Sunday, May 20, 2018

Pas sedia jadi rakan dialog kerajaan Persekutuan

Badrul Hafizan Mat Isa
20 Mei 2018 1:00 PM

TUAN IBRAHIM TUAN MAN

KUALA LUMPUR 20 Mei - Pas bersedia untuk menjadi rakan dialog kepada Kerajaan Persekutuan yang diterajui Pakatan Harapan bagi melaksanakan pembangunan negara yang cemerlang.

Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sejajar dengan konsep federalisme yang menekankan pentingnya hubungan yang baik antara kerajaan Pusat dan negeri, Pas akan meneruskan kerjasama yang baik dengan kerajaan Pusat.

“Malah lebih daripada itu, Pas bersedia menjadi rakan dialog dalam membangunkan negara di bawah konsep taawun siyasi.

“Selaras dengan budaya politik matang dan sejahtera yang menjadi pendekatan Pas kini, Pas akan menyokong dasar kerajaan yang mendorong ke arah kebaikan dan ketaqwaan kepada Allah manakala di sudut yang lain Pas sedia menjadi pembangkang yang konstruktif dan berkesan ke arah kesejahteraan dan pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi laman Facebook miliknya hari ini.

Tambah Tuan Ibrahim lagi, pendekatan politik semak dan imbang ini akan membantu kerajaan dalam melaksanakan pembangunan negara yang cemerlang.

“Pas dengan dasar Islam yang dibawa akan memperkasakan suasana harmoni antara kaum, memperkasakan jati diri rakyat Malaysia khasnya dalam kalangan umat Islam.

“Walaupun Pas bukan sebahagian daripada Pakatan Harapan yang menerajui negara, namun kejayaan Pas di dua negeri iaitu Terengganu dan Kelantan, memperoleh sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan 18 ahli Parlimen dengan sokongan lebih dua juta pengundi bukanlah angka yang kecil. Maka langkah terbaik ialah menjadikan Pas rakan dialog di negeri dan Persekutuan,” katanya.

Katanya lagi, kini seluruh rakyat mengharapkan semua parti politik bergerak ke hadapan bagi menjamin segala janji dan manifesto kerajaan dilaksanakan.

“Budaya politik konflik, fitnah dan bertembung perlu ditinggalkan dan hanya melahirkan sikap bosan dan menyampah dalam kalangan rakyat.

“Peranan Pas sebagai rakan dialog dan juga pembangkang yang berkesan pastinya adalah situasi menang-menang untuk rakyat dan kerajaan Persekutuan yang ditunjangi oleh Pakatan Harapan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-