Showing posts with label PRK Semenyih. Show all posts
Showing posts with label PRK Semenyih. Show all posts

Saturday, March 2, 2019

Tak rasmi: BN catat kemenangan kedua

Diterbitkan Hari ini 8:42 malam


PRK SEMENYIH | BN berjaya merampas kerusi DUN Semenyih, menurut kiraan Malaysiakini berdasarkan keputusan tak rasmi.

Kemenangan itu adalah pertukaran kerusi yang pertama selepas pilihan raya umum 9 Mei 2018.

Sebelum ini, kesemua pilihan raya kecil selepas pilihan raya umum ke-14 dimenangi parti penyandang.

Ia juga merupakan kemenangan kedua BN dalam enam PRK yang diadakan selepas PRU ke-14.

Setakat 8.20 malam ini, calon BN Zakaria Hanafi mendapat 18,864 iaitu kira-kira 49.98 peratus daripada keseluruhan undi.

Jumlah itu adalah lebih separuh daripada keseluruhan undi, berdasarkan peratusan keluar mengundi 73.3 peratus.

Calon Pakatan Harapan Muhammad Aiman Zainali mendapat 17,350 undi.

Dengan kemenangan ini, BN kini mempunyai lima kerusi DUN di Selangor manakala kerusi PH pula berkurangan kepada 50.

Gesa pengundi undi PH, dirinya, Aiman Zainali langgar Akta Kesalahan Pilihan Raya, kata Bersih

Nur Hasliza Mohd Salleh
-March 2, 2019 10:28 AM
Calon PH, Muhammad Aiman Zainali menunjukkan jarinya yang bertanda dakwat selepas mengundi dalam PRK Semenyih sebentar tadi.

SEMENYIH: Pemantau pilihan raya, Bersih 2.0 hari ini berkata, calon Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya kecil (PRK) Semenyih, Muhammad Aiman Zainali telah secara lansung melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana menggesa pengundi supaya mengundi dirinya dan kerajaan yang memerintah selepas tamat tempoh berkempen.

Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann ketika dihubungi mengesahkan kata-kata Muhammad Aiman melanggar akta tersebut kerana berkempen selepas tamat tempoh walaupun beliau bercakap kepada pemberita yang juga dianggap sebagai orang ramai.

“Mengikut Sekysen 26(1)(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menyatakan dengan jelas bahawa tiada sesiapa yang dibenarkan berkempen kepada orang ramai pada hari mengundi,” kata Thomas kepada FMT.

Sebelum itu, Aiman ketika bercakap kepada pemberita berkata, pengundi haruslah membuat pilihan bijak dengan memilih dirinya untuk kebaikan rakyat di kawasan itu.

“Dan saya harap pengundi buat pilihan yang bijak, dapat memberi kebaikan kepada rakyat Semenyih dan insha Allah saya harap mereka semua undilah Pakatan Harapan (PH).

“Undilah Aiman Zainali,” katanya selepas membuang undi di Sekolah Menengah Engku Husain, di sini, hari ini.

Seksyen 26(2) menyebut mana-mana orang yang melanggar mana-mana peruntukan subseksyen berkaitan boleh dipenjarakan tidak lebih 1 tahun, denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Muhammad Aiman hadir ke pusat mengundi di sekolah tersebut diiringi isteri, Nurul Filzah Bakthiar.

Dalam perkembangan berkaitan, ahli jawatankuasa pusat PSM, S Arutchelvan, yang juga merupakan pengurus kempen parti itu di Semenyih mendakwa PH dan Barisan Nasional (BN) “secara terang-terangan melanggar” Akta Kesalahan Pilihan Raya dengan berkempen secara terbuka di luar pusat mengundi.

Beliau juga mendakwa PH memberi makanan berdekatan dengan pusat mengundi Sin Ming, sementara penyokong BN berhampiran pusat mengundi SMK Engku Husain meminta orang ramai mengundi calon mereka.

Arutchelvan berkata, beliau bercakap kepada pegawai SPR yang “hanya mengambil gambar tetapi tidak mengambil apa-apa tindakan atau menegur mereka”.

“PSM berpegang pada pilihan raya yang bebas, adil dan bersih. Kami berhenti berkempen pada tengah malam dan mengarahkan ahli serta sukarelawan kami supaya mematuhi undang-undang.

