Showing posts with label politik melayu. Show all posts
Showing posts with label politik melayu. Show all posts

Monday, February 7, 2022

Bukan Najib seorang patut merasa malu…

satuberita.my
By Wan Aizzat Jailani
-February 7, 2022

Oleh: Dennis Ignatius

TANDA-tanda perpecahan semakin ketara antara parti-parti politik Melayu bilamana Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dengan mengatakan beliau tidak tahu malu dan tiada maruah diri. “Awak telah pun disabitkan di mahkamah atas jenayah berat. Sekurang-kurangnya adalah rasa malu. Dalam Islam, malu adalah sebahagian daripada iman. Malangnya, dalam UMNO, orang lelaki ini yang telah disabitkan dengan kesalahan berat yang disifatkan [oleh hakim bicara] sebagai ‘memalukan negara’) sebaliknya diletakkan paling atas sebagai bos, dengan sorakan ‘Malu apa, bossku!’ [Perlu apa untuk malu, Bos?]. Di manakah iman anda? Di mana maruah anda?”.

Saya bukannya peminat Muhyiddin tetapi memang tepatlah panggilan beliau terhadap Najib kerana dia langsung tidak ada perasaan malu. Najib didapati bersalah oleh mahkamah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram. Dia dijatuhi hukuman penjara 72 tahun tetapi memandangkan hukuman itu berjalan serentak, dia hanya akan menjalani hukuman 12 tahun. Selain itu, dia didenda RM210 juta. Empat hakim kesemuanya (satu di Mahkamah Tinggi dan tiga di Mahkamah Rayuan) mendapati dia bersalah atas tuduhan-tuduhan tersebut.

Sudah terang lagi bersuluh bahawa dia bersalah dan alasan ‘tidak bersalah-sehingga-terbukti-bersalah’ tidak boleh lagi dipakai dalam kes Najib ini. Dia seorang penjenayah yang telah disabitkan kesalahan, diikat jamin RM1 juta sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan. Dia tidak pernah merasa menyesal dan bersalah atas prrbuatannya malah dia ke hulu ke hilir di hadapan khalayak ramai, dia berpura-pura menjadi seorang yang baik dan jujur daripada pihak lawan. Begitu keji sekali perlakuannya.

Tetapi bukan Najib sahaja yang patut merasa malu. Setiap orang yang memeluknya, meraikannya, mengalu-alukannya atau memuliakannya walaupun dia telah disabitkan kesalahannya, patut merasa benar-benar malu dengan diri mereka sendiri. Apabila pemimpin MCA dan MIC memuja-muja Najib, seperti yang mereka lakukan di rumah terbuka Tahun Baharu Cina MCA dan ketika sambutan Thaipusam – mereka menghantar mesej jelas bahawa sabitannya, pengkhianatannya terhadap kepercayaan pengundi dan mencuri dana awam, tidak penting. Muka tak malu sungguh.

UMNO sebenarnya sudah lama kehilangan jiwa dan kompas moralnya. Pemimpin dan ahli-ahli mereka terus memuja penjenayah yang telah disabitkan kesalahan ini, menugaskannya untuk mengetuai kempen pilihan raya dan menyokongnya pada setiap masa. Silap pemimpin UMNO seperti Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin dan Mohamad Hasan yang terus berdiam diri amat memualkan sekali. Jelas sekali, kuasa dan kedudukan lebih penting daripada maruah dan patriotisme.

Dan apa yang kita boleh kata daripada sikap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apabila beliau menerima Najib di pejabatnya dan kemudian mengumumkan: “Najib komited untuk menyumbangkan masa, tenaga dan ideanya sebagai satu pasukan dalam Keluarga Malaysia”. Adakah Ismail Sabri pernah bertanya pada dirinya sendiri sama ada betul dari segi moral untuk seorang perdana menteri menerima penjenayah yang telah disabitkan dengan jenayah serius di pejabatnya? Selain itu, di manakah komitmen Najib kepada Keluarga Malaysia apabila beliau menyeleweng RM42 juta daripada dana persaraan rakyat Malaysia yang telah bekerja keras?

