Tuesday, April 21, 2015

Adakah taksub agama sudah mencapai tahap baru di Malaysia?

oleh V Shuman

KOMEN: “ Aku mencintaimu taktala kau tunduk sujud di masjid mu, berteleku di kuil mu, bersembahyang di gereja mu. Kerana kau dan aku adalah anak-anak satu agama, dan itulah semangatnya.”

Begitulah kata-kata Kahlil Gibran penulis dan penyair warga Lebanon-Amerika.

Mungkin sudah sampai masanya untuk kita menerapkan idea ini ke dalam kepala otak bebal kelompok orang yang dikatakan beragama yang sedang membuat kacau di negara ini.

Boleh untuk kita katakan yang paranoia agama di negara ini sedang berada di kemuncaknya.

Kumpulan radikal yang mendakwa mewakili orang Melayu dan Islam meminta orang bukan Islam untuk ‘berdiam diri’ dalam pelbagai isu dan menekan komuniti minoriti untuk tunduk, selalu benar di lepaskan tanpa satupun amaran daripada pihak berkuasa.

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan sekumpulan orang yang berhimpun untuk mendesak simbol salib di turunkan daripada sebuah gereja kerana mereka beranggapan ianya boleh menggugat keimanan dan menjadikan mereka orang kafir.

Gereja Taman Medan menurunkan simbol salib yang baru dua hari diletakkan berikutan bantahan aman yang dilakukan ‘penduduk’ yang mendakwa mewakili penduduk majoriti melayu yang tinggal di kawasan sekitar.

Sebegitu lemahkah iman mereka sehingga mereka boleh dipengaruhi untuk keluar daripada agama yang mereka dilahirkan ke dalamnya, hanya dengan satu binaan fizikal?

Saya dilahirkan sebagai orang Hindu, dan akan mati sebagai orang Hindu. Saya telah menjejakkan kaki di dalam gereja, tokong, Gurdwaras malah surau, dan tidak pernah sekalipun dalam situasi tersebut kepercayaan saya diganggu gugat.

Tidak pernah sekalipun saya memandang salib dan berkata “wow, coolnya salib tu…saya nak masuk Kristian lah.” Saya juga tidak pernah sedikitpun dipengaruhi untuk menukar agama selepas membaca atau mendengar kesucian dan keagungan nilai agama mereka yang tertulis dalam kitab-kitab suci agama tersebut.

Ini ialah kerana saya mencintai dan menjunjung agama saya, dan menghina atau memandang rendah agama orang lain ‘hanya kerana saya bersembahyang kepada Tuhan yang satu dan saya percaya”, tidak akan berlaku

Dalam kes Taman Medan, pengurusan gereja sangat berbaik hati untuk menurunkan simbol salib itu untuk mengelakkan situasi daripada menjadi tidak terkawal- walaupun tindakan itu pastinya dilakukan dengan berat hati.

Kepada semua pembantah ‘alim’ yang berkumpul pada Ahad lepas- adakah anda tahu apa yang dikatakan di dalam Al-Quran yang suci tentang menghormati dan bertolak ansur dengan agama lain?
Sekarang barulah timbul isu yang majoriti pembantah ialah ahli-ahli Umno . Lelaki yang mengepalai pembantahan itu, “ketua kampung” ialah Abdullah Abu Bakar Asa yang juga Ketua Bahagian Umno PJS.

Twitter sekarang kecoh dengan penyebaran gambar Abdullah di dalam kasino semasa percutian ke Las Vegas di Amerika Syarikat tidak berapa lama dahulu, yang di poskan di laman Facebooknya.

Abdullah, salib tidak OK, jejak kaki di kasino OK? Betapa hipokritnya- biasalah orang Umno.

Portal The Malaysian Insider juga melaporkan yang Abdullah juga ialah abang kepada Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar.

Maka adakah perhimpunan ini mempunyai permit polis? Atau tidak ada keperluan untuk memohonnya?

Timbul juga isu yang salah seorang pembantah wanita, Munaliza Hamzah, juga mempunyai kaitan dengan Umno. Dia pernah bertanding, dan kalah dalam cubaannya untuk menjadi wakil rakyat kerusi Taman Medan pada 2008.

Adakah ini satu lagi taktik kotor ‘pecah dan perintah’ oleh Umno?

Ramai orang Islam menyuarakan ketidakpuasan hati mereka kepada perhimpunan tersebut.

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali menyifatkannya sebagai tindakan ‘yang tidak boleh diterima dan menghina orang Kristian.’

Seorang netizen membandingkan kejadian ini dengan tindakan kumpulan militant Negara Islam (IS) yang menceroboh bandar-bandar di Syria dan memaksa gereja-gereja untuk menurunkan tanda salib atau berhadapan dengan risiko di bom.

Begitu hinakah kita kini?

Lebih membimbangkan ialah, pembantah-pembantah ini selalunya tidak dikenakan tindakan, kerana mereka berada di dalam kumpulan yang betul.

Memijak kepala lembu atau mengancam membakar rumah ibadat- yang paling teruk pun mereka kena ialah denda.

Mungkin ada benarnya kata-kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua yang mengatakan bahawa terdapat amalan pilih kasih kerana kegagalan menggunakan Akta Hasutan ke atas pembantah dalam kes terbaru ini.

Lagipun, beliau menegaskan, Akta itu mempunyai peruntukan untuk menghalang tindakan yang mempromosikan “ niat jahat atau keburukan (…) di atas sebab agama.”

Kali terakhir saya periksa, Kristian ialah satu agama dan salib ialah simbol agama mereka. Mana-mana kumpulan yang memaksa simbol suci agama lain diturunkan dalam apa jua keadaan, tindakan ini perlu dilihat sebagai satu kesalahan, dan pelakunya, dihukum.

Adakah kita akan melihat Akta Hasutan dikenakan ke atas lebih 50 pembantah ini, atau pihak berkuasa hanya buat tak peduli kerana kelompok kurang ajar ini mempunyai kaitan dengan Umno?

Fakta yang wujud tentang kelompok pembantah ini mempunyai kaitan dengan Umno ditambah pula dengan siapa ketua pembantah ini, pembaca kami yang bijaksana pastinya sudah boleh mengagak jawapannya.

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Adakah-taksub-agama-sudah-mencapai-tahap-baru-di-Malaysia#sthash.IsAJV2Zg.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-