“Malangnya kejadian yang berlaku hari ini sangat mengecewakan. SPR tidak dapat berbuat apa-apa. Ini sangat berlawanan dengan semangat Malaysia Baru,” katanya dalam satu kenyataan.

PRK DUN Semenyih menyaksikan saingan 4 penjuru antara Aiman dengan calon Barisan Nasional (BN) Zakaria Hanafi; Nik Aziz Afiq Abdul (PSM) dan calon bebas, Kuan Chee Heng.

Malam terakhir kempen PH, BN di Semenyih

Diterbitkan 1 Mac 2019, 11:47 malam


PRK SEMENYIH | Pakatan Harapan (PH) dan BN masing-masing bersaing dalam menarik kehadiran penyokong pada ceramah di malam terakhir menjelang pilihan raya kecil Semenyih esok.

Di bandar Semenyih, PH yang terdiri kebanyakannya daripada penceramah DAP berjaya menarik kehadiran kira-kira 2,000 orang.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng antara penceramah utama yang hadir bersama Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan exco Selangor Teng Chang Khim.

Lim dalam ucapannya menggesa orang ramai yang rata-ratanya terdiri daripada kaum Cina agar menyokong calon PH, Muhammad Aiman ​​Zainali bagi menunjukkan mereka menolak politik perkauman dibawa Umno dan PAS.

"Mereka dakwa bukan Islam tidak boleh dilantik sebagai Menteri Kewangan, Peguam Negara atau Ketua Hakim Negara.
"Kita hidup pada abad ke-21, mari kita lupakan warna kulit kita, apa yang penting ialah keupayaan kita," katanya.

Sebahagian besar daripada orang ramai meninggalkan majlis ceramah itu selepas Lim selesai berucap.

Sekitar 600 meter jaraknya dari situ, satu ceramah lain diadakan di sebuah medan selera yang menyaksikan MCA menjadikan lokasi itu sebagai tempat ceramah mereka.

Kehadiran di situ dilihat agak kurang berbanding ceramah DAP.

Beberapa pemimpin yang berucap di pentas MCA ialah naib presiden MCA Ti Lian Ker dan Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong.
Ceramah BN terbesar diadakan di Taman Pelangi, di mana penceramah utama adalah bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas anggota Parlimen Kemaman, Ahmad Shabery Cheek.

Terdapat kira-kira 600 orang menyaksikan ceramah berkenaan.

Najib dalam ucapannya mengambil peluang untuk menyindir populariti Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

"Semalam ada pemimpin tiba di luar Tesco, tapi tak ada orang ambil selfie dgn dia, tak tau kenapa.
"Orang kata 'Bossku' memperhambakan rakyat, dia tak faham, bossku tu erti sahabat, ertinya boss itu rakyat. Saya kata saya tak ada kroni, yang kroni rakyat.

"Orang tuduh saya pencuri, saya pencuri hati rakyat," katanya.

Sementara itu, di Semenyih Indah, PH dan PAS mengadakan ceramah berhampiran antara satu sama lain.

Terdapat sekumpulan kecil penyokong di kedua-dua tempat dan jarak pentas juga tidak jauh, menyaksikan penceramah dari kedua-dua lokasi saling berbalas cakap antara satu sama lain.

Sementara itu Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, Rais Yatim menggunakan skrin LCD besar untuk menyampaikan "kuliah" mengenai salah laku BN, khususnya yang dilakukan oleh Najib.

Monday, February 25, 2019

Bangkit bela nasib, masa depan ummah

ROSLAN SMS
25 FEBRUARY 2019


KERJASAMA PAS dan Umno yang hari ini kita saksikan di PRK Semenyih dan sebelumnya di PRK Cameron Highlands bukanlah sesuatu yang dibuat-buat atau dilakon-lakonkan.

Ia sesuatu yang "real" yang telah berjaya merobohkan tembok permusuhan yang tebal yang telah memisahkan orang-orang Melayu lebih 6 dekad. Sengketa dan perbezaan politik ini telah memisahkan orang-orang Melayu dan kerjasama ini menemukan kembali dua anak kembar yang berpisah sekian lama (meminjam kata-kata Dato; Seri Utama Mohamad Hasan).

Semalam dalam satu majlis ceramah di Taman Tasik Semenyih, Setiausaha Umno Selangor yang juga Ketua Umno Bahagian Hulu Langat Dato’ Johan Abd Aziz dengan jiwa yang besar bersempena kerjasama yang bersejarah ini telah memohon maaf secara terbuka kepada semua ahli dan pimpinan PAS atas segala perselisihan faham dan perbalahan yang tercetus antara kedua parti Melayu Islam terbesar dalam negara selama ini.

