Showing posts with label gereja. Show all posts
Showing posts with label gereja. Show all posts

Tuesday, June 4, 2019

Islam jadi alat politik kepartian secara berleluasa

Dr Mohd Asr Zainul Abidin


ULASAN | Ramai yang mendesak saya mengulas mengenai beberapa isu panas seperti berbuka puasa di rumah ibadah agama lain, bukan muslim menyampaikan zakat dan seumpamanya.

Semua ini asalnya isu fikah atau hukum yang telah bertukar menjadi isu politik kepartian. Untuk itu, saya ingin menarik perhatian kepada beberapa perkara berikut dalam memahami isu-isu ini.

Islam itu membimbing semua aspek kehidupan manusia termasuk politik. Islam itu bukan semuanya politik, namun politik mestilah tidak bercanggahan dengan Islam yang penuh maslahah untuk manusia.

Parti politik perlu mematuhi ajaran Islam, bukan parti politik menentukan hukum-hakam Islam sesuai dengan kepentingan parti.

Banyak perbahasan isu-isu agama menjadi tidak rasional disebabkan berleluasanya penggunaan Islam sebagai alat politik kepartian.

Hal ini bukan sahaja membabitkan satu atau dua parti politik, sebaliknya hampir keseluruhan. Bahkan ada parti tertentu yang begitu memperalatkan Islam dalam politik kepartian mereka.

Hukum-hakam syarak - jika dilihat dan dibahas secara objektif - sudah pasti pertimbangan kita lebih adil dan saksama. Umpamanya, iftar (berbuka puasa) di rumah ibadah agama lain pada asalnya tidaklah membatalkan akidah ataupun puasa.

Tiada larangan syarak

Sedangkan solat yang merupakan ibadah utama yang membabitkan amalan khusus pun, ulama berbeza pendapat mengenai hukum menunaikannya di gereja ataupun rumah ibadat.

Ini seperti yang disebut Ibn Qudamah al-Maqdisi dalam kitab fekahnya al-Mughni di bawah fasal Mengenai Solat Dalam Gereja Yang Bersih.

Ada yang membolehkan dan ada yang memakruhkan disebabkan wujud patung dan gambar di dalamnya. Bahkan pendapat yang membolehkan itu diambil daripada sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW iaitu Umar al-Khattab dan Abu Musa al-‘Ashaari.

Juga daripada salaf seperti Umar ‘Abd al-‘Aziz, Hasan al-Basri, al-Sya’bi, al-Auza’i dan Sa’id bin ‘Abd al-‘Aziz.

Majma’ al-Fiqh al-Islami (International Islamic Fiqh Academy) yang bersidang di Amman, Jordan pada Okt 1986 menjawab persoalan International Institute of Islamic Thought (IIIT) berkaitan hukum menyewa gereja untuk solat, menyatakan: Menyewa gereja untuk solat ketika perlu, tiada larangan dari segi syarak. Hendaklah dielak solat mengadap ke arah patung-patung dan gambar-gambar. Hendaklah ditutup dengan tutupan jika ia berada pada arah Kiblat.

Jika solat di gereja atau rumah ibadah yang lain dibolehkan andainya ada keperluan untuk itu, maka sudah pasti berbuka puasa - yang sekadar menjamah makanan - pasti lebih dibolehkan.

Bahkan berbuka puasa itu tidak memerlukan upacara khas selain sekadar makan sahaja. Ia boleh dilakukan di mana-mana.
Gambar hiasan
Ibadah solat tidak disertai oleh orang yang tidak berkaitan, sedangkan hidangan makanan iftar boleh disertai oleh sesiapa sekalipun termasuk orang yang tidak berpuasa seperti wanita dalam haid, bukan muslim dan seumpamanya.

Iftar tidak perlu mengadap kiblat, berwuduk atau suci daripada hadas besar. Apa yang perlu hanyalah makanan yang halal.

