Friday, May 29, 2015

PERKASA bimbang hak Bumiputera disamaratakan dengan kaum lain

Adam Abu Bakar 

Dokumen RMK11 langsung tidak menyentuh strategi memperkasa ekonomi Melayu dan Bumiputera menjelang 2020.
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (PERKASA) bimbang hak Melayu dan Bumiputera disamaratakan dengan kaum lain menjelang 2020.

Ini kerana, Rancangan Malaysia Ke11 (RMK11) langsung tidak mencerminkan agenda Melayu dan Bumiputera sebagai suatu agenda negara, kata Presidennya, Datuk Ibrahim Ali.

“Saya amat bimbang kepentingan Melayu dan Bumiputera akan disamaratakan dengan kaum-kaum lain.

“Saya menjangkakan 70 peratus penduduk di negara ini adalah Melayu dan Bumiputera menjelang 2020 tetapi persoalannya di sini ialah apakah kita mampu menguasai lebih 30 peratus ekonomi negara?,” katanya.

Sehubungan itu, Ibrahim akan menghantar ‘Nota Perhatian’ kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi (EPU) untuk menyemak semula dan membuat pindaan pada RMK-11.

“Daripada sejumlah 389 muka surat dokumen utama RMK-11 dan 601 muka surat kerta-kertas strategi yang disediakan kerajaan, tidak sampai lima peratus pun kandungan dokumennya menyentuh strategi ekonomi Melayu dan Bumiputera,” tegasnya.

Katanya, selain terlalu umum, kandungan RMK11 juga tidak memperlihatkan hasrat untuk menjamin kepentingan orang Melayu dan Bumiputera di negara ini.

Hutang kerajaan dipindah kepada rakyat menerusi GST

FMT Reporters

Pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak gagal menguruskan kewangan dengan baik menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung beban hutang.
PETALING JAYA: Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak cuba meletakkan kelemahan pentadbirannya di atas bahu rakyat dengan melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, di bawah pentadbiran Najib, ekonomi negara sangat bermasalah kerana perbelanjaan tidak berhemah dan tidak terurus.

Katanya, pemberian wang kepada rakyat menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) salah satu punca kadar desifit negara meningkat.

“Memberi duit kepada rakyat mungkin menjadikan Najib popular tetapi dalam kebanyakkan kes, memberi wang bukan penyelesaiannya. Adalah lebih baik mendidik dan melatih mereka dengan kemahiran untuk mendapat kerja dengan pendapatan lebih tinggi.

“Defisit negara meningkat kerana perbelanjaan tidak berhemah, meningkatkan gaji minimum tanpa meningkatkan produktiviti, menambah hari cuti dan menggantikan hari bekerja jika cuti umum jatuh pada hujung minggu dan berbelanja untuk barangan mewah.

“Jika Najib bijak menguruskan kewangan, GST tidak perlu dikenakan terhadap rakyat,” tulisnya di blog, chedet.cc.

Dr Mahathir berkata, GST telah mengurangkan kuasa beli rakyat dan menjadikan rakyat lebih miskin.

“GST adalah cara untuk rakyat mengkayakan kerajaan,” katanya.

Dr Mahathir berkata, kerajaan di bawah Najib terpaksa menanggung beban hutang termasuk 1MDB dan beban itu dipindahkan kepada rakyat menerusi GST.

“Kerajaan Najib sebenarnya menyuruh rakyat termasuklah mereka yang tidak layak bayar cukai pendapatan untuk membantu kerajaan ‘bail out’,” katanya.

Katanya, tidak salah Najib didesar meletak jawatan kerana Najib juga pernah mendesak Tun Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan Perdana Menteri.

“Sebelum ini, kita tidak pernah mendengar kehidupan mewah seorang Perdana Menteri. Sokongan terhadap Najib juga lebih teruk berbanding Pak Lah. Jadi atas alasan ini dan alasan-alasan lain, Najib patut berundur,” katanya.

Berapa Banyak Bohong Daa..........

Oleh Shahbudin Husin


Kemelut 1MDB terus menghantui rakyat dengan jalan keluar yang masih kabur dan berliku-liku. Sama ada syarikat pelaburan itu mampu dipulihkan atau sebaliknya, yang nyata beban hutang RM42 bilion tetap menjadi tanggungan rakyat.

Selain hutang yang tinggi dan wang RM27 bilion tidak dapat dijelaskan ke mana perginya, setelah penyiasatan mencari kebenaran memasuki fasa audit oleh Ketua Audit Negara dan pendengaran di depan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara atau PAC, isu pembohongan nampaknya mula mengambil tempat ketika ini seolah-olah untuk melindungi cacat-cela 1MDB.