Pas sebagai sebuah parti Islam, pun sama sahaja perlakuannya. Pemimpin Pas mungkin menentang Najib sekarang ini kerana dia mengancam untuk membatalkan rancangan Pas yang telah disusun dengan teliti untuk mengukuhkan kedudukan Pas dalam kerajaan persekutuan, tetapi kita jangan lupa bahawa seluruh kepimpinan tertinggi Pasa melawat Najib sejurus selepas dia pertama kali disabitkan dengan tuduhan jenayah berat itu pada Julai 2020 untuk menunjukkan solidariti dan sokongan kepadanya. Dalam memperlihatkan sikap keagamaan mereka, mereka sanggup meninggalkan prinsip dan integriti untuk bersimpati dengan penjenayah ini demi kepentingan politik mereka. Kenyataan Muhyiddin bahawa “dalam Islam, malu adalah sebahagian daripada iman” sepatutunya terpakai bukan sahaja pada Najib tetapi pada Pas sendiri.

Malangnya, bukan sahaja semua ahli politik yang tidak berani dan tidak berprinsip yang mesti menundukkan kepala kerana malu – kita pengundi negara ini pun patut berasa malu dengan diri sendiri juga kerana kita, sama ada terlalu naif atau tidak mengambil berat, gagal membuat sesuatu terhadap ahli-ahli politik yang korup. Dengan undi yang kita berikan kepada mereka, secara tidak langsung kita memperkasa rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang selama ini telah menindas kita dan kehidupan kita. Bagaimanakah kita boleh bercakap tentang kebanggaan negara atau mendabik dada bila kita terus meletakkan mereka yang korup di atas sana, tidak mengasingkan mereka atau memalukan mereka?

Dalam pilihan raya negeri Melaka yang lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak pernah berkompromi dengan jenayah Najib – telah melontarkan satu persoalan – “Adakah mungkin mereka [pengundi] telah melupakan jenayah yang dilakukan oleh Najib? Atau adakah mereka telah memaafkannya? Atau adakah kerana mereka percaya dakwaannya bahawa dia tidak bersalah? Atau adakah kerana para pengundi tidak ambil peduli langsung bahawa mereka yang korup ini boleh diterima kerana mereka mendapat sesuatu untuk diri mereka sendiri daripada pemimpin yang korup ini?” Walau apa pun pandangan anda tentang Dr. Mahathir, soalan beliau perlu dijawab.

Rencana ini dipetik daripada dennisignatius.com

Friday, January 1, 2021

Politik Melayu di tahap ‘paling kotor dan berpecah’


freemalaysiatoday.com
-January 1, 2021 11:02 AM
Pakar sosiologi Syed Farid Alatas berkata, Dr Mahathir Mohamad hilang peluang untuk menyatukan orang Melsyu selepas kerajaan pimpinannya tumbang.

PETALING JAYA: Politik Melayu kini berada dalam keadaan sangat berpecah-belah sejak beberapa dekad dan tidak ada pemimpin yang dapat menyatukan mereka, kata ahli sosiologi Syed Farid Alatas.

Beliau berkata, usaha menuntut integriti perlu datang daripada rakyat sendiri.

Farid juga tidak bersetuju dengan dakwaan Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau mampu menarik sokongan orang Melayu kepada Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum akan datang, dengan berkata, Mahathir mungkin telah kehilangan peluang untuk melakukan penyatuan selepas pentadbirannya jatuh hanya selepas 22 bulan pada Feb.

“Mahathir memainkan peranan yang penting dalam pilihan raya umum ke-14, tetapi hanya sebagai faktor penyatuan untuk meningkatkan kesedaran rakyat mengenai isu 1MDB. Kini, ia tidak lagi penting,” katanya.
Syed Farid Alatas.

Farid, yang juga merupakan seorang profesor di Universiti Nasional Singapura berkata, orangMelayu sejak bertahun-tahun mendengar pemimpin mereka bercakap mengenai bangsa dan agama, tetapi “kini mereka tahu sukar untuk mempercayai ahli politik.

“Ahli politik tidak bercakap untuk kebaikan rakyat (tetapi untuk diri mereka sendiri). Ini adalah kejutan besar kepada mereka (rakyat),” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, kesedaran dalam kalangan orang Melayu bermula pada Feb dengan jatuhnya PH dan politik “rampasan kuasa” oleh ahli politik bagi meraih kepentingan di bawah Perikatan Nasional, sekali gus membawa kepada defisit kepercayaan.

Beliau berkata, rakyat Malaysia memberikan kepada PH mandat untuk mentadbir negara selama lima tahun, tetapi gabungan itu gagal menyatukan negara.

“Ia menunjukkan bahawa ia adalah berkaitan keuntungan diri, bukannya untuk rakyat (kerana mereka gagal bersatu).”

Bahkan Farid turut mempersoalkan sama ada rakyat akan keluar mengundi sekali lagi seperti yang mereka lakukan pada pilihan raya lalu, berikutan hilangnya kepercayaan kepada ahli politik.