Benar, ketika berbuka disunatkan kita berdoa. Ia boleh dilakukan secara sendirian. Maka, jika ada keperluan, bukanlah sesuatu yang menjadi isu besar untuk berbuka di tempat ibadah orang lain - jika ia dilihat di sudut ilmiah.

Fatwa diubah ikut 'angin'

Namun ia satu masalah jika dilihat dari persepsi politik, atau majlis iftar itu sendiri bersifat politik.

Justeru, konteks kejadian itu hendaklah dikaji. Umpamanya, di zaman Islamophobia, jika ada kumpulan muslim di negara minoriti Muslim berjaya menganjurkan majlis berbuka puasa di gereja atau tempat ibadat agama lain - sebagai usaha memperkenalkan Islam atau memberikan persepsi yang baik berkaitan Islam - pastilah ia sesuatu yang baik.

Demikian juga jika ada keperluan yang nyata untuk ia dilakukan di mana-mana dalam usaha mendekatkan kefahaman Islam kepada mereka yang jauh atau ada sangkaan yang salah.

Namun, dalam suasana tiada sebarang keperluan untuk melakukan demikian, dalam keadaan Muslim menumpukan ibadah di masjid-masjid, maka sudah pasti iftar di rumah ibadah agama lain menimbulkan banyak persoalan.

Baca Kereta mufti Perlis dibaling bom petrol - polis

Lebih menjadi persoalan jika anjuran itu bersifat politik kepartian yang seakan kelihatan menggunakan program agama untuk politik.

Hakikatnya, dalam negara kita, menggunakan jenama agama untuk kempen politik kepartian telah berlaku begitu berleluasa.

Sejak sekian lama begitu ramai tokoh dan parti politik melakukannya. Bahkan ada yang menjadikan parti politik seakan agama itu sendiri.

Diubah fatwa-fatwa agama berdasarkan kepada ‘angin’ dalam parti. Maka, apa yang dahulu haram, kini dihalalkan walaupun keadaan masih macam zaman ia diharamkan.

Dahulu haram, kini halal, walaupun hal itu masih yang dahulu.

Demikianlah bahayanya permainan politik kepartian menggunakan agama. Ia satu persendaan kepada agama sebenarnya.

Orang-orang politik itu tanpa mengira parti - walaupun bukan semua - seringkali tindakan mereka mempunyai rencana yang berbeza daripada apa yang kita lihat.

Ada yang menghulurkan ‘sumbangan ikhlas’ untuk berbuka puasa, tetapi tujuannya: undi. Jika kita beritahu namanya tidak disebutkan dalam majlis tersebut, tentu dia akan menarik diri.

Demikan dalam banyak keadaan majlis-majlis yang bersifat keagamaan yang membabitkan orang politik. Maka, jika mereka diberikan lesen besar untuk menggunakan agama sebagai bahan kempen, kepercayaan manusia kepada Islam akan tergugat.

Sebab itu Saidina Ali apabila mendengar slogan agama yang dilaungkan oleh pihak pelampau politik dalam sejarah Umat Islam - iaitu Khawarij - beliau berkata: “Satu slogan yang benar, tetapi dengan tujuan yang batil". (Riwayat Muslim dalam Sahih Muslim).

Selagi kita tidak berjaya menghentikan agama dijadikan alat atau hiasan politik kepartian, selagi itulah kita tidak akan berhenti membahaskan isu-isu yang seperti ini.

Padahal, isu itu - jika dilihat dari segi ilmiah dan akademiknya - mempunyai perbincangan yang lain.

DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN ialah mufti Perlis. Rencana ini asalnya adalah hantaran di media sosial beliau.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Monday, June 11, 2018

Tuhan, ibu, doa dan keajaiban punca pelantikan, kata Tommy

FMT Reporters | June 11, 2018
Peguam Negara baru dilantik mengucapkan syukur kepada komuniti Kristian atas doa mereka.