Saya yakin tindakan Dato’ Johan ini mencerminkan kesungguhan bukan hanya pada pihak Umno tetapi malah PAS juga untuk melihat kedua-dua parti melupa dan meninggalkan luka-luka lama sebaliknya atas nama kesatuan ummah bersatu dan melangkah gagah bersama demi membela nasib dan masa depan agama, bangsa dan negara.

Mendakapi suasana politik dalam negara yang sungguh panas dan mencabar dewasa ini kedua PAS dan Umno perlu insaf dan serius memacu kerjasama ini.

Allah SWT berfirman maksudnya: "Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Al-'Anfāl: 61)

Nasib dan masa depan politik umat Melayu Islam kini terancam dengan melonjak naiknya PH yang diterajui DAP.

Siapakah yang mampu bangkit membela jika tidak PAS dan Umno? Sedarlah kita bahawa ikhtiar kerjasama antara pimpinan kedua parti ini sesungguhnya digerakkan oleh Allah SWT apabila semua pihak akur bahawa titik penyatuan kita adalah kembali kepada Allah dan Rasul-Nya.

Benarlah Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan (Dia-lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Al-'Anfāl: 63)

Hargai dan tatanglah penuh cermat hubungan keramat ini. Pupuk dan belai ia hingga menjadi kuasa yang bertenaga.

Moga Allah SWT anugerahkan kemenangan kepada kita hasil kesungguhan semua kita. 

– HARAKAHDAILY
   25/2/2019

Sunday, February 24, 2019

PAS, Umno tak lagi tanding 3 penjuru dalam p'raya - Khalil

M Fakhrull Halim 
Diterbitkan Hari ini 9:19 pagi


PRK SEMENYIH | Menurut Ketua Dewan Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi, PAS dan Umno akan membentuk satu jawatankuasa bagi memastikan tiada lagi pertembungan tiga penjuru melibatkan kedua-dua parti itu di masa akan datang.

“Insya-Allah, dalam PRK (Pilhan Raya Kecil) dan sehinggalah PRU (Pilihan Raya Umum) akan datang, tidak akan berlaku lagi tiga penjuru, yang akan berlaku hanya dua penjuru. Inilah kekuatan yang sangat ditakuti oleh PH.

“Jika berlaku dua penjuru, bukan saja negeri Selangor akan beralih kuasa daripada PH kepada muafakat pembangkang ini, bahkan juga negeri-negeri lain termasuklah juga kerajaan persekutuan insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Ceramah Perdana Pentas Anak Muda di padang sepak takraw pusat daerah mengundi (PDM) Kantan Permai, di Semenyih semalam.

Ketika disoal berhubung hal tersebut, Khalil menjelaskan, persetujuan bersama itu telah dibuat sejak PRK yang pertama di Sungai Kandis lagi dan akan turut melibatkan PRU-15 yang dijadual berlangsung beberapa tahun akan datang.

“Ya, insya-Allah dua penjuru (pada PRU-15),” kata anak Presiden PAS Abdul Hadi Awang itu kepada pemberita selepas majlis selesai.

Sembilan orang wakil parti dalam jawatankuasa

Pengumuman itu dilakukan ketika spekulasi berkenaan kerjasama PAS-Umno masih belum surut ekoran pendedahan Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa PAS tidak akan menyokong Umno pada PRK Semenyih. Dakwaan itu dinafikan oleh PAS dan Umno.

Perkara tersebut turut disokong oleh Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika berucap dalam majlis sama.

Katanya, dalam satu pertemuan yang diadakan minggu lepas, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, meminta Umno mempercepatkan usaha memilih ahli jawatankuasa yang akan dibentuk.

“PAS sudah ada sembilan orang yang akan diketuai oleh timbalan presidennya sendiri, dan dia minta Umno pun ada juga sembilan orang.

“Selepas sahaja daripada PRK Semenyih, kita akan duduk bersama, bentuk jawatankuasa bersama dan kita akan pastikan menuju PRU-15, kita akan bersatu atas satu blok yang kuat untuk menumbangkan PH.

“Takkan ada pertembungan tiga penjuru yang tidak menguntungkan Islam,” jelas Asyraf.

