Saturday, September 25, 2021

Majoriti Ahli MT keberatan pemilihan diadakan, yakin dengan Zahid

agendadaily.com
25/9/2021

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pemilihan parti UMNO bukan menjadi keutamaan ketika ini dan majoriti Ahli Majlis Tertinggi (MT) keberatan sekiranya ia diadakan dalam masa terdekat kerana yakin dengan kemampuan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam menerajui parti itu.

Tiada desakan atau keperluan untuk pemilihan diadakan dengan segera, rata-rata pimpinan tertinggi parti berpuas hati dengan prestasi dan pendekatan Zahid dalam menguruskan parti tersebut yang diyakini mampu memberi kemenangan besar kepada UMNO dalam pilihan raya umum (PRU) nanti.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam laporan Utusan Malaysia berkata masih belum ada ketetapan pemilihan perlu dijalankan dan parti juga tidak melihat ia perlu diadakan dengan secepat mungkin memandangkan negara masih berdepan dengan krisis kesihatan, Covid-19 ketika ini.

“Bila tarikhnya nanti adalah bergantung pada keadaan. Tidak dapat untuk kita katakan sama ada pemilihan UMNO akan dilakukan sebelum atau selepas PRU-15 kerana kita juga tidak tahu bila pilihan raya.

“Parti telahpun meminta pandangan daripada agensi-agensi kerajaan tentang sama ada kita dapat mengadakan pemilihan atau pun tidak, namun nasihat daripada agensi Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan (KKM) ada dua iaitu boleh buat pemilihan tetapi haruslah mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya dipetik dalam laporan itu.

Kenyataan oleh pemimpin nombor dua UMNO itu secara tidak langsung memberi isyarat parti tidak bersedia untuk menjalankan pemilihan dengan segera dan Zahid perlu diberi peluang untuk mengemudi parti sehingga PRU.

Beliau juga menolak sekiranya pemilihan diadakan secara yang maya kerana ia menyukarkan untuk ahli parti keluar mengundi menunaikan tanggungjawab mereka.

“Yang keduanya, dibuat secara maya. Jadi dalam tahun pemilihan, kalau hendak dibuat secara maya, itu agak susah dan kita juga tidak boleh mengarahkan ahli untuk tidak hadir, cukup setakat satu per empat korum sahaja,” katanya lagi.

Terdahulu, seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar juga senada dengan tidak membantah sekiranya pemilihan parti itu tidak diadakan dengan segera tetapi akar umbi akan akur sekiranya keputusan sudah dibuat oleh pucuk pimpinan parti itu.

“Saya ingat perkara ini biarlah MT yang menentukan, saya sebagai ahli parti akan akur apa juga keputusan yang dibuat.

“Pendirian akar umbi di Tanjong Karang pun akan akur. Tetapi pada saya, kita sebagai kerajaan kena lupakan dahulu soal politik sama ada dalaman ataupun luar,” katanya.

Pemilihan peringkat cawangan, bahagian dan MT yang sepatutnya diadakan pada Ogos dan September tahun ini ditangguhkan berikutan kebimbangan terhadap penularan Covid-19 yang tinggi.

Keputusan itu dibenarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) selaras dengan Perlembagaan UMNO Fasal 10.16 iaitu MT berhak menangguhkan pemilihan di peringkat MT, bahagian dan cawangan, namun penangguhan itu tidak boleh lebih daripada 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-