VIDEO INSIDE

Tommy Thomas berkata pelantikannya sebagai peguam negara kerana doa ibunya. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Peguam Negara Tommy Thomas mengucapkan rasa syukur kepada komuniti Kristian Malaysia atas sokongan mereka menerusi doa yang diadakan di gereja, dan berkata beliau percaya pelantikannya ke jawatan perundangan tertinggi negara baru-baru ini adalah “keajaiban” daripada Tuhan.

“Ketika berada di gereja, di depan penganut Kristian lain, saya beritahu anda, saya dilantik kerana keajaiban Tuhan. Tuhan menjawab doa kita.

“Tetapi sebenarnya ia adalah doa ibu saya,” kata Tommy kepada mass Ahad semalam di Gereja St Thomas Mar Thoma di Kuala Lumpur.

Gereja Mar Thoma sering dikunjungi penganut Kristian denominasi Koptik Syria, yang merupakan denominasi ikutan Tommy.

Tommy, 66, dilantik sebagai peguam negara oleh Yang di-Pertuan Agong minggu lepas, selepas tertangguh sementara berikutan spekulasi pelantikannya tidak mendapat persetujuan diraja.

Bercakap kepada pengunjung ke gereja, Tommy menganggap pelantikannya berpunca daripada “kekuatan doa dan keajaiban”.

“Ribuan penganut Kristian dan gereja berdoa untuk saya, jadi ini adalah keajaiban. Saya bersyukur kepada Tuhan. Sebab itulah saya dilantik,” katanya.

Tommy yang tidak menggunakan telefon bimbit, berkata beliau kini tidak mempunyai pilihan, dan terpaksa membelinya.

“Saya mengelak membeli telefon bimbit lebih 20 tahun,” katanya, sambil menambah begitu banyak perkara berlaku sepanjang 2 setengah hari bertugas di Jabatan Peguam Negara.

“Peralihan itu sukar dipercayai,” katanya.

Wednesday, April 22, 2015

Abang kepada ketua polis negara akan disoal siasat

Datuk Abdullah Abu Bakar, abang kepada ketua polis negara dijangka hadir ke Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya hari ini bagi membantu siasatan berhubung insiden protes di depan gereja di Taman Medan, Ahad lalu

KUALA LUMPUR – Abang kepada ketua polis negara, Datuk Abdullah Abu Bakar, akan menemui polis hari ini untuk disoal siasat berhubung insiden protes di depan gereja di Taman Medan, Petaling Jaya, Ahad lalu.

Beliau memberitahu The Malaysian Insider, polis menghubunginya awal hari ini memintanya hadir ke Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya hari ini.

“Sekiranya tiada sebarang halangan, saya akan hadir untuk disoal siasat pada hari ini juga.

“Saya akan datang hari ini kerana saya pun tidak suka perkara ini bertangguh-tangguh,” katanya

Ditanya apakah terdapat lagi kumpulan protes pada Ahad lalu dipanggil polis, Abdullah berkata beliau tidak tahu mengenai perkara itu.

“Saya tidak tahu orang lain ada dipanggil atau tidak ,” kata Abdullah yang merupakan ketua Umno cawangan Taman Lindungan Jaya.

Ahad lalu kira- kira 50 orang Melayu memprotes menuntut pihak gereja untuk menurunkan salib yang diletakkan bangunan premis komersil di Taman Medan.

Kumpulan tersebut mendakwa salib tersebut menggugat keimanan mereka dan Abdullah didakwa sebagai ketua kampung dan mengetuai protes tersebut.

Bagaimanapun Abdullah menafikan beliau bukan merupakan ketua kampung dan tidak mengetuai protes tersebut sebaliknya hanya bertindak sebagai orang tengah bagi meredakan keadaan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam reaksinya berhubung penglibatan abangnya tidak menganggap ianya dapat dikaitkan dengan Akta Hasutan.

Namun pendirian beliau bercanggah dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan kes itu perlu disiasat kerana mempunyai kecenderungan menghasut.

