Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Monday, September 28, 2020

DAP, AMANAH tolak rancangan Anwar jika babitkan MP Umno bermasalah?

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN
malaysiadateline.com
September 28, 2020



Mutakhir ini saya hampir terputus dengan sumber Pakatan Harapan (PH) disebabkan keuzuran. Jadi, tanggapan saya terhadap perkembangan politik lebih bergantung kepada imiginasi dan agakan, serta sifir politik sendiri, juga didorong oleh kecenderungan saya.

Selepas selesai babak awal politik Sabah, tumpuan mungkin kembali semula kepada langkah Anwar Ibrahim untuk mendapatkan “cukup bilang”.

Ramai bersetuju dengan usaha merebut kembali kuasa yang dicuri hujung Februari 2020 itu. Dan Anwar sendiri mendapat mandat dan kepercayaan PH untuk mengumpul sokongan, meskipun ada beberapa opsyen sekiranya Anwar gagal. Memang Anwar adalah pilihan pertama dan utama.

Di Parlimen melalui beberapa kali undian, ternyata Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN) mempunyai majoriti cukup tipis, sekitar 3-4 kerusi sahaja, termasuk MP yang uzur. Jelas, kerajaan tidak stabil dan mudah goyah.

Anwar digambarkan cukup yakin dengan angka yang ada, cuma dipisahkan oleh faktor Yang di-Pertuan Agong. Sidang medianya minggu lalu juga nampak meyakinkan.

Difahamkan, untuk mendapat perkenan Agong, Anwar perlu menunjukkan sokongan yang diperolehinya adalah kuat, dengan majoriti yang selesa. Sekiranya angka yang ada sekadar majoriti tipis seperti Muhyiddin-PN, besar kemungkinan Istana Negara tidak merestui peralihan kuasa itu.

Congakan kasar saya, jika benar Mahathir-Pejuang dan Warisan yang mempunyai lebih kurang 15 kerusi Parlimen tidak bersama Anwar, Presiden PKR itu harus menarik lebih 20 wakil rakyat di luar PH untuk bersamanya.

Dengan andaian GPS kekal dengan Muhyiddin — sekurang-kurangnya gabungan parti itu tidak bersedia untuk mendapat “cukup bilang” — tumpuan kini difokuskan untuk menarik ahli Parlimen Umno-BN.

Atau mungkin ada sebilangan kecil ahli Parlimen Pas dan juga Bersatu yang turut berminat bersama Anwar; sekurang-kurangnya rekod mereka tidak seburuk pemimpin Umno. Saya kurang arif bilangan MP Bebas yang ada, apakah mereka turut tersenarai?

Apa pun, meraih sokongan lebih 20 MP Umno-BN bukan saja tidak mudah, tetapi yang jauh lebih sukar adalah untuk mendapat restu dan persetujuan daripada rakan-rakan Anwar dalam DAP dan AMNAH.

Saya juga tidak pasti bilangan MP Umno-BN yang tidak terpalit dengan tuduhan korupsi dan salahguna kuasa, yang bukan anggota pentadbiran kerajaan Muhyiddin.

Amat sukar

DAP dan AMANAH dikenali sebagai parti yang mengutamakan integriti dan berpegang dengan prinsip tatakelola yang baik (good governance). Saya yakin, untuk menarik sokongan lebih 50 MP kedua-dua parti itu amat sukar jika ahli-ahli Parlimen Umno tertentu turut sama dalam kerajaan baharu nanti.

Apatah lagi apabila kita merenung sikap politik DAP yang mempunyai 42 suara di Parlimen, yakni bilangan yang cukup signifikan.

Takut nanti, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Anwar, jangan ambil mudah pendirian sekutunya dalam PH itu. Ia bukan pilihan di antara Mahathir dan Anwar, tetapi melibatkan sikap politik dan prinsip parti yang sudah lama diasaskan.

Terdengar desas-desus pemimpin AMANAH-DAP berbisik tanda kurang puas hati dengan rancangan super sulit Anwar itu. Dipercayai Anwar tidak pun berunding dengan ketua-ketua parti, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng, tentang langkah terbarunya itu. Malah, sebahagian besar pemimpin PKR pun tidak mengetahuinya.

Saya mungkin naif membaca politik Mahathir, tetapi jika kita masih percaya bahawa kuasa mesti direbut sebelum PRU15, faktor “orang tua” itu, baik dan buruknya, mesti diambil kira.

Isunya bukan sangat sokong atau masih menaruh kepercayaan kepada Mahathir, tetapi berpakat dengan Umno-BN bagi mendapat “cukup bilang” terdedah kepada risiko penolakan daripada rakan-rakan PH sendiri.

Anwar pun bukan muda lagi, kerjaya politiknya sarat dengan pengalaman berharga; dalam usia melebihi 70 tahun itu, pasti Anwar dapat membaca penuh bijaksana situasi sulit ini dan mengatur gerak terbaik demi kepentingan negara. Anwar juga arif sangat dengan perangkah musuh politiknya.

Kita perlu bersabar menanti perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menerima menghadap Anwar. Sekarang setakat berteka-teki sahaja.

Sahabat saya menelah, maklumat mungkin hanya dikongsi oleh Anwar dan dua rakan rapatnya, Saifuddin Nasution Ismail dan Johari Abdul.

“Kedua-dua mereka, bersama Anwar, rapat dengan Zahid Hamidi, Presiden Umno,” tambahnya sambil ketawa panjang.

No comments:

Post a Comment

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-