Showing posts with label himpunan 'Baju Merah'. Show all posts
Showing posts with label himpunan 'Baju Merah'. Show all posts

Sunday, September 20, 2015

Implikasi baju merah - memudah atau menambah sengsara umno/

oleh Shahbudin Husin

SUARA LANTANG: Tidaklah sukar memahami mengapa tidak ramai pemimpin UMNO sendiri menghadiri perhimpunan baju merah pada 16 September lalu, terutama yang menjadi wakil rakyat di kawasan pengundi yang bercampur antara Melayu dan bukan Melayu.

Walaupun pelbagai alasan cuba dirasionalkan manakala setengahnya hanya berdiam diri, laungan perkauman yang keterlaluan sebenarnya amat membimbangkan wakil-wakil rakyat ini.

Sebab itu tidak kelihatan ramai menteri, timbalan menteri dan wakil-wakil rakyat UMNO hadir di Padang Merbok. Yang terlibat dalam sambutan Hari Malaysia di Sabah bolehlah memberi alasan itu untuk tidak menghadirinya, tapi bagaimana dengan yang lain?

Ada menteri dan timbalan menteri yang hanya hadir pada sebelah pagi atau tengahari untuk bertemu dan beramah mesra dengan peserta himpunan baju merah, namun kemudian tidak diketahui ke mana menghilangnya.

Di atas pentas Padang Merbok, hanya beberapa nama yang kelihatan dengan yang paling menonjol bercakap ialah Annuar Musa tetapi tentunya diketahui apakah komposisi pengundi di Ketereh, kawasan Parlimen yang diwakilinya. Maka, tidak hairanlah beliau lantang menonjolkan watak perkaumannya.

Selain itu ialah Ali Rustam, Presiden Pesaka yang merupakan pengunjur himpunan baju merah yang sudah pun ditolak oleh pengundi Bukit Katil yang berjumlah kira-kira 40 peratus pada pilihanraya 2013 dan tentunya tidak bertanding lagi dalam pilihanraya akan datang kerana faktor usia.

Tajuddin Rahman, Ahli Parlimen Pasir Salak pula hanya mempunyai jumlah pengundi Cina bawah 15 peratus di kawasannya. Begitu juga dengan Noh Omar yang tidak terlalu bergantung kepada pengundi bukan Melayu di Tanjung Karang, tambahan pula beliau juga difahamkan tidak mahu bertanding lagi dalam pilihanraya akan datang ini.

Ibrahim Ali, Presiden Perkasa, turut garang berucap pada hari tersebut, tetapi NGO yang diwakilinya memang sudah diketahui jalur perjuangannya. Lagi pun, kalau diberi peluang bertanding lagi dalam pilihanraya nanti, kawasannya tentu juga Pasir Mas yang hampir 100 peratus pengundinya adalah Melayu.

Dengan adanya aksi seperti tuntutan penghapusan sekolah Cina dan wujudnya gangguan daripada peserta himpunan baju merah kepada kawasan perniagaan orang-orang Cina, ketakutan wakil-wakil UMNO sebenarnya lebih meninggi lagi.

Mengapa dalam mahu menyokong dan mempertahankan kedudukan Perdana Menteri, diselitkan ancaman kepada kaum lain?

Mungkin wakil-wakil rakyat di kawasan campuran yang menang di bawah majoriti dua ribu undi sedang berpeluh dingin ketika ini.

Meski terlihat seperti orang-orang Cina cuba mengalah dan tidak mahu cari gaduh dengan kebanyakannya lebih awal menutup kedai masing-masing dan kekal berdiam diri selepasnya, reaksi yang paling ditunggu ialah apakah pendirian pengundi Cina dalam pilihanraya akan datang nanti?

Berdasarkan keputusan di banyak kawasan pilihanraya umum lalu, peratusan pengundi Cina yang mengundi BN adalah dalam lingkungan 20 peratus atau lebih rendah daripada itu.

Apakah himpunan baju merah yang melonjakkan Melayu bangkit ini akan menyebabkan mereka takut dan tunduk, lalu kembali semula mengundi BN?

Atau ia makin menjarakkan atau menjadikan jumlahnya yang menolak BN menjadi lebih besar lagi?

Dengan pengundi Melayu sudah sedia berpecah melalui UMNO, PAS, PKR dan Amanah, kesatuan pendirian di kalangan pengundi Cina adalah penentu kepada sebarang keputusan di banyak kawasan pilihanraya.

Mampukah wakil-wakil rakyat UMNO sedia ada terus bertahan jika sentimen perkauman ini yang didendangkan mulai sekarang berterusan sehingga pilihanraya akan datang?

Meskipun ramai di kalangan mereka tidak menunjukkan muka atau cuba menyembunyikan diri dalam himpunan baju merah itu, apakah tempiasnya tidak memercik sama kepada mereka?

Daripada 88 Ahli Parlimen UMNO sekarang, berapakah yang mampu mengekalkan kerusinya setelah retaknya hubungan kaum yang dicetuskan oleh himpunan baju merah pada 16 September lalu?

Belum pun reda isu 1MDB dan derma RM2,600 juta yang jelas telah menghakis sokongan rakyat di pelbagai peringkat kepada BN, implikasi himpunan baju merah ini kian membawa kebaikan atau sebenarnya makin memudahkan laluan kerajaan pimpinan Najib Razak menuju ke kuburan dalam PRU 14 nanti?

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Implikasi-baju-merah-memudah-atau-menambah-sengsara-UMNO#sthash.oaVYxkhp.dpuf

Baju merah gagalkan 1Malaysia, dakwa DAP

WARTAWAN SINAR HARIAN
Kit Siang
PENDANG - DAP mendakwa konsep 1Malaysia diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak gagal apabila kerajaan membenarkan perhimpunan bersifat perkauman pada 16 September lalu.

