Monday, July 16, 2018

Najib tarik balik saman Tommy, Mohd Syukri, Amar Singh

Ho Kit Yen | July 16, 2018

Peguam bekas perdana menteri itu berkata tindakan itu dibuat kerana mereka perlu 'menyelaras semula kes dengan peguam bela Najib yang lain'.
Najib Razak menarik balik saman yang difailkan bulan lepas berhubung isu siasatan 1MDB. (Gambar AFP)

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, yang menyaman 3 pegawai kerajaan yang dikaitkan dengan siasatan 1MDB, hari ini menarik balik tuntutan mahkamah terhadap mereka.

Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke, yang mewakili Peguam Negara Tommy Thomas, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh, berkata peguam Najib menyampaikan tuntutan itu kepada pendaftar Mahkamah Tinggi semasa pengurusan kes hari ini.

Ketika dihubungi FMT, peguam Najib Badrul Hisham Abdullah berkata mereka menarik balik tindakan undang-undang itu kerana mereka perlu “menyelaras semula kes dengan peguam bela Najib yang lain”.

“Saman itu difailkan sebelum dia didakwa. Senario itu berubah kerana dia kini dituduh,” katanya.

Badrul tidak menolak kemungkinan Najib akan memfailkan saman baharu terhadap pegawai tertinggi terbabit, tetapi tidak memberikan butiran lanjut.

Najib memfailkan tindakan undang-undang terhadap mereka bulan lepas kerana bersikap prejudis terhadapnya sepanjang siasatan dijalankan dan melalui kenyataan yang dikeluarkan mereka.

Pada 4 Julai, beliau didakwa dengan 3 pertuduhan pecah amanah dan 1 tuduhan salah guna kuasa berhubung wang berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang dikatakan dipindahkan ke akuan peribadinya.

Kes Najib akan disebut semula pada 8 Ogos.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-