Ming dalam analisisnya tentang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menyatakan akan berlaku 15% peralihan undi Melayu kepada Pakatan Harapan (PH) seperti mana yang berlaku pada 1999 dan 2008, tetapi analisis itu tidak berdasarkan fakta yang tepat.

Katanya, hujah Ahli Parlimen Serdang itu mudah di mana setiap kali Umno berpecah akan menyebabkan orang Melayu menolak BN, lalu menyokong pembangkang.

“Ini dapat dilihat dalam PRU 1999 apabila peralihan undi Melayu berlaku sebanyak 27%. Dalam PRU 2008 pula, BN hilang majoriti 2/3 apabila 6% lagi pengundi Melayu beralih menyokong pembangkang.”

Pun begitu, soal Salleh, bolehkah dicapai 15% peralihan sokongan Melayu ini pada PRU14.

“Kian Ming kata tidak mustahil jika melihat kepada sikap pengundi Melayu dalam PRU 1999 dan 2008, dan juga jika melihat kepada munculnya PPBM.

“Benarkah andaian Ong Kian Ming tersebut? Hasil semakan saya kepada data lepas mendapati analisis Kian Ming tersasar dari fakta sebenar,” kata beliau yang juga bendahari Umno dalam tulisan disiarkan menerusi blognya hari ini.

Semlam, Kian Ming mendedahkan statistik sokongan daripada 3 komuniti utama di Semenanjung bagi BN, menunjukkan sebarang perpecahan dalam Umno mungkin akan menyebabkan lebih ramai orang Melayu akan menolak gabungan pemerintah.

Melihat arah aliran sokongan orang Melayu, Cina dan India, beliau berkata dengan sokongan Cina dan India kepada BN menurun dalam 2 pilihan raya umum lalu iaitu 2008 dan 2013, kunci kepada sebarang harapan untuk PH menang PRU14 terletak di tangan pengundi Melayu.

“Ayunan terbesar dalam sokongan Melayu terhadap BN berlaku dalam pilihan raya umum ‘Reformasi’ 1999 di mana jumlah undi Melayu untuk BN jatuh sebanyak 27% daripada 81% pada 1995 kepada 54% pada 1999.

“Berikutan itu, pada tahun 2008, undi Melayu kepada BN jatuh dengan margin yang lebih rendah sebanyak 6%,” kata beliau merujuk kepada PRU12 apabila BN kehilangan 2/3 majoriti di Parlimen dan 4 negeri lagi, kehilangan sokongan orang Cina dengan penurunan 40% dan kaum India (42%).

Pada tahun 1998, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat sebagai timbalan perdana menteri sebelum didakwa berhubung kes meliwat dan penyalahgunaan kuasa. Ramai penyokongnya meninggalkan Umno untuk memulakan PKR bersama isteri beliau Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Bagaimanapun, sebelum pilihan raya 2008, terdapat banyak rasa tidak puas hati dalam Umno berhubung pimpinan mantan perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, dengan pendahulu beliau Dr Mahathir mengetuai pemberontakan dari dalam.

Dr Mahathir meninggalkan parti itu pada Mei 2008, 2 bulan selepas PRU12 dalam usaha untuk memaksa Abdullah berhenti sebagai perdana menteri berikutan kerugian besar yang dialami dalam pilihan raya umum 2008.

“Pada pilihan raya umum 2013 (PRU13), namun sokongan BN di kalangan orang Melayu meningkat sedikit, sebanyak 5%,” kata Kian Ming.

Sekarang, dengan keputusan Dr Mahathir meninggalkan Umno bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan pemimpin parti yang lain bertanding dengan mereka, dan pembentukan PPBM, Kian Ming berkata kemungkinan tsunami Melayu seperti yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong sangat nyata.

Justeru dalam tulisannya, Salleh menjelaskan, untuk analisis yang lebih tepat perlu melihat senario 1988-1990 kerana situasi itu yang perlu dijadikan sandaran analisis perubahan undi Melayu kerana sejarah perpecahan politik Melayu bermula ketika itu.

“Pada tahun 1988, Umno berpecah setelah Dr. Mahathir dan Tengku Razaleigh bertanding merebut jawatan presiden Umno. Selepas pemilihan itu, kumpulan Tengku Razaleigh keluar Umno dan menubuhkan parti Semangat 46.

“Dalam PRU 1990, S46 bergabung dengan PAS, Hamim, DAP dan PBS, namun adakah pakatan pembangkang memenangi pilihan raya tersebut? Jawapannya tidak.”

Beliau seterusnya berkata, kemerosotan pengundi Melayu hanya 2.4% berbanding PRU 1986 manakala S46 pula hanya memenangi 8 kerusi Parlimen daripada 61 kerusi.

Dalam PRU itu S46 memenangi 19 kerusi daripada 152 kerusi yang ditandingi.

“Situasi tersebut sama seperti hari ini yang mana Umno mengalami perpecahan dengan melahirkan PPBM. Maka, bagaimana dengan PRU14 nanti?” kata Salleh sambil berkata, jika melihat kepada realiti sekarang, sukar untuk berlaku peralihan undi Melayu lagi.

Jelas beliau, dalam PRU 1999, senario berlakunya peralihan undi Melayu ketika itu adalah berbeza dengan situasi sekarang.

“Tahun 1999, negara baharu diserang krisis kewangan dan ada isu mata lebam. PRU14 isu tahun 1999 dan 2008 sudah jauh kita tinggalkan,” kata Salleh.

Salleh juga berkata, analisi beliau sebelum ini telah menggariskan 5 faktor anak muda akan menyokong BN dalam PRU14.

“Dalam analisis ini, jika mahu bersandarkan kepada hujah Umno berpecah maka Melayu akan mengalih sokongan kepada pembangkang, itu adalah generalisasi,” katanya.

Salleh yang turut merujuk kepada keputusan pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar berkata, meskipun Umno berpecah, parti pembangkang masih tidak mampu menumbangkan BN.

“Tambahan pula, parti pembangkang kini mempunyai pecahan parti Melayunya sendiri seperti Amanah yang lahir hasil perpecahannya dengan PAS.

“PPBM dan Amanah juga adalah parti baharu yang masih tidak mendapat sokongan meluas. Politiking pembangkang yang terlalu banyak juga menyebabkan rakyat bosan kerana rakyat mahu terus bergerak ke depan membangun Malaysia yang maju dan sejahtera,” katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-