Bermula dengan jawapan berbeza Najib Razak di Parlimen mengenai kedudukan wang USD1.103 bilion yang dibawa balik daripada Pulau Cayman ke Singapura, Najib selaku Menteri Kewangan ditaktif ramai telah melakukan perbuatan bohong dan memberi kenyataan tidak benar mengenainya.

Ramai yang garu kepala dengan jawapan berbeza Najib yang memiliki paling ramai pegawai dan penasihat sehingga keliru sama ada wang tunai, aset atau unit yang dipindahka dan disimpan di Singapura itu. Yang lain pula bimbang jika sebenarnya tidak ada apa-apa yang dibawa balik daripada Pulau Cayman.

Lebih mengelirukan sebelum itu CEO 1MDB bersungguh-sungguh mengesahkan kedudukan wang di Singapura dengan menyatakan beliau telah melihat penyatanya.

Tidak saja rakyat yang menilai jawapan berbeza Najib sebagai suatu pembohongan, malah bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad menganggap perbuatan itu sebagai jenayah di bawah Seksyen 218, Kanun Acara Jenayah yang boleh dipenjara sehingga tiga tahun.

Mengenai misteri ke mana perginya RM27 bilion milik 1MDB di sebaliknya hutangnya berjumlah RM42 bilion, kenyataan Najib menyatakan ianya tidak hilang tetapi tersimpan sebahagiannya dalam nilai tanah TRX dan Bandar Malaysia, juga boleh ditakrif sebagai berbohong kerana ianya dinilai berdasarkan harga semasanya ketika ini sedangkan ia dibeli daripada kerajaan dengan harga yang amat-amat rendah.

Bermakna, sehingga ini ke mana menyelinapnya wang RM27 bilion itu masih lagi tidak diberikan jawapan yang sebenarnya.

Apabila terdedah kemudian mengenai fasal 117 dalam M&A 1MDB iaitu satu peruntukan khas yang memerlukan kebenaran bertulis daripada Perdana Menteri bagi sebarang urusniaga syarikat pelaburan itu, sekali lagi Najib didapati telah berbohong dan tidak bercakap benar.

Ini berikutan kenyataan daripada Pejabat Perdana Menteri sebelum ini yang mengatakan Najib tidak terlibat dalam urusan harian 1MDB, sebaliknya memberitahu syarikat itu diurus oleh satu pasukan profesional dan berpengalaman.

Tetapi dengan adanya peruntukan khas dalam fasal 117 itu, bagaimanakan untuk mengelakkan daripada tanggapan Najib tidak tahu apa-apa mengenai perjalanan harian1MDB?

Tidakkah Najib juga berbohong dalam hal ini?

Ketika Arul Kanda Kandasamy, CEO 1MDB dijadual mengadap PAC pada 26 Mei lalu dan beliau tidak dapat menghadirinya, sekali lagi unsur-unsur pembohongan terdedah.

Arul membeli alasan tidak dapat hadir kerana notis yang diterimanya adalah pada 21 Mei dan beliau sudah pun mempunyai jadual di luar negara pada 26 Mei itu.

Bagaimanapun, dengan penjelasan Nur Jazlan, Pengerusi PAC bahawa mereka menghantar surat kepada Kementerian Kewangan mengenai pemakluman jadual pendengaran itu seawal 6 Mei lagi, jelas ada permainan "membeli masa" dalam hal ini.

Mengapa surat PAC bertarikh 6 Mei kepada Kementerian Kewangan tetapi hanya disampaikan kepada 1MDB pada 21 Mei?

Persoalan lebih penting berdasarkan konsep pertanggungjawaban ialah siapa Menteri Kewangan dan adakah kelewatan itu dalam pengetahuan Najib dan para pegawainya?

Lebih memeningkan kepala sejak semalam ialah apabila Arul Kanda juga dikesan telah bertemu Pengerusi BNBBC, Shahrir Samad yang dikenali sebagai penyokong kuat Najib di Kuala Lumpur pada 27 Mei, iaitu hanya sehari selepas jadual asal bertemu PAC yang tidak dapat dihadirinya.

Gambar-gambar curi pertemuan itu telah terdebar luas dan akhirnya Arul Kanda mengakui pertemuannya dengan Shahrir itu.

Negara mana Arul pergi sebenarnya pada 26 Mei itu jika pada 27 Mei beliau sudah ada di dalam negara? Dan sebagaimana pertanyaan Tony Pua, salah seorang anggota PAC, bila sebenarnya Arul pergi ke luar negara dan bilakah pula tempahan tiketnya itu dibuat?

Pertanyaan yang tidak dapat dielakkan ialah apakah di sini juga terdapat unsur-unsur pembohongan lagi?

Dalam pada itu, ramai juga yang tertanya-tanya mengapa bekas CEO 1MDB, Shahrul Halmi meminta tempoh terlalu lama iaitu sebulan untuk memberi penjelasan kepada 1MDB.

