Monday, February 18, 2019

PH berdepan tugas sukar pujuk pengundi

M Fakhrull Halim 
Diterbitkan Hari ini 10:32 pagi

PRK SEMENYIH | Pada PRU ke-14, Pakatan Harapan (PH) berjaya merampas kerusi DUN Semenyih - kawasan tradisi Umno - apabila menang di 13 daripada 23 pusat daerah mengundi (PDM).

Ketika itu, berlaku pertembungan empat penjuru antara PH, Umno, PAS dan PSM. Calon PH Bakhtiar Mohd Nor menang dengan meraih 23, 428 undi (48.35 peratus), manakala calon BN Johan Abdul Aziz mendapat 14,464 undi (30.22 peratus), calon PAS Mad Shahmidur Mat Kosim (6,966 undi, 16.84 peratus) dan calon PSM S Arutchelvan (1,293 undi, 3.54 peratus).

Bagaimanapun dengan mengambil kira kerjasama Umno dan PAS dalam PRK kali ini, beberapa PDM yang dikuasai PH pada PRU lalu akan menjadi kawasan '50-50' dan malah mungkin dimenangi BN.

Malaysiakini melakukan tinjauan di Bandar Tasik Kesuma - PDM keempat dari segi jumlah pengundi terbesar pada PRU lalu - untuk melihat sejauh mana perubahan sokongan politik pengundi di sana.

Dan sejumlah pengundi yang ditemui menunjukkan sentimen yang tidak berpihak kepada PH.

Bagi Ismail Yusof, 71, sokongannya untuk PRK kali ini berdasarkan calon yang dilihatnya mampu memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam.
I
Ismail
"(Sokongan) boleh jadi untuk parti atau individu. Jika parti itu menjurus kepada kebaikan Melayu dan Islam tetapi calonnya tak menghayati (hal itu), tiada makna juga," katanya yang meramalkan kemenangan BN di DUN itu.

Penyokong PAS, Nazri Mohd Fadzil, juga menjangkakan perkara sama atas dasar DUN Semenyih sememangnya kubu BN sebelum ini.

"PAS pun baru PRU lepas bertanding di sini," katanya.
Nazri
PDM Bandar Tasek Kesuma menempatkan 4,492 daripada 54,503 pengundi berdaftar di Semenyih. Ia merupakan kawasan majoriti Melayu dengan 3,295 pengundi (76.7 peratus), 755 pengundi India (17.57 peratus) dan 217 pengundi Cina (5.05 peratus).

Pada PRU lalu, PH menang di situ dengan mengumpul 1,763 undi (48.35 peratus), tidak jauh berbeza dengan BN (1,102 undi, 30.22 peratus). PAS pula meraih 614 undi (16.84 peratus).

Dengan andaian pengundi PAS akan menyokong calon BN kali ini, PH hanya memiliki kelebihan 47 undi saja.

Bagi Juria Sharudin yang mengaku sebagai penyokong kuat BN, tiada apa yang akan mengubah sokongannya terhadap mereka.

"Cakaplah apa yang anda mahu, saya untuk BN. Saya Umno, kerana ia untuk orang Melayu, agama dan perlembagaan," katanya.
Juria
Dia disokong beberapa lagi wanita yang bersama-samanya ketika ditemui di sebuah kedai di Jalan Kesuma di situ.

Tak ada masjid

Peniaga Jamilah Ahmad Shukeri berkata PH berisiko kehilangan kerusi DUN itu kerana kegagalannya dalam menunaikan beberapa janji manifesto PRU ke-14.

“Harga barang pun naik, saya yang berniaga lagilah terasa. Saya buat kuih, tapi tepung yang disubsidi dinikmati orang luar.

“Barang pun susah nak dapat. Misalnya warga Bangladesh dapat berkotak-kotak (kerana) mereka mengejar lori (yang membawa tepung), kita ini menunggu saja," kata wanita berusia 50 tahun itu.
Jamilah
Selain isu nasional, beberapa responden yang ditemui membangkitkan isu pembinaan masjid yang menurut mereka belum direalisasikan sejak 13 tahun lalu.

"Di sini mana ada masjid, pakai surau untuk sembahyang Jumaat. Ini kawasan majoriti Melayu, takkan tak boleh bina sebuah masjid?" soal Shafie Omar yang merasakan calon PH Muhammad Aiman Zinali yang berusia 30 tahun sebagai terlalu muda.

"Muda sangat lagi, apa dia boleh buat? Banyak orang yang cakap macam itu," katanya lagi.

Bagaimanapun tetap ada yang merasakan PH mampu mengekalkan kemenangan di sebalik kritikan pembangkang terutama dalam soal Melayu-Islam dan janji manifesto yang tak ditunaikan sepenuhnya.

Jamal Suboh berkata PH mampu menang jika pengundi mengambil kira kejayaan kerajaan negeri sejak sedekad mentadbir Selangor.

“Kalau BN menang pun, pada saya PH tetap menang - dari segi mereka ibarat singa kekenyangan yang tertidur, apabila dikejutkan, maka dia akan menerkam balik,” katanya.
Jamal
Kekalahan PH di Semenyih hanya akan menjadi pengajaran buat gabungan politik itu untuk membetulkan kesilapan sebelum PRU ke-15, katanya yang sudah sepuluh tahun tinggal di Semenyih walau tidak mengundi di situ.

Zabri Tek pula berkata tidak akan keluar mengundi untuk "pertama kali dalam sejarah" namun menjangka kemenangan akan berpihak kepada PH.

"Umur sudah 64 tahun. Ini sejarah, saya tak pernah tak mengundi, tetapi kali ini malas, sudah bosan," katanya yang menyifatkan BN dan PH sebagai "tidak boleh harap".

Beliau yang bekerja sebagai pemandu teksi kecewa dengan pendirikan kerajaan dalam isu perkhidmatan e-hailing.

“Kita sokong sebab dah janji (nak mansuhkan e-hailing). Dia bukan kurangkan, dia tambah lagi. Dulu kata syarikat Rosmah, sekarang?”

PRK Semenyih dijadualkan berlangsung pada 2 Mac depan, manakala pengundian awal pada 26 Februari.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-