Thursday, September 20, 2018

Ini peluang saya bersihkan nama, kata Najib

Nur Hasliza Mohd Salleh
-September 20, 2018 7:07 PM

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata pertuduhan hari ini memberikan peluang untuk membersihkan namanya berhubung dakwaan pemindahan ratusan juta dolar ke akaun bank miliknya daripada 1MDB.

Najib berkata selepas tohmahan bertali arus dia kini ada ruang terbaik untuk membuktikan dirinya di pihak yang benar.

“Isu RM2.6bil telah digunakan untuk mencaci dan menghina saya selama ini. Dengan pertuduhan-pertuduhan yang dilakukan pada hari ini, akan memberikan saya peluang untuk bersihkan nama bahawa saya bukan pencuri,” katanya kepada media di ruang legar kompleks mahkamah Jalan Duta hari ini.

Najib hari ini didakwa dengan 21 pertuduhan pengubahan wang kerana memindahkan dana haram ke akaun bank miliknya dan kemudian menggunakannya.

Dia dikatakan menerima dan menggunakan wang haram semasa tempoh jawatan perdana menteri antara 2011 dan 2014.

Dia juga dituduh menyalahgunakan kuasa dalam 4 lagi pertuduhan bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hari ini kali ke-3 Najib di mahkamah dalam tempoh 3 bulan untuk mempertahankan dirinya daripada tuduhan berkaitan kes 1MDB.

Najib berkata pertuduhan terhadapnya hari ini sama sekali tidak menggemparkan, sebaliknya mengelirukan dan perlu dijelaskan.

“Saya suka katakan selama ni tuduhan-tuduhan dilakukan hari ini terbahagi 3 peringkat iaitu dana yang diterima, dana digunakan dan dana yang dipulangkan pun didakwa.

“Kalau kita pandang sekali imbas memang menggemparkan. Tapi kalau kita faham fakta sebenarnya dan buat perkiraan, kesimpulannya saya telah pulangkan satu jumlah yang besar selepas pilihan raya umum ke-13,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-