Wednesday, September 23, 2015

'Pakatan Harapan akan berakhir dengan cerai'

Iszuree yakin, pakatan baru itu tidak mampu mendapat sokongan sama daripada orang Melayu, melalui Amanah. - Foto arkib TRP/ Adib Hakim

GEORGE TOWN, 22 September:

Penubuhan Pakatan Harapan ibarat sebuah perkahwinan yang bakal berakhir dengan perceraian, sebaik sahaja realiti Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menjadi kenyataan.

Setiausaha Pas Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim yakin, pakatan baru itu tidak mampu mendapat sokongan sama daripada orang Melayu, melalui kumpulan serpihan Pas, iaitu Parti Amanah Negara (Amanah).

“Mereka tidak perlu tunggu sehingga PRU untuk menguji kekuatan perkahwinan itu. Perhimpunan Bersih 4 baru-baru ini adalah gambaran baik bagaimana DAP kekurangan sokongan orang Melayu, melihatkan kurangnya orang Melayu menyertai perhimpunan itu.

“Tanpa Pas, sokongan Melayu untuk DAP tidak akan sama dan ia tidak boleh mengharapkan Amanah yang hanya mempunyai 10,000 ahli di seluruh negara, bukannya 35,000 seperti mereka umumkan.

“Tidak lama lagi, permainan tuding jari akan bermula, apabila mereka kalah pada PRU14 dan DAP akan sedar ia tidak boleh bergantung kepada Amanah untuk meraih sokongan orang Melayu, kerana Melayu tidak menyokong pengkhianat seperti Amanah, dan Amanah pula akan sedar yang mereka sekadar boneka DAP.

“Seperti sebuah perkahwinan, semuanya manis pada permulaan,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Tegasnya, penubuhan Pakatan Harapan langsung tidak akan menjejaskan Pas, kerana parti Islam itu mendapat kembali sokongan yang hilang, selepas ia memutuskan untuk bekerjasama dengan DAP, susulan Pilihan Raya Umum 2008.

“Ramai orang Melayu tidak suka DAP, tidak kira mereka daripada Umno atau Pas, dan sekarang mereka gembira, kerana kami tidak lagi bekerjasama dengan DAP dan kami mendapat kembali sokongan yang hilang, ini akan menjadikan kami lebih kuat.

“Adakah mereka cuba lupa Pas mempunyai sokongan akar umbi yang kuat dan juga jentera amat kuat seperti Umno?

“Mereka tidak tahu apa yang mereka bakal hadapi,” tambahnya.

Pakatan Harapan menjadi pakatan rasmi untuk pembangkang hari ni, susulan Perbincangan Meja Bulat membabitkan PKR, DAP dan Amanah.

Ia diumumkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, susulan perbincangan selama tiga jam antara tiga parti itu.

Ditanya mengenai kenyataan Dr Wan Azizah berhubung kesediaan Pakatan Harapan untuk menerima mana-mana parti politik yang mahu menyertai pakatan itu, Iszuree berkata: “Pas tidak akan bekerjasama dengan pengkhianat.”

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/09/22/pakatan-harapan-akan-berakhir-dengan-cerai/#ixzz3mTpKOB1R

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-