Berhubung PN, beliau berkata, gabungan politik itu kini berdepan defisit kepercayaan yang besar kerana Umno masih mempunyai bagasi rasuahnya, manakala PPBM pula hilang kepercayaan rakyat apabila ia berganding bahu dengan parti politik yang ditentangnya ketika pilihan raya umum lalu.

Beliau berkata, PAS juga bermain politik antara Muafakat Nasional (MN) dan PN, iaitu bergabung dengan Umno dalam satu gabungan dan dengan PPBM dalam gabungan lain.

Farid juga mengakui politik orang Melayu tidak akan mengganggu perjalanan negara kerana perkhidmatan awam masih beroperasi, tetapi ia memberi kesan kepada pelabur jangka sederhana dan panjang.

“Mereka tidak tahu apakah akan berlaku perubahan kerajaan yang boleh mengakibatkan perubahan dasar,” katanya.

Beliau turut berharap orang Melayu akan dapat melihat sisi “hodoh” politik kaum dan agama dalam kedua-dua gabungan itu, serta menuntut pemimpin lebih baik dipilih untuk kebaikan negara.

Beliau berkata, usaha memilih pemimpin berprinsip harus datang daripada rakyat berdasarkan polisi, bukan berasaskan bangsa atau agama.

“Ini akan mewujudkan perpaduan antara etnik” katanya, selain menambah bahawa rakyat Malaysia perlu memilih mereka yang berjuang untuk semua, bukannya kaum tertentu,” katanya.

Dalam gabungan kerajaan, UMNO dan PPBM terus berselisih mengenai isu pembahagian kerusi dan kedudukan lebih baik dalam Kabinet, yang menimbulkan perbalahan antara mereka.

PAS pula cuba berbaik-baik dengan kedua-dua belah pihak dengan harapan untuk memperoleh kuasa politik di seluruh negara.
Zahiruddin Othman.

Penganalisis politik, Zahiruddin Othman dari Universiti Utara Malaysia pula berkata, ia mungkin pandangan peribadi Mahathir apabila berkata, PH memerlukannya bagi mendapatkan sokongan orang Melayu.

Beliau berkata, hakikatnya semua parti politik di negara ini kini berpecah dan memerlukan satu sama lain bagi mendapatkan lebih banyak kerusi.

“Kita sudah melihat kejatuhan PH dalam tempoh hanya 22 bulan dan sekarang ini kita melihat gabungan kerajaan mentadbir negara dengan kelebihan hanya dengan majoriti tiga kerusi,” kata Zahiruddin.

Tambahnya, ahli politik hanya boleh menyalahkan diri sendiri atas masalah yang berlaku dan tidak menuding jari kepada rakyat.
Minderjeet Kaur

Thursday, January 2, 2020

Jangan biarkan ‘Tongkang Melayu’ ini karam

Jangan biarkan ‘Tongkang Melayu’ ini karam
January 2, 2020

‘TONGKANG Melayu’ dah pecah kata Rais Yatim.

Satu pengakuan jujur bahawa apabila kuasa politik Melayu dipecahkan, bagai tongkang yang pecah ia menjadi lemah dan kendur, hanyut menunggu masa karam dan dilupakan.

Kekuatan politik adalah tonggak dan punca kuasa. Apabila ia tiada, maka anasir lain naik berkuasa dan merekalah yang akan tentukan nasib dan masa depan semua.

Kerana ‘Tongkang Melayu’ pecah maka kata Rais kita dilanyak.

Jangan pandai-pandai mahu ‘paksa’ anak-anak kami mempelajari tulisan Jawi. Ini agenda ‘Islamisasi’ nak Islamkan anak-anak kami. Kami tentang.

Kami mahu Pilihan Raya Kerajaan Tempatan, kerana ia peluang kami menguasai kerajaan ketiga, kami kan punya kuasa politik, Melayu kan sudah mahu karam.

Kami mahu tulis kembali sejarah. PKM juga pejuang kemerdekaan. Chin Peng, Rashid Maidin dan lain-lain walau tangan bergelumang dengan darah anak bangsa adalah wira kami. ‘Tongkang Melayu’ kan dah pecah, pergi rawat dan tampal ia, kerana tongkang kami yang gagah sudah ambil-alih.

Pendakwah Islam antarabangsa Dr Zakir Naik adalah pengganas, beliau pecah belahkan masyarakat Malaysia lalu beliau mesti diterajang kembali ke negaranya. Walau beliau disayangi umat Islam tempatan, kami bencinya. Yang pegang tampuk kuasa kini kami, jangan berani cabar kami.