Adakah sesuatu berunsur pembohongan sedang diusahakan disebalik meminta tempoh terlalu lama itu? Jika hanya yang benar perlu diberitahu kepada PAC, kenapa tempoh sampai sebulan yang diminta?

Apa yang menarik, di sebalik kecaman ramai mengenai dolak dalik Arul dan Shahrul daripada mengadap PAC yang disifatkan amat penting untuk mengetahui kebenaran jalan cerita 1MDB, Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah tampil sebagai jurucakap memberi jaminan kedua-dua mereka akan tetap memberi keterangan.

Di bursa politik kedai kopi dan lobi hotel, bertebaran cakap-cakap mengatakan betapa besarnya pangkat kedua-dua individu terbabit sehingga Najib seolah-olah hanya "PRO" saja kepada mereka.

Dengan terus bermain dengan masa dan satu demi satu pembohongan terbongkar dalam usaha yang bagaikan terpaksa untuk merungkai kekusutan 1MDB ini, rata-rata mula bertanya, apakah selepas ini lebih banyak lagi pembohongan akan terus terdedah?

Bohong, bohong dan terus bohong.

Berapa banyak bohong daa...mungkin ini yang terpacul daripada mulut Allahyarham P Ramlee jika beliau masih hidup dan menyaksikan kemelut 1MDB ini. - http://shahbudindotcom.blogspot.com/

Nie Ching: Utamakan tadbir urus baik, bukan GST

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Hasil kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) nampaknya tidak akan ke mana jika kerajaan tidak mengambil tindakan tegas terhadap penjawat awam yang melakukan kesalahan tadbir urus, kata Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching.

“Melihat tindakan yang diambil kerajaan terhadap kesalahan penjawat awam tidak dipandang serius maka tidak hairanlah rasuah dan kesalahan penjawat awam terus berlaku saban tahun.
“Akhirnya hasil GST akan digunakan untuk membeli jet baru ataupun dibazir secara sia-sia saja,” katanya dalam satu kenyataan.

Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2012, Malaysia telah mengalami kerugian sebanyak RM6.5 bilion bagi kesalahan tadbir urus penjawat awam.

Namun kata Nie Ching, walaupun 339 orang pegawai telah dikenakan prosiding tatatertib, tapi hanya 132 orang bersamaan 39 peratus yang dikenakan hukuman tatatertib dan 203 orang (60 peratus) lagi dibebaskan.

Jelas beliau, daripada 132 orang, seorang telah dipecat, 3 orang dikenakan pemotongan gaji, 65 orang diberikan amaran dan selebihnya dikenakan tindakan lain.

Tambah Penolong Setiausaha Publisiti DAP itu, meskipun Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah ditubuhkan bagi memantau segala perbelanjaan negara, namun peranannya masih lagi terbatas.

“Dilaporkan Putrajaya atau Kementerian Kewangan tidak pernah menghantar satu laporan pun tindakan susulan yang telah diambil hasil cadangan daripada PAC,” ujarnya. – Roketkini.com

Kesihatan Anwar merosot, Izzah adakan sidang media esok

PETALING JAYA 29 MEI- Kesihatan Anwar Ibrahim yang kini menjadi mangsa tahanan politik di Penjara Sungai Buloh dikatakan semakin merosot.

Sehubungan itu, Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar akan mengadakan sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di Petaling Jaya esok, jam 11.3

Dalam sebaran Biro Komunikasi KEADILAN kepada pihak media hari ini, sidang media itu berkaitan isu kesihatan Anwar yang semakin membimbangkan.

Esok adalah hari ke 110 Anwar dipenjarakan. Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari tahun ini menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun terhadapnya atas dakwaan melakukan liwat terhadap bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.

Bagaimanapun Anwar menegaskan ia merupakan satu fitnah jahat dan konspirasi politik tertinggi untuk menghancurkan kariernya sebagai ketua pembangkang.

Ia juga mengulangi semula skrip sama yang pernah dihadapinya pada 1998, yang menyebabkan beliau disingkirkan daripada jawatan timbalan perdana menteri.

Keputusan memenjarakan Anwar dikecam hebat Pakatan Rakyat, Badan Peguam, NGO dan pemimpin antarabangsa, termasuk ulama terkenal Sheikh Yusuf Al Qaradawi.

Saham FGV menjunam, Pahang rugi hampir RM500 juta

PAHANG 28 MEI- Adun Semambu, Lee Chean Chung meminta penjelasan kerajaan Pahang berikutan kejatuhan harga Saham Felda Global Venture (FGV) yang menyebabkan kerajaan negeri itu turut mengalami kerugian.

Chean Chung berkata, buat pertama kali harga saham FGV menjunam kurang daripada RM2 apabila mencatatkan harga terendah semalam iaitu RM1.92 seunit.