Penasihatnya, Lim Kit Siang berkata, penganjuran Himpunan Baju Merah itu menidakkan inisiatif diperkenalkan Najib melalui slogan 1Malaysia.

Beliau mendakwa Himpunan Bersih 4.0 jauh lebih baik berbanding baju merah yang kelihatan bersifat perkauman.

“Sepatutnya semua rakyat tanpa mengira kaum meraikan sambutan pembentukan Hari Malaysiahari berkenaan,” katanya selepas menghadiri program pemeriksaan kesihatan percuma anjuran Impian Kedah Perlis dengan kerjasama St John Ambulans Malaysia serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Surau Kampung Kedah, Guar Kepayang, di sini, semalam.

Menurutnya, himpunan itu bukan mempertahankan maruah Melayu tetapi lebih kepada mempertahankan kedudukan segelintir individu khasnya Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu turut menyifatkan cetusan idea Najib untuk melaksanakan Pergerakan Kesederhanaan Global juga gagal.

“Mana ada kesederhanaan kalau kerajaan boleh mempertahankan apa yang berlaku dalam sambutan Hari Malaysia itu.

“Kita memang pertahan hak kebebasan untuk berhimpun, tetapi bukan untuk menggugat, mengugut atau menakutkan perasaan perkauman,” katanya.

Pada masa sama Kit Siang menyifatkan kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar pemimpin MCA dan Gerakan lebih berani bersuara kepada pucuk pimpinan adalah memalukan.

Wednesday, September 16, 2015

Najib, Zahid kirim salam pada peserta baju merah

OLEH KC NAZARI
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengirim salam kepada peserta himpunan baju merah yang berkumpul di Padang Merbok hari ini. Perkara itu diumumkan Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa ketika berucap sebentar tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 16 September, 2015.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengirim salam kepada peserta himpunan baju merah yang berkumpul di Padang Merbok hari ini.

Perkara itu diumumkan Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa sewaktu berucap dan menangguhkan perhimpunan ini sekitar 5.20 petang tadi.

"Saya baru dapat panggilan daripada perdana menteri yang berkirim salam kepada semua.

"Perdana menteri dan timbalan perdana menteri yang berada di Sabah melahirkan rasa terkejut dengan perhimpunan aman sebesar ini," kata Annuar dalam ucapannya.

Kiriman salam itu ibarat pengiktirafan daripada dua personaliti utama Umno sewaktu Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal secara terang-terangan menolak himpunan hari ini.

Muhyiddin menyeru orang Melayu agar tidak menyambut Hari Malaysia dengan himpunan berbaur perkauman sementara Shafie pula menyifatkan himpunan hari ini mencemarkan sambutan Hari Malaysia.

Sementara itu dalam ucapannya, Annuar turut mengisytiharkan ia berjaya menghimpunkan sekurang-kurangnya 250 ribu orang peserta.

"Kesemuanya bergerak ke arah Padang Merbok tetapi malangnya tak sempat sampai ke mari tetapi jiwa dan semangat mereka tetap bersama kita.

"Ini adalah perhimpunan aman dan kita patuh pada semua arahan pihak berkuasa pada kita," kata Annuar.

Beliau kemudian membacakan resolusi himpunan yang antara lain menyatakan sokongan penuh kepada kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya dan mengesa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dikembalikan.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/najib-zahid-kirim-salam-pada-peserta-baju-merah#sthash.okW3PE3l.dpuf

Persiapan himpunan 'Baju Merah' tampak mewah

Tapak lokasi himpunan 'Baju Merah' disiapkan dengan kemudahan seperti sebuah konsert. - Foto TRP/Azizi Sunip

KUALA LUMPUR, 16 September:

Persiapan himpunan ‘Baju Merah’ di Padang Merbok yang dijadualkan hari ini tampak mewah dengan pentas dan kemudahan tandas yang disediakan.

Hasil tinjauan The Rakyat Post malam tadi mendapati tapak lokasi himpunan itu disiapkan dengan kemudahan seperti sebuah konsert.

Difahamkan, kemudahan pentas itu akan digunakan pada sebelah malam dan berlarutan sehingga jam 12 tengah malam yang disertai oleh beberapa artis tanah air.

Menurut pengawal keselamatan yang bertugas, persiapan bermula pada petang tadi untuk mendirikan pentas utama dan menempatkan kemudahan tandas awam.

“Sejak petang tadi, ramai peniaga mendirikan khemah dan barang-barang berniaga diletakkan di sini, DBKL juga meletakkan tandas mudah alih di tapak lokasi untuk kegunaan peserta himpunan esok,” katanya.

Antara tandas yang disediakan untuk himpunan ‘Baju Merah’ di Padang Merbok. – Foto TRP/Azizi Sunip

Salah seorang peniaga yang ditemui berkata, kemudahan tempat yang disediakan adalah untuk peserta himpunan membeli makanan.

“Kami berada di sini sejak jam 9 malam tadi, untuk meletakkan peralatan berniaga untuk esok, kami jangkakan ribuan peserta akan hadir dan baik untuk menambah pendapatan dengan berniaga di sini,” katanya.

Himpunan baju merah sebelum ini mendapat keputusan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk meneruskan perhimpunan itu di Padang Merbok dan ia dianggap sebagai perhimpunan yang sah.

Polis menjangkakan kesesakan lalu lintas akan berlaku dengan kehadiran 2,000 buah bas dari beberapa kawasan sekitar ibu negara.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/09/16/persiapan-himpunan-baju-merah-tampak-mewah/#ixzz3lpgSpaBz

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-