Teruk dan hina kita dilanyak hanya kerana kita lupa dan terpedaya kini ‘tongkang’ kita pecah dan bakal karam menjadi tukun di dasar laut.

Segeralah sedar dan insaf umat Melayu Islam. PAS dan Umno tidak rela tongkang ini terus dilanyak dan dikaramkan.

Bangkitlah atas kenisafan kesilapan lampau kita bersama pulih dan bina kembali kekuatan.

Umat Melayu Islam bukan bangsa untuk dilanyak di tanah airnya sendiri, tetapi ia wajar memegang kuasa dan teraju.

Muafakat Nasional adalah politik baru yang mahu memulihkan ketempangan ini dan mengembalikan kuasa kepada yang berhak dan layak.

Bersama kita dukung politik baru ini kecuali kita mahu terus karam dan dipupuskan.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR
 – HARAKAHDAILY
    2/1/2020

Monday, July 8, 2019

Dr M: Saya pelawa ahli bukan parti Melayu

Geraldine Tong 
Diterbitkan Hari ini 8:51 malam 


Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menjelaskan pelawaan beliau supaya parti politik Melayu menyertai Bersatu cuma menyasarkan kepada anggotanya dan bukan suatu jemputan bagi parti berkenaan menjadi sebahagian gabungan PH.

“Pakatan Harapan tidak dapat menerima (kemasukan) parti-parti lain lagi. Sekiranya kami menerima lebih banyak lagi parti, maka akan terdapat masalah memilih calon untuk pilihan raya. Semua (parti) mahukan calon mereka.

"Jika mereka (anggota) menyertai parti-parti (PH) sedia ada, maka ia tiada masalah," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.

Mahathir juga sempat berseloroh mengadu beliau sampai sakit belakang kerana "dibelasah" susulan pelawaannya supaya parti Melayu masuk Bersatu itu.

"Ini bukan rasis punya sentimen, kita nak menyamakan semua orang.

"Kalau tengok Melayu ketinggalan di belakang sebabnya bukan parti. Bukan kerana saya. Tapi sebab tak mahu bersatu.

"Parti kita nama Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Lebih baik bersatu, kalau tidak kena gugurkan perkataan Bersatu," katanya.

Pada 5 Julai lalu, Mahathir mempelawa semua parti-parti Melayu, termasuk Umno untuk menyertai Bersatu dalam usaha menyatukan orang Melayu.

Katanya, pelawaan itu merupakan usaha menyatu padu serta memperkasakan kuasa politik orang Melayu.

Ia berikutan kewujudan semakin banyak parti politik Melayu menyebabkan potensi untuk mereka menang dalam pilihan raya semakin tipis, jelasnya lagi.

[Baca berita penuh]

Sunday, July 7, 2019

Bersatu patut tinggalkan PH, DAP

tyrazalhe
07/07/2019

Oleh Athirah Huda Zalhe

Cari jalan spesifik pulihkan segera kuasa politik orang Melayu: Isma


BANGI, 4 Zulkaedah 1440H, Ahad – Ikatan Muslimin Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana menggesa pemimpin politik Melayu supaya duduk berbincang mengenai langkah praktikal untuk memulihkan kuasa politik orang Melayu.

Amir Isma, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, idea supaya semua ahli politik menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukanlah realistik atau praktikal, namun pelawaan Tun Dr Mahathir Mohamad boleh diambil sebagai cadangan umum ke arah mencari jalan yang lebih spesifik.

Bagaimanapun, perbincangan bersama perlu dilakukan untuk mencari pendekatan terbaik yang boleh memulihkan kuasa politik orang Melayu dengan segera, katanya.

“Syarat penting untuk menjayakan idea yang dicadangkan ialah Bersatu tinggalkan Pakatan Harapan (PH), terutama DAP dan parti-parti sekutu dengan mereka.

“Kesediaan itu perlu sebagai bukti keikhlasan dan niat baik daripada cadangan Bersatu,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Kelmarin, Dr Mahathir mengajak semua parti politik Melayu bergabung di bawah Bersatu demi memastikan orang Melayu menjadi kuat dan tidak berpecah belah.

Perdana menteri berkata, setakat ini sudah ada enam parti Melayu termasuk UMNO dan sekiranya lebih banyak lagi ditubuhkan orang Melayu akan terus berpecah belah.

Mengulas lanjut, Abdullah Zaik berkata, Dr Mahathir perlu mengakui bahawa langkah politiknya pincang jika keadaan politik hari ini tidak diperbaiki segera.

