Tuesday, May 18, 2021

Proses rayuan selesai, Najib berharap 'keadilan akan timbul'

malaysiakini.com

Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan 18 May 2021, 4:00 pm
Dikemaskini 5:06 pm
Selepas pasukan pembelaan selesai memberikan hujahan mereka untuk merayu sabitan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atasnya, Najib Razak hari ini berharap agar keadilan dapat ditegakkan.

Bercakap kepada media selepas prosiding di Mahkamah Rayuan di Putrajaya itu berakhir bekas perdana menteri terbabit juga yakin dia diberikan peluang untuk membersihkan namanya.

"Saya mendoakan keadilan akan timbul dan saya dapat peluang untuk membersihkan nama saya.

"Sudah tentu tempoh sekarang ini amat menguji kepada saya dan keluarga saya, dan saya berdoa ke hadrat Ilahi, insya-Allah apa yang kita harapkan akan jadi kenyataan," katanya.

Terdahulu pasukan pembelaan Najib yang diketuai peguam Muhammad Shafee Abdullah selesai mengemukakan penghujahan di depan tiga hakim diketuai hakim Mahkamah Rayuan, Abdul Karim Abdul Jalil.

Dua hakim lain yang bersidang bersama ialah Vazeer Alam Mydin Meera dan Has Zanah Mehat.

Najib sebelum ini disabitkan bersalah atas pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Dilanjutkan dua kali

Perbicaraan rayuan itu berlangsung selama 15 hari dah hakim akan menetapkan keputusan berhubung kes itu pada tarikh yang akan ditentukan kemudian.

"Ini antara rayuan yang memakan waktu lama jika dibandingkan dengan rayuan lain.

"Oleh kerana rayuan ini melibatkan isu penting, kami memerlukan waktu untuk mempertimbangkan dan membuat keputusan mengenai rayuan tersebut.

"Kami akan memberitahu pihak-pihak terlibat mengenai tarikh keputusan sehingga kami bersedia dengan keputusan mengenai rayuan ini," kata Abdul Karim.

Selain merupakan bekas perdana menteri, perayu juga pernah menjadi menteri kewangan, penasihat emeritus SRC dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Sebelum dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc), SRC adalah anak syarikat dana 1MDB yang bermasalah.
Pada 28 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman ke atas Najib atas satu tuduhan salah guna kuasa, tiga tuduhan CBT dan tiga tuduhan pengubahan wang haram berkaitan dana RM42 juta SRC.

Hakim perbicaraan Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib.

Mahkamah tinggi bagaimanapun membenarkan permohonan pasukan pembelaan untuk menangguhkan hukuman, sementara menunggu rayuannya dibatalkan.

Mahkamah Rayuan pada mulanya menetapkan 12 hari dari 5 hingga 22 April untuk mendengar penghujahan dari pihak pembelaan dan pendakwaan berhubung rayuan Najib.

Bagaimanapun, perbicaraan dibenarkan untuk dilanjutkan sebanyak dua kali: kali pertama dengan dua hari tambahan pada 27 dan 28 April; dan kali kedua melalui tambahan satu hari pada 6 Mei.

Tarikh 6 Mei ditetapkan untuk pasukan pembelaan Najib membalas hujah pihak pendakwaan agar Mahkamah Rayuan menolak rayuan tersebut.

Namun, disebabkan peguam bekas perdana menteri itu mempunyai kontak rapat dengan pesakit positif Covid-19, tarikh perbicaraan pada 6 Mei ditangguhkan ke hari ini.

Semasa perbicaraan di Mahkamah Rayuan hari ini, Shafee berhujah mengenai tuduhan penyalaharahan (misdirection) oleh Nazlan berhubung keputusan bersalah terhadap Najib.

Peguam bersama Harvinderjit Singh hari ini juga mengemukakan hujah berhubung tiga tuduhan CBT terhadap Najib.

Semasa perbicaraan rayuan, pasukan pembelaan berhujah antara lain, bahawa hakim perbicaraan Mahkamah Tinggi yang berpengalaman yang patut mendengar kes SRC; bahawa keterangan oleh seorang bekas pengarah SRC tidak boleh dipercayai; dan bahawa perayu tidak pernah menjadi 'pengarah bayangan' SRC.

Namun, pihak pendakwaan membalas dengan hujah antara lain bahawa semasa perbicaraan Mahkamah Tinggi, Najib telah memberikan jawapan mengelak mengenai dana SRC yang dibekukan di Switzerland; bahawa keterangan bekas Peguam Negara Mohamed Apandi Ali tidak membantu pembelaan Najib dan bahawa pergantungan pihak pembelaan terhadap perbualan menerusi Blackberry BBM yang melibatkan Low Taek Jho atau Jho Low adalah sama seperti mereka 'menjaringkan gol sendiri'.

[Baca berita asal]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-