Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Tuesday, August 20, 2019

Himpunan Penyatuan Ummah, 13-14 September

NUR HASMIRA MOHAMAD 
20 AUGUST 2019


KUALA LUMPUR: PAS dan Umno muktamad untuk memeterai piagam perpaduan ummah dan menandatangani satu memorandum persefahaman di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini 14 September depan.

Majlis menandatangani piagam tersebut akan berlangsung pada hari kedua dalam program Himpunan Penyatuan Ummah yang dijadualkan bermula pada 13 September.

Julung kalinya juga, majlis ini akan mencatatkan detik bersejarah kepada negara apabila dijangkakan hampir 10,000 hadirin akan membanjiri PWTC untuk menyaksikan permeteraian antara dua parti Melayu terbesar negara ini.

Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa, penyertaan program tersebut adalah terbuka kepada rakyat pelbagai kaum di seluruh negara ketika mengumumkan perkara itu pada sidang media Umno-PAS di Auditorium Umno, Menara Umno di sini hari ini.

"Pelbagai program menarik akan diadakan, ada program indoor danoutdoor, intelektual discourse, himpunan anak muda anjuran Pemuda Umno dan Pemuda PAS.

"Acara kemuncak pada hari pertama (13 September) adalah rapat perdana yang akan diadakan di Dataran PWTC yang menampilkan penceramah terdiri daripada Naib-naib Presiden dan Timbalan-timbalan Presiden Umno dan PAS," ulasnya.

Kata Annuar, program himpunan penyatuan ummah adalah bertujuan untuk menyemarakkan kesedaran rakyat mengenai pentingnya membina kesatuan ummah yang kukuh.

Justeru itu menurutnya sebelum tiba hari program, acara promosi mengenai program akan berjalan di seluruh negara bermula pada 24 Ogos sehingga 5 September.

Tambah beliau, sepanjang program berlangsung, kompleks PWTC akan menganjurkan karnival jualan dengan membuka pelbagai gerai makanan yang menawarkan harga murah.

Setiausaha Agong PAS, Dato' Takiyuddin Hassan pula berkata, dalam mesyuarat Umno-PAS yang juga berlangsung pada hari ini, mereka sepakat melancarkan satu logo khas, lagu tema dan tagline HPU914 sempena hari bersejarah itu.

"PAS dan Umno juga telah memutuskan untuk setiap parti membawa bersama rakan gabungan masing-masing.Umno akan bawa anggota dari BN dan PAS akan bawa rakan-rakan dari Gagasan Sejahtera," kata Takiyuddin dalam sidang media sama.

Program tersebut jelasnya lagi, akan tetap diteruskan kerana telah berjaya menarik minat rakyat meskipun timbul bibit keresahan dari komponen parti kerajaan. 

- HARAKAHDAILY 20/8/2019

No comments:

Post a Comment

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-