Katanya, beliau difahamkan kerajaan Pahang memegang 5 peratus saham FGV, ataupun bersamaan 182 juta unit saham ketika nilai saham itu berharga RM4.55 seunit sewaktu disenaraikan.

“Bagi Kerajaan Pahang, ini bermaksud nilai saham pegangannya hanya bernilai RM349,440,000.

“Kerugian yang tercatat adalah sebanyak RM478,660,000, ataupun 2.5 kali ganda Anggaran Perbelanjaan Mengurus (RM185.09 juta) Negeri Pahang untuk tahun 2015,” katanya pada kenyataan media.

Menurutnya, keputusan untuk memegang 5 peratus saham dalam FGV adalah kurang tepat dan warga Pahang mungkin terpaksa menanggung kerugian ratusan juta ringgit atas kesilapan kerajaan negeri itu.

Berikutan itu, beliau menuntut penjelasan kerajaan negeri sama ada pembelian saham tersebut dibuat melalui pinjaman bank dan pihak mana yang menguruskan pelaburannya.

Beliau juga mahu tahu apakah strategi kerajaan Pahang berhadapan kemerosotan nilai pelaburan FGV dan bagaimana cara membantu peneroka Felda yang terlibat.

Menurutnya, bagi peneroka yang membeli 800 unit saham dengan membayar RM3,560 semasa ia disenaraikan, nilai tersebut hanya tinggal RM1,536 , yang bermakna pemegangnya rugi sebanyak RM2,024.

Mahathir: Apakah 1MDB terlibat ubah wang haram?

KUALA LUMPUR 28 MEI- Tun Dr Mahathir Mohamad meneruskan tekanan ke atas Datuk Seri Najib Razak dengan mempersoalkan sekiranya 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terlibat dengan pengubahan wang haram dengan pengetahuan perdana menteri itu.

Bekas PM itu merujuk kepada dana dari Pulau Cayman yang kononnya disimpan di Singapura.
Soalnya apakah 1MDB dengan pengetahuan penasihatnya terlibat dengan money laundering, sehingga wang dari Cayman Islands terpaksa disimpan di Singapura.

“Singapura juga memeriksa dengan teliti wang yang masuk-keluar negara itu bagi mengelak jenayah money laundering.

“Apakah 1MDB tidak tahu akan peraturan Monetary Authority of Singapore (MAS)?,” soal Mahathir seperti dilapor portal Malaysiakini.

Mahathir dalam tulisan di blog chedet.cc menjawab kenyataan Najib bahawa dana AS$1.103 bilion (RM4 bilion) disimpan di Singapura kerana Bank Negara Malaysia akan mempersoalkan semua transaksi bernilai lebih RM50 juta.

Menurut Mahathir, campur tangan Bank Negara dalam transaksi tersebut tidak akan menimbulkan masalah jika semuanya dibuat mengikut undang-undang dan bukan satu pengubahan wang haram.

Mahathir mula mempersoalkan mengenai dana 1MDB berjumlah AS$1.103 bilion selepas kerajaan memberi penjelasan mengelirukan mengenai status dana tersebut.

Menteri bertanggungjawab

Menurut 1MDB, dana berkenaan ditebus dalam bentuk tunai dari Cayman Islands dan disimpan di BSI Singapura selepas pembatalan satu urusniaga dengan PetroSaudi.

Ia turut ditegaskan oleh Najib dalam satu jawapan bertulis di Parlimen pada 10 Mac. Seterusnya pada 20 Mei, Najib mengubah jawapannya dan berkata wang tersebut dalam bentuk aset.

Lebih mengelirukan lagi, Menteri Kewangan II Datuk Seri Husni Hanadzlah menyatakan bahawa aset tersebut dalam bentuk “unit” tetapi tidak menjelaskan maksudnya.

Ini menyebabkan Mahathir menuduh beliau berbohong dan melakukan kesalahan jenayah kerana menyembunyikan perkara sebenar.

Dalam tulisannya hari ini, Mahathir seterusnya menegaskan bahawa menteri bertanggungjawab untuk memeriksa jawapan mereka, walaupun jika ia disediakan oleh pegawai kerajaan.

“Pegawai-pegawai yang menyediakan jawapan tidak kebal. Mereka masih bertanggungjawab terhadap isi kandungan jawapan.

“Jika didapati mereka tidak tentukan jawapan yang disediakan oleh mereka berasas kepada kebenaran, kerana tidak berasas kepada maklumat dan bukti yang sahih, mereka boleh dituduh sengaja mencuba melindungi menteri kerana menyembunyikan kebenaran.

“Dengan perkataan lain menteri masih boleh dituduh membohong dan pegawai juga akan dituduh bersama,” katanya.

Malaysiakini telah menghubungi 1MDB dan masih menunggu reaksinya berhubung dakwaan itu.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-