Semalam pada sidang medianya, Khalid menegaskan beliau bersikap profesional dan menjamin tidak akan terlibat dalam kes abangnya itu.

“Saya tidak risau jika tindakan diambil ke atas abang saya dan sekiranya membabitkan sebarang kesalahan, saya tidak akan masuk campur dengan siasatan dijalankan polis Selangor.

“Kita akan siasat. Biar pihak berkuasa, pihak berkuasa tempatan, kerajaan negeri dan polis menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Tuesday, April 21, 2015

Adakah taksub agama sudah mencapai tahap baru di Malaysia?

oleh V Shuman

KOMEN: “ Aku mencintaimu taktala kau tunduk sujud di masjid mu, berteleku di kuil mu, bersembahyang di gereja mu. Kerana kau dan aku adalah anak-anak satu agama, dan itulah semangatnya.”

Begitulah kata-kata Kahlil Gibran penulis dan penyair warga Lebanon-Amerika.

Mungkin sudah sampai masanya untuk kita menerapkan idea ini ke dalam kepala otak bebal kelompok orang yang dikatakan beragama yang sedang membuat kacau di negara ini.

Boleh untuk kita katakan yang paranoia agama di negara ini sedang berada di kemuncaknya.

Kumpulan radikal yang mendakwa mewakili orang Melayu dan Islam meminta orang bukan Islam untuk ‘berdiam diri’ dalam pelbagai isu dan menekan komuniti minoriti untuk tunduk, selalu benar di lepaskan tanpa satupun amaran daripada pihak berkuasa.

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan sekumpulan orang yang berhimpun untuk mendesak simbol salib di turunkan daripada sebuah gereja kerana mereka beranggapan ianya boleh menggugat keimanan dan menjadikan mereka orang kafir.

Gereja Taman Medan menurunkan simbol salib yang baru dua hari diletakkan berikutan bantahan aman yang dilakukan ‘penduduk’ yang mendakwa mewakili penduduk majoriti melayu yang tinggal di kawasan sekitar.

Sebegitu lemahkah iman mereka sehingga mereka boleh dipengaruhi untuk keluar daripada agama yang mereka dilahirkan ke dalamnya, hanya dengan satu binaan fizikal?

Saya dilahirkan sebagai orang Hindu, dan akan mati sebagai orang Hindu. Saya telah menjejakkan kaki di dalam gereja, tokong, Gurdwaras malah surau, dan tidak pernah sekalipun dalam situasi tersebut kepercayaan saya diganggu gugat.

Tidak pernah sekalipun saya memandang salib dan berkata “wow, coolnya salib tu…saya nak masuk Kristian lah.” Saya juga tidak pernah sedikitpun dipengaruhi untuk menukar agama selepas membaca atau mendengar kesucian dan keagungan nilai agama mereka yang tertulis dalam kitab-kitab suci agama tersebut.

Ini ialah kerana saya mencintai dan menjunjung agama saya, dan menghina atau memandang rendah agama orang lain ‘hanya kerana saya bersembahyang kepada Tuhan yang satu dan saya percaya”, tidak akan berlaku

Dalam kes Taman Medan, pengurusan gereja sangat berbaik hati untuk menurunkan simbol salib itu untuk mengelakkan situasi daripada menjadi tidak terkawal- walaupun tindakan itu pastinya dilakukan dengan berat hati.

Kepada semua pembantah ‘alim’ yang berkumpul pada Ahad lepas- adakah anda tahu apa yang dikatakan di dalam Al-Quran yang suci tentang menghormati dan bertolak ansur dengan agama lain?
Sekarang barulah timbul isu yang majoriti pembantah ialah ahli-ahli Umno . Lelaki yang mengepalai pembantahan itu, “ketua kampung” ialah Abdullah Abu Bakar Asa yang juga Ketua Bahagian Umno PJS.

