Tuesday, September 22, 2015

DAP, PKR bersaing merebut 'harta' daripada keruntuhan PAS

oleh Hazlan Zakaria
KOMEN: Dengan tamatnya Pakatan Rakyat, dan PAS sebagai parti yang membantu penamatannya telah membayar harganya, bekas parti komponen DAP dan PKR sedang cuba mendapat sedikit keuntungan daripada kekacauan yang terjadi, sementara mereka masih dapat melakukannya.

Daripada sebuah parti yang menjadi ‘permata’ kepada pembangkang persekutuan dan ahli utama Pakatan, parti Islam ini telah jatuh dan kembali ke akar politik sempit mereka.

Semua kerana hudud, pelaksanaan undang-undang jenayah Syariah. PAS mengetepikan semua yang lain, termasuk survival politik Pakatan Rakyat serta kewibawaan, kerelevanan dan kesatuan dalaman parti itu sendiri.

PAS memainkan peranan Judas dengan memecahkan Pakatan selepas bertahun khabar angin tentang Kerajaan Perpaduan dengan Umno.

Pihak dalam pembangkang telah banyak kali merungut apabila parti itu bertindak sendiri dan melanggar konsensus.

Namun daripada abu PAS, bangkitlah Amanah seperti seekor phoenix dan bersedia untuk memenuhi ruang yang ditinggalkan PAS dalam pakatan pembangkang yang baru. Di dalamnya adalah tokoh-tokoh yang telah membawa PAS ke arus perdana dan lebih mudah didekati dan cekap.

Amanah ditubuhkan oleh golongan progresif dalam PAS dan sekutu mereka yang telah meninggalkan parti itu selepas disingkirkan dalam pemilihan parti. Ketika itu mereka berhadapan taktik keras dari puak ulama’ yang kini berkuasa.

Selain daripada kredibiliti di mata orang bukan Islam yang telah mengembangkan tapak sokongan PAS, keluarnya golongan progresif dan profesional juga membuatkan PAS kehilangan beberapa kemudahan seperti bangunan, serta institusi dan NGO yang ditubuhkan mereka.

Ini membuatkan PAS bukan sahaja kehilangan kepimpinan akar umbi, tetapi juga sejumlah infrastruktur. Ia samalah seperti ketika berlakunya penceraian, di mana pasangan berebut-rebut aset dan harta.

Pergelutan dalam PAS juga menyaksikan parti itu kehilangan sejumlah ahli parlimen kepada parti baru dan juga bekas rakan Pakatan mereka.

Dan seperti yang diperhatikan mereka di dalam pembangkang, tanpa enam kerusi parlimen yang jatuh ke tangan Amanah dan PKR, PAS sudah hilang nilainya bagi Umno dan tidak akan lagi diajak ke meja rundingan.

Dengan baki kerusi parlimen yang masih ada, PAS tidak lagi memiliki kekuatan yang cukup untuk membantu BN mendapat majoriti dua per tiga dalam undian Parlimen, jika ia diperlukan, sama ada untuk meminda perlembagaan atau mengadakan persempadanan semula.

Dan kini selepas ia berjaya memecahkan Pakatan Rakyat, PAS sudah pun memainkan peranannya dan tidak lagi diperlukan Umno. PAS sudah dilihat sebagai pariah dalam pembangkang dan Umno mungkin tidak mahu terpalit dengan bebanan itu.

Dan dengan menjadi pariah di luar mungkin peranan terbaik PAS di mata Umno, kerana parti itu boleh memecah undi di kawasan majoriti Melayu dengan pertembungan tiga penjuru.
Maka sempurnalah peminggiran PAS, bukan sahaja oleh pihak yang telah dikhianatinya, tetapi juga oleh pihak yang diharapnya untuk bersama-sama. Hubungan PAS dengan Umno tidak membawa apa-apa – hanya cumbuan dan tanpa aksi sebenar.

Dari satu sisi, keadaan parti itu boleh disifatkan dengan pepatah Melayu, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Betapa tindakan PAS mengejar hudud telah menyebabkannya kehilangan apa yang sudah ada, sehingga tiada apa lagi yang tinggal untuk mereka.

Namun bukan semua aset yang dibuang PAS – secara sukarela atau tidak – akan pergi kepada Amanah, memandangkan pihak lain turut mahu turut serta. Bekas rakan DAP dan PKR pantas mengambil peluang yang terhidang.

DAP yang sentiasa mahu menyingkirkan imej Cina-sentriknya pantas melangkah masuk ke vakum yang ditinggal PAS berhubung golongan Melayu liberal dan bandar.

Maka parti itu mahu mengatasi kelemahannya dengan memikat seramai mungkin orang Melayu yang kecewa, sama ada dari dalam PAS atau tidak, yang kini dibentuk dalam sayap Melayu baru mereka.

DAP sememangnya sudah bekerja keras untuk mendapatkan sokongan Melayu dengan merekrut ‘selebriti’ seperti Syefura Othman dan Dyana Sofya. Ia kini mengundang aktivis PAS seperti Sheikh Omar Ali dan penyokong seperti A Samad Said.

Parti itu juga sudah mengambil langkah di Kelantan sendiri melalui kempen Impian Kelantan. Walaupun secara rasmi ia untuk bantuan dan pemulihan daripada bencana banjir yang melanda negeri itu tahun lalu, kempen itu juga bertujuan memenangi hati dan perasaan akar umbi di kubu kuat PAS.

Bukankah DAP juga membuat perkara yang sama di pedalaman Sabah dan Sarawak, melalui inisiatif Impian Sabah dan Impian Sarawak?

Apa-apa pun, parti sosial demokratik itu mahu mengambil peluang daripada kekecewaan Melayu ‘pertengahan’ dengan PAS, dan menampilkan dirinya sebagai alternatif dan pada masa sama membuang imej Cina-sentriknya.

PKR pula memburu nama yang lebih besar, dengan memikat ahli PAS berprofil tinggi seperti bekas MB Selangor Muhammad Mohd Taib dan “merampas” MP Tumpat Kamaruddin Jaafar.

Tetapi tidak seperti DAP, yang melihat peluang yang lebih besar untuk meluaskan tapak ke sfera politik Melayu, PKR masih merasakan ia memerlukan PAS untuk meningkatkan peluang dalam pilihanraya, boleh jadi kerana PKR tidak memiliki akar umbi yang kuat.

Justeru PKR bekerja rapat dengan Amanah, sekurang-kurangnya untuk menggantikan serba sedikit struktur sokongan yang sebelum ini diberikan PAS.

Maka PKR secara teknikalnya “mengais-ngais” rakan baru daripada abu PAS. Namun parti itu juga masih cuba mendekati PAS, dan pada masa sama menyerap aktivis NGO dan masyarakat sivil serta bekas tokoh BN ke dalamnya.

Baik atau buruk, kemusnahan Pakatan sebenarnya memberi dorongan kepada DAP dan PKR untuk berkembang menjadi entiti yang lebih kuat, walaupun dengan PAS menjadi ‘korbannya’.

PAS bukan sahaja bertukar menjadi pariah, ia juga kehilangan wibawa serta sumber dan modal politik yang suatu ketika dahulu cukup besar.

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/DAP-PKR-bersaing-merebut-tinggalan-daripada-abu-PAS#sthash.bSJaJuCQ.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-