“Beliau harus menebus kesalahan membawa DAP ke Putrajaya yang telah mengakibatkan tamatnya dominasi politik orang Melayu.

“Apa pun pendirian parti-parti politik Melayu terhadap cadangan tersebut, tidak sewajarnya menghalang langkah perbincangan positif diambil,” katanya.

Sunday, March 31, 2019

Berpadalah hina bangsa sendiri, tegur Isma kepada Tun M, Daim

admin 
31/03/2019

Saban hari pemimpin Melayu asyik menghentam bangsa sendiri


BANGI, 24 Rejab 1440H, Ahad – “Apa agenda mereka? Siapa di belakang mereka? Dua insan utama negara ini telah berpuluh tahun bergerak atas parti politik Melayu dan menang kerana disokong oleh orang Melayu tapi kini mereka sudah beralih arah.

“Selepas Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) menghina Melayu dengan mengatakan Melayu lemah, malas dan tidak pandai urus duit, kini Tun Daim pula mengatakan kita tak perlu lagi memperjuangkan Melayu. Kita bangsa Malaysia katanya.”

Demikian kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, Haji Aminuddin Yahaya berikutan pertikaian bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin berhubung kerjasama politik antara PAS dan UMNO yang mahu memperjuangkan bangsa dan agama.

Sebelum ini, Daim dilaporkan berkata, kerjasama antara mana-mana parti politik tidak menjadi isu, namun masalah timbul apabila kerjasama itu adalah untuk memperjuangkan satu bangsa dan agama tertentu.

Apabila muncul satu tahap di mana pengundi mengundi mengikut bangsa dan agama dan bukannya nilai sejagat, maka rakyat berada dalam masalah besar, kata bekas menteri kewangan itu.

Mengulas lanjut perkara itu, Aminuddin meluahkan rasa hairan apabila saban hari pemimpin-pemimpin Melayu asyik menghentam bangsa sendiri.

“Apa agenda mereka? Siapa di belakang mereka? Dua insan utama negara ini telah berpuluh tahun bergerak atas parti politik Melayu dan menang kerana disokong oleh orang Melayu tapi kini mereka sudah beralih arah.

“Malangnya, selepas mereka berkuasa puluhan tahun dan mengaut segala hasil mahsul negara atas nama Melayu, kini Melayu pula mereka lupakan. Malah ditohmah.

“Adakah semua Melayu malas, tidak pandai mengurus wang, lemah atau ini hanya sekadar retorik untuk kekal berkuasa?,” soalnya.

Beliau berkata, jika pemimpin sendiri sudah mendoktrinkan sifat orang Melayu sebegini, maka tidak hairanlah lama kelamaan anak-anak muda Melayu tidak lagi yakin pada diri sendiri.

“Mereka akan dimamah oleh orang lain seperti api membakar sekam. Hilang harta boleh dicari, robohnya jati diri sukar untuk bangun kembali,” katanya.

Pun begitu, Aminuddin yang juga Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) berkata, beliau yakin apabila tiba Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, mereka akan kembali kepada orang Melayu.

“Apabila mereka sakit, orang Melayulah yang akan mendoakan mereka. Apabila mereka mati, orang Melayulah yang akan memandi dan menanamkan jenazah mereka.

“Jadi berkadarlah menghina bangsa sendiri,” katanya.

Monday, December 24, 2018

Apa yang kita bimbang bakal jadi kenyataan?

Aktor liberal melobi agar Malaysia baharu mengikut kehendak mereka

siti hafidah 24/12/2018


TIDAK sampai setahun pemerintahan Pakatan Harapan, sudah bermacam-macam perkara yang kita jangka akan berlaku telah berlaku.

Aktor-aktor liberal yang sama, kini telah memegang posisi penting dalam pembuatan dasar negara.

Istilah seperti “reform”, “reset” kedengaran di sana sini. Sektor penting seperti perundangan dan pendidikan ingin dirombak sehingga ke akar.

Aktor-aktor ini bergerak secara terancang dan mempunyai blueprint reform yang jelas, apakah bentuk Malaysia baharu yang mereka inginkan, Malaysia yang lebih plural dan sekular tanpa ada keterikatan kepada agama dan bangsa sebagai pasak kenegeraan.

Tugas mereka tidak sukar, kerana blueprint yang sama ingin dipaksakan oleh anasir luar terhadap Malaysia. Tugas mereka hanya pelaksana. Semuanya sudah tersedia.