Twitter sekarang kecoh dengan penyebaran gambar Abdullah di dalam kasino semasa percutian ke Las Vegas di Amerika Syarikat tidak berapa lama dahulu, yang di poskan di laman Facebooknya.

Abdullah, salib tidak OK, jejak kaki di kasino OK? Betapa hipokritnya- biasalah orang Umno.

Portal The Malaysian Insider juga melaporkan yang Abdullah juga ialah abang kepada Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar.

Maka adakah perhimpunan ini mempunyai permit polis? Atau tidak ada keperluan untuk memohonnya?

Timbul juga isu yang salah seorang pembantah wanita, Munaliza Hamzah, juga mempunyai kaitan dengan Umno. Dia pernah bertanding, dan kalah dalam cubaannya untuk menjadi wakil rakyat kerusi Taman Medan pada 2008.

Adakah ini satu lagi taktik kotor ‘pecah dan perintah’ oleh Umno?

Ramai orang Islam menyuarakan ketidakpuasan hati mereka kepada perhimpunan tersebut.

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali menyifatkannya sebagai tindakan ‘yang tidak boleh diterima dan menghina orang Kristian.’

Seorang netizen membandingkan kejadian ini dengan tindakan kumpulan militant Negara Islam (IS) yang menceroboh bandar-bandar di Syria dan memaksa gereja-gereja untuk menurunkan tanda salib atau berhadapan dengan risiko di bom.

Begitu hinakah kita kini?

Lebih membimbangkan ialah, pembantah-pembantah ini selalunya tidak dikenakan tindakan, kerana mereka berada di dalam kumpulan yang betul.

Memijak kepala lembu atau mengancam membakar rumah ibadat- yang paling teruk pun mereka kena ialah denda.

Mungkin ada benarnya kata-kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua yang mengatakan bahawa terdapat amalan pilih kasih kerana kegagalan menggunakan Akta Hasutan ke atas pembantah dalam kes terbaru ini.

Lagipun, beliau menegaskan, Akta itu mempunyai peruntukan untuk menghalang tindakan yang mempromosikan “ niat jahat atau keburukan (…) di atas sebab agama.”

Kali terakhir saya periksa, Kristian ialah satu agama dan salib ialah simbol agama mereka. Mana-mana kumpulan yang memaksa simbol suci agama lain diturunkan dalam apa jua keadaan, tindakan ini perlu dilihat sebagai satu kesalahan, dan pelakunya, dihukum.

Adakah kita akan melihat Akta Hasutan dikenakan ke atas lebih 50 pembantah ini, atau pihak berkuasa hanya buat tak peduli kerana kelompok kurang ajar ini mempunyai kaitan dengan Umno?

Fakta yang wujud tentang kelompok pembantah ini mempunyai kaitan dengan Umno ditambah pula dengan siapa ketua pembantah ini, pembaca kami yang bijaksana pastinya sudah boleh mengagak jawapannya.

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Adakah-taksub-agama-sudah-mencapai-tahap-baru-di-Malaysia#sthash.IsAJV2Zg.dpuf

Protes salib ada unsur hasutan: KPN kata tiada, Zahid jawab ada

Khalid (kiri) hari ini dipetik sebagai berkata tiada unsur hasutan dalam protes menurunkan salib sebuah gereja di Petaling Jaya pada Ahad, manakala Zahid (kanan) dilaporkan beranggapan kejadian itu sebagai menghasut dan ahli UMNO yang terbabit akan dikenakan tindakan. - Foto arkib TRP/Azrol Ali

KUALA LUMPUR, 20 April:

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tiada unsur hasutan dalam tunjuk perasaan oleh sekumpulan penduduk terhadap sebuah gereja di Taman Medan semalam, kerana bantahan itu hanya mengenai lokasi gereja berkenaan.

