Sunday, September 20, 2015

Implikasi baju merah - memudah atau menambah sengsara umno/

oleh Shahbudin Husin

SUARA LANTANG: Tidaklah sukar memahami mengapa tidak ramai pemimpin UMNO sendiri menghadiri perhimpunan baju merah pada 16 September lalu, terutama yang menjadi wakil rakyat di kawasan pengundi yang bercampur antara Melayu dan bukan Melayu.

Walaupun pelbagai alasan cuba dirasionalkan manakala setengahnya hanya berdiam diri, laungan perkauman yang keterlaluan sebenarnya amat membimbangkan wakil-wakil rakyat ini.

Sebab itu tidak kelihatan ramai menteri, timbalan menteri dan wakil-wakil rakyat UMNO hadir di Padang Merbok. Yang terlibat dalam sambutan Hari Malaysia di Sabah bolehlah memberi alasan itu untuk tidak menghadirinya, tapi bagaimana dengan yang lain?

Ada menteri dan timbalan menteri yang hanya hadir pada sebelah pagi atau tengahari untuk bertemu dan beramah mesra dengan peserta himpunan baju merah, namun kemudian tidak diketahui ke mana menghilangnya.

Di atas pentas Padang Merbok, hanya beberapa nama yang kelihatan dengan yang paling menonjol bercakap ialah Annuar Musa tetapi tentunya diketahui apakah komposisi pengundi di Ketereh, kawasan Parlimen yang diwakilinya. Maka, tidak hairanlah beliau lantang menonjolkan watak perkaumannya.

Selain itu ialah Ali Rustam, Presiden Pesaka yang merupakan pengunjur himpunan baju merah yang sudah pun ditolak oleh pengundi Bukit Katil yang berjumlah kira-kira 40 peratus pada pilihanraya 2013 dan tentunya tidak bertanding lagi dalam pilihanraya akan datang kerana faktor usia.

Tajuddin Rahman, Ahli Parlimen Pasir Salak pula hanya mempunyai jumlah pengundi Cina bawah 15 peratus di kawasannya. Begitu juga dengan Noh Omar yang tidak terlalu bergantung kepada pengundi bukan Melayu di Tanjung Karang, tambahan pula beliau juga difahamkan tidak mahu bertanding lagi dalam pilihanraya akan datang ini.

Ibrahim Ali, Presiden Perkasa, turut garang berucap pada hari tersebut, tetapi NGO yang diwakilinya memang sudah diketahui jalur perjuangannya. Lagi pun, kalau diberi peluang bertanding lagi dalam pilihanraya nanti, kawasannya tentu juga Pasir Mas yang hampir 100 peratus pengundinya adalah Melayu.

Dengan adanya aksi seperti tuntutan penghapusan sekolah Cina dan wujudnya gangguan daripada peserta himpunan baju merah kepada kawasan perniagaan orang-orang Cina, ketakutan wakil-wakil UMNO sebenarnya lebih meninggi lagi.

Mengapa dalam mahu menyokong dan mempertahankan kedudukan Perdana Menteri, diselitkan ancaman kepada kaum lain?

Mungkin wakil-wakil rakyat di kawasan campuran yang menang di bawah majoriti dua ribu undi sedang berpeluh dingin ketika ini.

Meski terlihat seperti orang-orang Cina cuba mengalah dan tidak mahu cari gaduh dengan kebanyakannya lebih awal menutup kedai masing-masing dan kekal berdiam diri selepasnya, reaksi yang paling ditunggu ialah apakah pendirian pengundi Cina dalam pilihanraya akan datang nanti?

Berdasarkan keputusan di banyak kawasan pilihanraya umum lalu, peratusan pengundi Cina yang mengundi BN adalah dalam lingkungan 20 peratus atau lebih rendah daripada itu.

Apakah himpunan baju merah yang melonjakkan Melayu bangkit ini akan menyebabkan mereka takut dan tunduk, lalu kembali semula mengundi BN?

Atau ia makin menjarakkan atau menjadikan jumlahnya yang menolak BN menjadi lebih besar lagi?

Dengan pengundi Melayu sudah sedia berpecah melalui UMNO, PAS, PKR dan Amanah, kesatuan pendirian di kalangan pengundi Cina adalah penentu kepada sebarang keputusan di banyak kawasan pilihanraya.

Mampukah wakil-wakil rakyat UMNO sedia ada terus bertahan jika sentimen perkauman ini yang didendangkan mulai sekarang berterusan sehingga pilihanraya akan datang?

Meskipun ramai di kalangan mereka tidak menunjukkan muka atau cuba menyembunyikan diri dalam himpunan baju merah itu, apakah tempiasnya tidak memercik sama kepada mereka?

Daripada 88 Ahli Parlimen UMNO sekarang, berapakah yang mampu mengekalkan kerusinya setelah retaknya hubungan kaum yang dicetuskan oleh himpunan baju merah pada 16 September lalu?

Belum pun reda isu 1MDB dan derma RM2,600 juta yang jelas telah menghakis sokongan rakyat di pelbagai peringkat kepada BN, implikasi himpunan baju merah ini kian membawa kebaikan atau sebenarnya makin memudahkan laluan kerajaan pimpinan Najib Razak menuju ke kuburan dalam PRU 14 nanti?

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Implikasi-baju-merah-memudah-atau-menambah-sengsara-UMNO#sthash.oaVYxkhp.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-