Di satu sisi yang lain, masih ada lagi ahli politik Melayu muslim yang naif. Setiap hari hanya menjadi bahan kepada jenaka media.

Apa yang mereka ingin bawa? Hanya sekadar kepentingan politik masing-masing. Lompat parti, masuk parti baru, pecat anak, dan selamatkan diri dari rasuah.

Adapun untuk berfikir dalam kerangka politik dalam pertembungan identiti yang lebih luas, tiada dalam perkiraan mereka.

Maka di sini, aktor-aktor sivil Melayu muslim harus memainkan peranan dalam pentas politik hibrid Melayu baharu ini. Dalam segenap sektor harus memunculkan diri memberi penerangan, menyatukan rakyat dan parti politik Melayu, melobi, serta bergerak bersama dalam kerangka politik Melayu yang lebih luas, atas satu agenda untuk mempertahankan, dan mengukuhkan konsep kenegeraan yang kita imani dan percayai.

Dalam keadaan sekarang, jika kita masih lagi berpeluk tubuh, sehari demi sehari sama ada yang keluar di dada akhbar atau tidak, aktor liberal ini pantas bekerja, dan melobi sana sini, agar bentuk Malaysia baharu mengikut seperti blueprint reform mereka.

Kita yang masih lagi teragak-agak, pastinya akan menerima sahaja, satu demi satu tuntutan sama ada sedar atau tidak sedar.

Sebab itu DAP berani bersuara untuk keluar dari Pakatan Harapan jika agenda reform ini tidak terlaksana. Kerana mereka bukanlah seperti kita dalam bermain politik. Matlamat mereka jelas dan mereka akan secara perlahan-lahan ke situ.

Soalnya? Kita pula bagaimana? Sampai bila kita mahu bermain secara defensif dalam lapangan ini?

Tetapi sebelum itu, kita harus menjawab persoalan, ke mana hala tuju politik Melayu yang ingin kita bawa di masa hadapan?

Adakah sudah ada bayangan di dalam kepala kita apa bentuk politik Melayu 100 tahun akan datang? Malaysia bagaimana yang ingin kita sediakan buat anak cucu cicit kita?

Asyraf Farique
Penganalisis IRIS INSTITUTE

Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak ada kaitan dengan Ismaweb.net atau Media Isma Sdn Bhd.

Thursday, July 13, 2017

Tsunami politik Melayu, cerita dongeng Muhyiddin

Oleh: NAJAMUDDIN MOHD NOR
12 JULAI: Pembangkang dipercayai sedang melancarkan ‘perang saraf’ ke atas Kerajaan Barisan Nasional (BN) semata-mata untuk menyembunyikan kepincangan dalaman mereka susulan mendakwa tsunami politik Melayu bakal berlaku pada pilihanraya umum (PRU) nanti.

Ahli Parlimen Bagai Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menyifatkan lontaran dakwaan oleh Pengerusi PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu sengaja dicetuskan bagi mempengaruhi rakyat terutama pengundi atas pagar untuk menyokong mereka.

“Kita dah tahu pembangkang ini memang kerja dia nak hasut rakyat benci BN. Mereka nak jatuhkan BN sehingga sanggup buat cerita karut demi meraih undi rakyat pada PRU nanti.

“Setakat ini pembangkang tidak sepakat dan tidur sebantal tapi mimpi lain-lain, jadi lebih baik mereka lancarkan strategi memesongkan dan mengelirukan fahaman rakyat tentang kebaikan yang telah rakyat nikmati melalui kerajaan selama ini,” katanya kepada BNBBC. my portal, Rabu.

Dr Noor Azmi berkata demikian ketika mengulas kenyataan Muhyiddin semalam bahawa kononnya UMNO bakal hilang rentak dalam pilihan raya disebabkan tsunami politik Melayu dijangka berlaku.

Sementara itu, wakil rakyat UMNO itu juga melihat pembangkang sudah menyedari mereka kehilangan momentum politik.

“Muhyiddin tidak ada modal politik, boleh dikatakan pembangkang gersang modal. Saya tak tahu daripada mana dia boleh berkata begitu. Amat dangkal dan tidak berasas.
“Saya percaya, pakatan pembangkang mula panas bontot apabila kejayaan demi kejayaan dicipta Perdana Menteri untuk rakyat, dan ini semakin menenggelamkan momentum populariti dan politik mereka di mata rakyat.

Tambah Dr Azmi (foto) keadaan pembangkang terutama PPBM yang bertelagah sesama sendiri turut menyebabkan persiapan mereka menghadapi PRU terbantut.