“Kami tidak melihatnya sebagai menghasut kerana ia tidak menyentuh mengenai agama Kristian tetapi hanya tentang lokasi gereja,” kata Khalid hari ini pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman selepas majlis pelancaran Projek Rumah 1Malaysia (PR1MA) untuk warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mengulas mengenai abang beliau Datuk Abdullah Abu Bakar yang turut berada di tempat kejadian, Khalid berkata Abdullah selaku Ketua UMNO Cawangan Lindungan Jaya berada di lokasi demonstrasi itu sebagai seorang pemimpin masyarakat.

Beliau yang juga menyifatkan tunjuk perasaan itu sebagai tindakan ‘flash mob’ berkata, keadaan adalah terkawal berdasarkan laporan yang dibuat pegawai polis bertugas dan menegaskan tidak akan berkompromi jika terdapat kesalahan dilakukan.

“Jika ada perkara yang libatkan kesalahan atau pelanggaran mana-mana undang-undang tindakan akan diambil tanpa bias, tidak kira jika mereka adik-beradik saya atau anak-anak saya, tidak ada masalah, kami (polis) akan menjalankan tugas kami,” kata Khalid sambil menambah tindakan akan diambil tanpa berat sebelah, lapor portal berita The Malaysian Insider (TMI).

Menjelaskan lebih mengenai abangnya, Khalid berkata Abdullah berada di situ, di mana peserta demonstrasi meminta pemimpin gereja menurunkan simbol salib di luar premis di sebuah lot kedai itu, bagi membantu menenangkan orang ramai dan memastikan ia tidak merebak menjadi agresif.

“Kami mengkaji keseluruhan isu dan ia bukan berunsur hasutan kerana ia bukan mengenai agama Kristian.

“Salib itu diturunkan susulan terdapat permintaan daripada masyarakat dan dipersetujui oleh paderi di situ sendiri. Tidak ada kekerasan digunakan ketika salib itu diturunkan,” kata Khalid.

Beliau selanjutnya memberitahu perkara itu dirujuk kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan kerajaan negeri Selangor kerana ia dianggap sebagai isu masyarakat.

“Wakil rakyat juga perlu memainkan peranannya menyelesaikan isu ini,” kata beliau sambil menambah, setakat ini tidak ada laporan polis dibuat mana-mana pihak.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada masyarakat dan paderi gereja kerana mengendalikan keadaan dengan cara yang aman.

Semalam, kira-kira 50 orang berkumpul di luar gereja baru itu yang terletak di sebuah rumah kedai, menuntut salib yang dilekatkan di rumah ibadat itu diturunkan sebagaimana dilaporkan The Star Online.

Penunjuk perasaan dilaporkan berkata kewujudan salib di kawasan majoriti Melayu Islam itu merupakan satu cabaran kepada agama Islam dan boleh menjejaskan akidah anak muda.

Salib berkenaan diturunkan beberapa jam selepas protes itu.

Berbeza dengan Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi berpendapat bantahan terhadap salib gereja di Petaling Jaya pada Ahad sebagai menghasut.

“Sudah tentu, ya, ya, ya,” kata Zahid ketika ditanya pemberita sama ada bantahan penduduk di Taman Medan itu menghasut.

“Saya tidak kira siapa. Polis tidak kira siapa. Tindakan harus diambil terhadap mereka,” tegas Ahmad Zahid dipetik dari laporan portal berita Malaysiakini.

Zahid juga berkata bahawa tindakan disiplin akan diambil terhadap anggota UMNO yang terlibat dalam protes yang mencetus kontroversi itu.

“Sudah tentu, sudah tentu, sudah tentu… kerana mereka melanggar undang-undang. Dalam UMNO, kita mesti hormat agama lain. Mereka harus hadapi akibatnya,” tegas beliau.

Sementara itu, laman Facebook Friends of BN juga hari ini mengutuk perhimpunan yang dianggap ‘memaksa’ gereja menurunkan salib itu.

“Sebagaimana umum tahu, masyarakat Melayu sekarang iaitu yang beragama Islam, ada yang sensitif mengenai tanda salib.

