Showing posts with label pengundi cina. Show all posts
Showing posts with label pengundi cina. Show all posts

Saturday, May 5, 2018

Noh ulangi keyakinan BN akan rampas Selangor

Diterbitkan 5 Mei 2018, 6:23 pagi


Barisan Nasional (BN) Selangor mengulangi keyakinan bahawa parti itu akan merampas Selangor daripada pembangkang dengan memenangi 30 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) 9 Mei ini.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, keyakinan itu dibuat berdasarkan respon positif daripada pengundi yang diterima pihaknya sepanjang lima hari berkempen.

"Tumpuan parti kali ini bukan pada ceramah atau kempen besar sebaliknya berfokas kepada kempen bersemuka dengan mencari di mana keberadaan pengundi.

"Strategi ini kita lihat berjaya apabila DUN yang sebelum ini dikategorikan sebagai 'hitam kelabu' bertukar kepada 'kelabu' dan 'kelabu putih' kepada 'putih'," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Perumahan Rakyat (PPR) Ujung Permatang di Tanjong Karang semalam.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Mohammad Mentek.

Mengulas lanjut, Noh berkata pengundi Cina turut dilaporkan akan beralih kepada BN pada pilihan raya umum kali ini berikutan keyakinan mereka terhadap parti itu dan kerajaan BN dalam melaksanakan pelbagai projek pembangunan yang mengutamakan kebajikan rakyat.

"Tsunami Cina memang telah dua kali berlaku pada PRU sebelum ini.

"Namun, kali ini nampaknya pengundi Cina sudah boleh kembali kepada BN selepas mendapati BN merupakan parti yang sentiasa komited menjaga kebajikan semua kaum termasuk kaum Cina," katanya.

Dalam pilihan raya 2008, BN buat pertama kalinya terlepas Selangor ke tangan pembangkang apabila hanya menang 20 daripada 56 kerusi DUN.

BN gagal merampas Selangor dalam pilihan raya 2013 setelah kehilangan lapan lagi kerusi DUN.

- Bernama

Monday, June 26, 2017

Tidak mustahil UMNO kerjasama dengan PAS jika Cina terus tolak BN

By Muhammad Azizul Osman
- 26 Jun 2017
Datuk Seri Zainal Abidin Osman ketika ditemui di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 15 JUN 2017.

KUALA LUMPUR – Sekiranya Barisan Nasional (BN) terus ditolak oleh pengundi Cina tidak mustahil untuk BN yang diterajui oleh UMNO untuk bekerjasama dengan Pas, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman.

Dalam satu temubual bersama MalaysiaGazette, Zainal Abidin berkata perkara itu tidak mustahil dilakukan BN sekiranya parti komponen BN antaranya MCA dan Gerakan terus gagal mendapat kepercayaan masyarakat Tionghoa di negara ini.

“Tidak mustahil kalau masyarakat Cina buang BN, dan buang BN daripada kamus hidup mereka, undi kepada BN tidak sampai 4 peratus.

“Mungkin UMNO kena kerjasama dengan Pas pada PRU14 dan menang 120 kerusi dan Pas 30 kerusi. Mungkin Pas akan jadi rakan kerjasama kerajaan untuk buat status dua pertiga,” katanya.

Ujarnya lagi, sekiranya UMNO dan Pas bekerjasama membentuk kerajaan, ia merupakan menjurus kepada pelaksanaan dasar-dasar Pas-UMNO yang akan memberikan kerugian besar kepada masyarakat Cina.

“Kalau orang Cina nak negara diperintah oleh orang Melayu dan Islam secara keseluruhannya, bagi sahaja UMNO dan Pas perintah. Kalau itu yang masyarakat Cina mahu.

“Kalau mereka boleh fikir dengan lebih baik, maka mereka kena fikir kemajmukan yang kita bina dalam negara ini yang diperintah oleh semua kaum, elok mereka kembali menyokong BN supaya dengan ini dapat membangunkan negara ini,” ujarnya lagi.

Prestasi MCA dan Gerakan merudum pada dua PRU lalu apabila gagal mempertahankan negeri Pulau Pinang yang kini dipimpin DAP.

Malah MCA cuma menang tujuh kerusi parlimen daripada 37 buah kerusi dan 11 kerusi daripada 90 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). 

-MalaysiaGazette.

Sunday, September 20, 2015

Implikasi baju merah - memudah atau menambah sengsara umno/

oleh Shahbudin Husin

SUARA LANTANG: Tidaklah sukar memahami mengapa tidak ramai pemimpin UMNO sendiri menghadiri perhimpunan baju merah pada 16 September lalu, terutama yang menjadi wakil rakyat di kawasan pengundi yang bercampur antara Melayu dan bukan Melayu.

Walaupun pelbagai alasan cuba dirasionalkan manakala setengahnya hanya berdiam diri, laungan perkauman yang keterlaluan sebenarnya amat membimbangkan wakil-wakil rakyat ini.