“Jadi lebih eloklah Muhyiddin jaga dan selesaikan parti dia sendiri daripada membuat cerita dongeng dan karut. Jangan cakap banyak, parti sendiri pun tidak terjaga,” bidasnya lagi.

Tuesday, September 22, 2015

DAP, PKR bersaing merebut 'harta' daripada keruntuhan PAS

oleh Hazlan Zakaria
KOMEN: Dengan tamatnya Pakatan Rakyat, dan PAS sebagai parti yang membantu penamatannya telah membayar harganya, bekas parti komponen DAP dan PKR sedang cuba mendapat sedikit keuntungan daripada kekacauan yang terjadi, sementara mereka masih dapat melakukannya.

Daripada sebuah parti yang menjadi ‘permata’ kepada pembangkang persekutuan dan ahli utama Pakatan, parti Islam ini telah jatuh dan kembali ke akar politik sempit mereka.

Semua kerana hudud, pelaksanaan undang-undang jenayah Syariah. PAS mengetepikan semua yang lain, termasuk survival politik Pakatan Rakyat serta kewibawaan, kerelevanan dan kesatuan dalaman parti itu sendiri.

PAS memainkan peranan Judas dengan memecahkan Pakatan selepas bertahun khabar angin tentang Kerajaan Perpaduan dengan Umno.

Pihak dalam pembangkang telah banyak kali merungut apabila parti itu bertindak sendiri dan melanggar konsensus.

Namun daripada abu PAS, bangkitlah Amanah seperti seekor phoenix dan bersedia untuk memenuhi ruang yang ditinggalkan PAS dalam pakatan pembangkang yang baru. Di dalamnya adalah tokoh-tokoh yang telah membawa PAS ke arus perdana dan lebih mudah didekati dan cekap.

Amanah ditubuhkan oleh golongan progresif dalam PAS dan sekutu mereka yang telah meninggalkan parti itu selepas disingkirkan dalam pemilihan parti. Ketika itu mereka berhadapan taktik keras dari puak ulama’ yang kini berkuasa.

Selain daripada kredibiliti di mata orang bukan Islam yang telah mengembangkan tapak sokongan PAS, keluarnya golongan progresif dan profesional juga membuatkan PAS kehilangan beberapa kemudahan seperti bangunan, serta institusi dan NGO yang ditubuhkan mereka.

Ini membuatkan PAS bukan sahaja kehilangan kepimpinan akar umbi, tetapi juga sejumlah infrastruktur. Ia samalah seperti ketika berlakunya penceraian, di mana pasangan berebut-rebut aset dan harta.

Pergelutan dalam PAS juga menyaksikan parti itu kehilangan sejumlah ahli parlimen kepada parti baru dan juga bekas rakan Pakatan mereka.

Dan seperti yang diperhatikan mereka di dalam pembangkang, tanpa enam kerusi parlimen yang jatuh ke tangan Amanah dan PKR, PAS sudah hilang nilainya bagi Umno dan tidak akan lagi diajak ke meja rundingan.

Dengan baki kerusi parlimen yang masih ada, PAS tidak lagi memiliki kekuatan yang cukup untuk membantu BN mendapat majoriti dua per tiga dalam undian Parlimen, jika ia diperlukan, sama ada untuk meminda perlembagaan atau mengadakan persempadanan semula.

Dan kini selepas ia berjaya memecahkan Pakatan Rakyat, PAS sudah pun memainkan peranannya dan tidak lagi diperlukan Umno. PAS sudah dilihat sebagai pariah dalam pembangkang dan Umno mungkin tidak mahu terpalit dengan bebanan itu.

Dan dengan menjadi pariah di luar mungkin peranan terbaik PAS di mata Umno, kerana parti itu boleh memecah undi di kawasan majoriti Melayu dengan pertembungan tiga penjuru.
Maka sempurnalah peminggiran PAS, bukan sahaja oleh pihak yang telah dikhianatinya, tetapi juga oleh pihak yang diharapnya untuk bersama-sama. Hubungan PAS dengan Umno tidak membawa apa-apa – hanya cumbuan dan tanpa aksi sebenar.

Dari satu sisi, keadaan parti itu boleh disifatkan dengan pepatah Melayu, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Betapa tindakan PAS mengejar hudud telah menyebabkannya kehilangan apa yang sudah ada, sehingga tiada apa lagi yang tinggal untuk mereka.

