Wednesday, September 9, 2015

Apabila politik dianggap peluang - Presiden PAS

 oleh HANNA ROSLI & IZWAN ABDUL HALIM
TANGKAK: Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan, hanya dengan melaksanakan Islam sahaja akan mampu menyelesaikan segala kemelut yang melanda negara mutakhir ini.

Ujar beliau, terjadinya isu kewangan RM2.6 billion, 1MDB, KWSP, Tabung Haji, Perwaja dan Mikka Holdings yang merunsingkan rakyat negara ini adalah natijah apabila politik dianggap sebagai satu peluang dan bukannya amanah.

Dalam ucapannya, Tuan Guru membandingkan isu-isu tersebut dengan mengemukakankisah keraguan dan pertikaian penduduk Madinah terhadap Khalifah Umar al-Khattab yang memakai jubah dari kain baharu diperolehinya.

Tegas beliau, PAS telah menunjukkan contoh pemerintahan Islam sebagaimana dilaksanakan di Terengganu dan juga di Kelantan oleh Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, serta Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak di Kedah.

“Tidak ada seorang pun pemimpin kami yang berlagak. Kita dah memerintah 20 tahun lebih di Kelantan, DAP baru sepenggal di Pulau Pinang. Baru sepenggal memerintah nak lawan hudud, nak tunjuk berlagak. Memerintah Pulau Pinang sekangkang kera nak tunjuk berlagak, nak lawan hudud. Belum lagi Putrajaya, kalau menang Putrajaya, kita tak tahu apa dia nak buat pada Islam?

“PAS ada maruah, ada harga diri. Kita bukan macam Umno tak berani nak lawan MCA dan MIC, kita lawan semua, kita pertahan, kita ada Istiqamah dengan Islam ini, ini beza PAS dengan parti-parti lain, mesti paham, kita sanggup tak menang 50 tahun lebih, kerana menang adalah satu amanah, bukan satu peluang,” katanya pada di Perhimpunan Istiqamah Hingga Kemenangan (Pihak 11), di sini, 5 September.

Beliau menegur segelintir ahli PAS yang merasa kemenangan menjadi lambat kerana PAS meninggalkan DAP sedangkan sudah hampir dengan Putrajaya.

Tegas Tuan Guru, PAS mahu menang dengan membawa Islam, sedangkan DAP menentang agenda Islam di bawa PAS.

Katanya, PAS mempunyai Dewan Himpunan Penyokong PAS yang menghimpunkan penyokong PAS dari kalangan masyarakat India dan Cina bukan Islam.

“Kita boleh bertanding bukan sahaja kawasan Umno, kawasan DAP pun kita akan letakcalon bertanding. Kita ada kekuatan sekarang, yang penting ialah, kita kerja kuat dan ikhlas.

Kita mahu kemenangan yang diisi dengan menunaikan amanah,” tegas beliau.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-