8 SEPTEMBER 2018
SHAH ALAM - Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui parti tersebut adalah parti perkauman, tidak seperti rakan lain dalam PH yang berbilang kaum dan bangsa.
Menurut Mahathir, hakikat sebenarnya adalah rakyat Malaysia masih terikat dengan kaum dan isu perkauman masih lagi dipedulikan, tidak terpinggir begitu sahaja.
Tambah beliau, pengundi Malaysia masih terbahagi kepada pelbagai kaum dan masing-masing ingin mengekalkan identiti kaum tidak kiralah Melayu, Cina, India atau lain-lain.
“Kita belum sampai ke tahap kaum kita sudah dilupakan. Ini jelas apabila kita meletak calon (dalam pilihan raya). Jika kita ingin menang, tentukan kaum calon sama dengan tempat mereka bertanding.
“Ini kita lihat dilakukan semua parti. Kita belum sampai ke tahap kaum tidak dipedulikan. Kita tahu orang Melayu kurang selesa kalau kaum lain perjuangkan hak mereka.
“Begitu juga kaum lain. Sebab itu kita tidak dapat letak calon Melayu di bandar atau calon Cina atau India di luar bandar,” katanya ketika berucap dalam sambutan Ulang Tahun Kedua Bersatu 2018, di sini, malam ini.
Tambah Perdana Menteri itu, walaupun parti berbilang kaum tetapi aspek perbezaan kaum diambil kira apabila meletak calon bagi mengelakkan kekalahan calon tersebut.
Ujar Ahli Parlimen Langkawi itu lagi, semasa Bersatu ditubuhkan, mereka sedar untuk mengalahkan parti perkauman Umno, hanya parti berteraskan Melayu boleh melakukannya.
“Jika tidak, maka pembangkang akan gagal. Ini adalah kerana orang Melayu tidak percaya nasib mereka akan dibela oleh parti bukan Melayu atau parti campuran kaum.
“Pendirian orang Melayu ini disebabkan mereka masih ketinggalan di belakang. Selama 60 tahun Umno sahaja dipercayai mereka akan mempertahankan Melayu.
“Kesetiaan mereka kepada Umno sehingga mereka tidak nampak perubahan yang berlaku dalam kepimpinan Umno,” tegasnya.
Jelas Mahathir lagi, disebabkan ‘kesetiaan’ itu, orang Melayu tidak nampak atau tidak akui kepimpinan Umno tidak lagi berjuang untuk orang Melayu.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.