Namun bukan semua aset yang dibuang PAS – secara sukarela atau tidak – akan pergi kepada Amanah, memandangkan pihak lain turut mahu turut serta. Bekas rakan DAP dan PKR pantas mengambil peluang yang terhidang.

DAP yang sentiasa mahu menyingkirkan imej Cina-sentriknya pantas melangkah masuk ke vakum yang ditinggal PAS berhubung golongan Melayu liberal dan bandar.

Maka parti itu mahu mengatasi kelemahannya dengan memikat seramai mungkin orang Melayu yang kecewa, sama ada dari dalam PAS atau tidak, yang kini dibentuk dalam sayap Melayu baru mereka.

DAP sememangnya sudah bekerja keras untuk mendapatkan sokongan Melayu dengan merekrut ‘selebriti’ seperti Syefura Othman dan Dyana Sofya. Ia kini mengundang aktivis PAS seperti Sheikh Omar Ali dan penyokong seperti A Samad Said.

Parti itu juga sudah mengambil langkah di Kelantan sendiri melalui kempen Impian Kelantan. Walaupun secara rasmi ia untuk bantuan dan pemulihan daripada bencana banjir yang melanda negeri itu tahun lalu, kempen itu juga bertujuan memenangi hati dan perasaan akar umbi di kubu kuat PAS.

Bukankah DAP juga membuat perkara yang sama di pedalaman Sabah dan Sarawak, melalui inisiatif Impian Sabah dan Impian Sarawak?

Apa-apa pun, parti sosial demokratik itu mahu mengambil peluang daripada kekecewaan Melayu ‘pertengahan’ dengan PAS, dan menampilkan dirinya sebagai alternatif dan pada masa sama membuang imej Cina-sentriknya.

PKR pula memburu nama yang lebih besar, dengan memikat ahli PAS berprofil tinggi seperti bekas MB Selangor Muhammad Mohd Taib dan “merampas” MP Tumpat Kamaruddin Jaafar.

Tetapi tidak seperti DAP, yang melihat peluang yang lebih besar untuk meluaskan tapak ke sfera politik Melayu, PKR masih merasakan ia memerlukan PAS untuk meningkatkan peluang dalam pilihanraya, boleh jadi kerana PKR tidak memiliki akar umbi yang kuat.

Justeru PKR bekerja rapat dengan Amanah, sekurang-kurangnya untuk menggantikan serba sedikit struktur sokongan yang sebelum ini diberikan PAS.

Maka PKR secara teknikalnya “mengais-ngais” rakan baru daripada abu PAS. Namun parti itu juga masih cuba mendekati PAS, dan pada masa sama menyerap aktivis NGO dan masyarakat sivil serta bekas tokoh BN ke dalamnya.

Baik atau buruk, kemusnahan Pakatan sebenarnya memberi dorongan kepada DAP dan PKR untuk berkembang menjadi entiti yang lebih kuat, walaupun dengan PAS menjadi ‘korbannya’.

PAS bukan sahaja bertukar menjadi pariah, ia juga kehilangan wibawa serta sumber dan modal politik yang suatu ketika dahulu cukup besar.

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/DAP-PKR-bersaing-merebut-tinggalan-daripada-abu-PAS#sthash.bSJaJuCQ.dpuf

Thursday, July 30, 2009

Melayu terlalu sebok ~~~~~~~~~ sebok menyelesaikan perkara2 remeh ~~~~~~~~~ sedangkan kuasa politik melayu/Islam sudah terancam!

Jelas dan nyata, segala tumpuan dan perhatian orang melayu/Islam sudah dapat dialehkan kearah yang tidak memberi apa2 faedah atau keuntungan. Saban hari kaum melayu/Islam memberikan tumpuan nya kepada insident2 yang tidak ada kaitan langsung kepada bebaikan bangas, agama dan negara.

Sebenarnya perkara yang patut diberi perhatian utama oleh kaum melayu/Islam ialah berkenaan kelemahan kuasa politik melayu/Islam. Sedar atau tidak, sebenarnya kuasa politik melayu/Islam sedang berada ditahap yang paling merbahaya.

Malangnya tiada sebarang pemimpin melayu/Islam yang berani menyebut atau mengeluarkan amaran atau 'signel' tentang malepetaka yang akan menimpa kaum melayu/Islam jika kuasa politik nya terhapus.

Perpecahan kuasa politik melayu makin sehari semakin melebar.

Benarkah jika kuasa politik melayu/Islam berpecah, melayu/Islam akan menjadi bangsa yang kuat dan berpengaruh dalam pemerintahan negara? Jika anda anggap benar - teruskan berpecah-belah.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-