Thursday, January 11, 2018

PAS tidak bimbang hadapi 'senario' pertandingan PRU14

Oleh Wartawan BO
11/01/2018
KUALA NERUS – PAS tidak bimbang dengan sebarang senario jumlah kerusi yang akan disainginya dalam pilihan raya umum kali Ke-14 (PRU14) akan adatang.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyifatkan pertandingan beberapa penjuru adalah perkara biasa dalam amalan negara demokrasi.

“Dalam konteks negara demokrasi sesiapa sahaja dan parti mana pun boleh bertanding. Apa yang penting kita (PAS) membuat kerja kita. Sebagai Ahli Parlimen bagi kita yang penting kita telah membuat kerja dari awal sejak sebelum jadi Ahli Parlimen dan sampai bila-bila.

“Siapa yang nak masuk (bertanding) kita (PAS) alu-alukan dan tidak menjadi satu kerisauan kepada kita. Kita serah kerja kita dan hasilnya Allah SWT akan tentukan, Insya’Allah,” ujarnya

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Ziarah dan Santuni Rakyat di Unit Peti Undi (UPU) Gong Kijang, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal, kelmarin.
Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata demikian sebagai reaksinya kepada keputusan Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2018 yang menjelaskan akan bakal berlaku banyak pertandingan tiga penjuru antara PAS, Barisan Nasional (BN) dan PH.

Menurutnya, medan pilihan raya pula menjadi waktu bagi menilai kerja-kerja wakil rakyat parti sepanjang tempoh lima tahun itu.

“PAS sentiasa bersiap sedia bila-bila masa dan PAS ini buat kerja tidak bermusim. Hari ini kebetulannya dekat dengan pilihan raya. Tetapi, adakah apa yang kita buat ini kerana hampir nak pilihan raya, kita kata tidak.

“Program seumpama ini seperti ziarah orang miskin, orang sakit yang kita buat setiap minggu. Ini program berkala sejak hampir lima tahun lalu.

“Jadi tidak ada kaitan dengan pilihan raya tetapi apabila tiba musim pilihan raya, kita (PAS) akan lipat gandakan usaha kerja itu.
“Insya’Allah, bagi kita (PAS) sentiasa bersedia dan jika ditakdirkan esok pilihan raya pun tak apa. Ini kerana, bagi kita pilihan raya hanyalah ‘stop’ untuk kita menilai kerja kita,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau memberi gambaran hujah bagaimana gerak kerja parti di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) Seberang Takir.

“Dun Seberang Takir ini sebagai contoh. Kita (parti) tidak menang pun Dun (Seberang Takir) tetapi wakil kita (PAS) Ustaz Zakaria Dagang terus buat kerja tanpa henti, tanpa mengira sama ada beliau itu seorang wakil rakyat atau pun sebaliknya.

“Itu (sifat peduli) sebagai tanggungjawab kita (PAS) sebagai pimpinan masyarakat. Hari ini kita mensasarkan UPU Gong Kijang untuk ziarah. Harap ini menjadi budaya masyarakat kita,” ujarnya yang turun ‘padang’ bersama isteri.

Mengikut pengagihan kerusi PH pada PRU14 ini Parti Amanah Negara (PAN) akan bertanding di 27 kerusi parlimen seluruh negara termasuk tiga di Terengganu iaitu Parlimen Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-