“Namun sekiranya iman dan kepercayaan orang Islam kuat, kita tidak perlu takut kepada lambang agama lain,” kata satu posting di laman Facebook Friends of BN.

Sambil menegaskan Rasulullah SAW sendiri menghormati agama lain, Friends of BN juga berkata agama harus menjadi penjaga keamanan, bukan pencetus perbalahan.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/04/20/protes-salib-ada-unsur-hasutan-kpn-kata-tiada-zahid-jawap-ada/#ixzz3XthNaUOH

Sunday, January 4, 2015

Nik Nazmi gagal atasi masalah gereja

Bantahan penduduk sekitar yang tidak bersetuju dengan pembinaan gereja empat tingkat di kawasan perumahan Mentari Court di mana majoriti penduduknya beragama Islam. - Foto TRP/Qurnisha Hamka

PETALING JAYA, 2 November:

Perancangan pembinaan gereja di kawasan perumahan sekitar Mentari Court didakwa tidak mendapat perhatian wakil rakyat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Menurut wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Sahabat Daerah Petaling, Ishak Maarof, bantahan yang dianjurkan kali ketiga ini jelas menunjukkan kemarahan penduduk sekitar yang tidak bersetuju dengan pembinaan gereja empat tingkat itu.

“Mana pergi wakil rakyat kita, Nik Nazmi? Dia sibuk pergi ke Putrajaya untuk perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim, pergi ke KDN (Kementerian Dalam Negeri) untuk menyokong mansuh Akta Hasutan, tapi masalah penduduk di kawasan, dia tidak ambil peduli.

“Dia tak ingat ke siapa yang menyokong dia dulu sampai menang di kawasan ini? Kita bantah pembinaan gereja ini dah masuk kali ketiga.

“Apa yang dia buat? Penuhkan poket dia sahaja dan tidur,” katanya ketika bercakap di hadapan kira-kira 50 orang penduduk di kawasan berkenaan.

Penduduk di sekitar kediaman Mentari Court itu berkumpul atas tujuan membantah pembinaan gereja empat tingkat yang jelas menimbulkan kegusaran di kalangan majoriti penduduk yang beragama Islam.

Menurut Noriza Abu Bakar, 46, yang merupakan penduduk di Damai Apartment di kawasan berkenaan, rancangan pembinaan gereja di kawasan itu disfatkan sebagai tidak munasabah.

“Kenapa nak bina gereja di kawasan yang majoriti penduduknya orang Islam, yang mana penganut Kristian di kawasan ini hanya sekitar dua peratus sahaja. Ini tidak masuk akal.

“Malah, mereka ini juga bagi makanan percuma kepada semua orang. Ini yang kita risaukan, kita takut dengan anak-anak kita yang tak tahu apa-apa,” luah Noriza sambil menambah pembinaan gereja di kawasan ini seakan-akan satu usaha untuk memesongkan akidah umat Islam.

Sekitar 50 orang berkumpul di hadapan tapak rancangan pembinaan gereja empat tingkat itu bagi menyuarakan bantahan mereka.

Bagi penganjur bantahan itu, Mazlan Md Yunos, sebagai Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Lembah Subang, beliau berkata bahawa tindakan ini akan ditentang keras sehingga projek pembangunan gereja itu dibatalkan.

“Kami akan bantah sehingga pembinaan gereja ini dibatalkan, sebab kawasan ini tidak sesuai.

“Majoriti penduduk di sini beragama Islam, dan saya minta pihak majlis mencari tempat lain yang bersesuaian untuk membina gereja,” katanya.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 2012 telah meluluskan pembinaan gereja empat tingkat di kawasan tanah kosong yang telah diperuntukkan untuk pembinaan rumah ibadat bagi bukan Islam di antara pangsapuri Mentari Court dan Pangsapuri Damai.

Kawasan tersebut sebelum ini merupakan penempatan setinggan, tempat letak kereta dan gerai makan.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-