Sebab itu tidak kelihatan ramai menteri, timbalan menteri dan wakil-wakil rakyat UMNO hadir di Padang Merbok. Yang terlibat dalam sambutan Hari Malaysia di Sabah bolehlah memberi alasan itu untuk tidak menghadirinya, tapi bagaimana dengan yang lain?

Ada menteri dan timbalan menteri yang hanya hadir pada sebelah pagi atau tengahari untuk bertemu dan beramah mesra dengan peserta himpunan baju merah, namun kemudian tidak diketahui ke mana menghilangnya.

Di atas pentas Padang Merbok, hanya beberapa nama yang kelihatan dengan yang paling menonjol bercakap ialah Annuar Musa tetapi tentunya diketahui apakah komposisi pengundi di Ketereh, kawasan Parlimen yang diwakilinya. Maka, tidak hairanlah beliau lantang menonjolkan watak perkaumannya.

Selain itu ialah Ali Rustam, Presiden Pesaka yang merupakan pengunjur himpunan baju merah yang sudah pun ditolak oleh pengundi Bukit Katil yang berjumlah kira-kira 40 peratus pada pilihanraya 2013 dan tentunya tidak bertanding lagi dalam pilihanraya akan datang kerana faktor usia.

Tajuddin Rahman, Ahli Parlimen Pasir Salak pula hanya mempunyai jumlah pengundi Cina bawah 15 peratus di kawasannya. Begitu juga dengan Noh Omar yang tidak terlalu bergantung kepada pengundi bukan Melayu di Tanjung Karang, tambahan pula beliau juga difahamkan tidak mahu bertanding lagi dalam pilihanraya akan datang ini.

Ibrahim Ali, Presiden Perkasa, turut garang berucap pada hari tersebut, tetapi NGO yang diwakilinya memang sudah diketahui jalur perjuangannya. Lagi pun, kalau diberi peluang bertanding lagi dalam pilihanraya nanti, kawasannya tentu juga Pasir Mas yang hampir 100 peratus pengundinya adalah Melayu.

Dengan adanya aksi seperti tuntutan penghapusan sekolah Cina dan wujudnya gangguan daripada peserta himpunan baju merah kepada kawasan perniagaan orang-orang Cina, ketakutan wakil-wakil UMNO sebenarnya lebih meninggi lagi.

Mengapa dalam mahu menyokong dan mempertahankan kedudukan Perdana Menteri, diselitkan ancaman kepada kaum lain?

Mungkin wakil-wakil rakyat di kawasan campuran yang menang di bawah majoriti dua ribu undi sedang berpeluh dingin ketika ini.

Meski terlihat seperti orang-orang Cina cuba mengalah dan tidak mahu cari gaduh dengan kebanyakannya lebih awal menutup kedai masing-masing dan kekal berdiam diri selepasnya, reaksi yang paling ditunggu ialah apakah pendirian pengundi Cina dalam pilihanraya akan datang nanti?

Berdasarkan keputusan di banyak kawasan pilihanraya umum lalu, peratusan pengundi Cina yang mengundi BN adalah dalam lingkungan 20 peratus atau lebih rendah daripada itu.

Apakah himpunan baju merah yang melonjakkan Melayu bangkit ini akan menyebabkan mereka takut dan tunduk, lalu kembali semula mengundi BN?

Atau ia makin menjarakkan atau menjadikan jumlahnya yang menolak BN menjadi lebih besar lagi?

Dengan pengundi Melayu sudah sedia berpecah melalui UMNO, PAS, PKR dan Amanah, kesatuan pendirian di kalangan pengundi Cina adalah penentu kepada sebarang keputusan di banyak kawasan pilihanraya.

Mampukah wakil-wakil rakyat UMNO sedia ada terus bertahan jika sentimen perkauman ini yang didendangkan mulai sekarang berterusan sehingga pilihanraya akan datang?

Meskipun ramai di kalangan mereka tidak menunjukkan muka atau cuba menyembunyikan diri dalam himpunan baju merah itu, apakah tempiasnya tidak memercik sama kepada mereka?

Daripada 88 Ahli Parlimen UMNO sekarang, berapakah yang mampu mengekalkan kerusinya setelah retaknya hubungan kaum yang dicetuskan oleh himpunan baju merah pada 16 September lalu?

Belum pun reda isu 1MDB dan derma RM2,600 juta yang jelas telah menghakis sokongan rakyat di pelbagai peringkat kepada BN, implikasi himpunan baju merah ini kian membawa kebaikan atau sebenarnya makin memudahkan laluan kerajaan pimpinan Najib Razak menuju ke kuburan dalam PRU 14 nanti?

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Implikasi-baju-merah-memudah-atau-menambah-sengsara-UMNO#sthash.oaVYxkhp.dpuf

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-