Selain Khalil dan Asyaf, Ceramah Perdana tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pemuda Parti Ikatan, Shahir Adnan; Ketua Pemuda Parti Berjasa, Iqbal Hakim Abdul Razak serta Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia Shahril Sufian Hamdan.

Dalam perkembangan lain, apabila disoal pemberita tentang adakah ayahnya akan turun bagi membantu kempen PRK Semenyih, Khalil meminta pemberita merujuk setiausaha politik Abdul Hadi sendiri.

“Itu kena tanya setiausaha politik dia,” jawabnya ringkas.

Friday, February 22, 2019

Bekas Adun Umno kempen untuk PH di Semenyih

Wong Ka Hui
Diterbitkan 21 Feb 2019, 9:18 malam


PRK SEMENYIH | Adun Guar Chempedak Ku Abd Rahman Ku Ismail menjadi individu pertama dari kalangan bekas wakil rakyat Umno yang muncul untuk menyokong Pakatan Harapan (PH) pada kempen pilihan raya kecil Semenyih hari ini.

Bercakap kepada pengundi semasa program ramah mesra di Ladang Rinching, Ku Abd Rahman menggesa para pengundi mengekalkan "apa yang ada pada hari ini."

"Saya (akan kempen di sini) on and off. Saya akan balik hari ini dan datang lagi.

"Belum jumpa lagi (pemimpin dari Umno) tapi kalau jumpa pun tak jadi masalah, kita kawan. Kita ada pendirian masing-masing, kita hormat menghormati. Ini demokrasi," katanya. .

Ku Abd Rahman berkata beliau masih memikirkan pendekatan yang akan diambil untuk memujuk pengundi agar menyokong PH pada pilihan raya kecil yang akan berlangsung pada 2 Mac ini.

"Saya cuma melakukan tugas saya untuk menyatakan kebenaran. Saya percaya untuk beritahu yang benar, bukan sebaliknya. Saya tak percaya pembohongan," katanya.

Dalam ucapannya, beliau menggesa pengundi Semenyih mengekalkan status quo dengan mengundi PH.

"Kekalkan apa yang tuan-tuan, puan-puan ada hari ini, jangan ubah. Benda yang tak baik kita ubah, kerajaan yang sudah baik kenapa kita nak ubah?"

"Kita perlu pertahankan apa yang ada, dan terus memberikan sokongan kepada calon PH supaya PH terus memerintah negeri Selangor," katanya.

Ku Abd Rahman keluar Umno untuk menjadi wakil rakyat bebas pada Nov tahun lepas dan menyertai Bersatu pada bulan berikutnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir, yang turut hadir pada majlis itu, berkata lebih ramai bekas wakil rakyat Umno yang menyertai Bersatu akan turun berkempen di Semenyih.

"Saya fikir sebahagian daripada mereka akan sertai (kempen). Sebenarnya, semua mereka secara sukarela. Kami cuba susun, mereka mungkin membantu di kawasan yang mempunyai penyokong kuat Umno.

"Mereka sendiri boleh menjelaskan mengapa mereka meninggalkan Umno dan mungkin penyokong Umno akan faham," katanya.

Wednesday, February 20, 2019

Pengundi boleh pakai baju 'Bossku' di hari mengundi

Diterbitkan Hari ini 8:34 malam


PRK SEMENYIH | Pengundi - terutama penyokong Najib Razak - boleh membuang undi mereka pada 2 Mac ini dengan memakai baju 'Bossku' yang sinonim dengan bekas perdana menteri itu, jika mereka mahu berbuat demikian.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun hari ini menjelaskan kriteria yang boleh menyebabkan pengundi dilarang memasuki pusat mengundi.

"Bagi mana-mana pilihan raya, memakai baju atau membawa masuk apa-apa bahan yang tertera tagline, slogan, motto atau apa-apa perkataan oleh pengundi adalah dibenarkan untuk memasuki pusat mengundi pada hari mengundi.

"Namun ia tidak boleh berbaur hasutan, cercaan, provokasi atau menyentuh sensitiviti kaum yang boleh menggugat keharmonian serta mengganggu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi.

"Mana-mana pengundi yang gagal mematuhi arahan itu tidak akan dibenarkan masuk ke dalam pusat mengundi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Penjelasan itu susulan pertanyaan Najib di Facebook hari ini, sama ada mereka yang memakai baju 'Bossku' akan berdepan kesukaran ketika hari mengundi nanti.

"Saya tidak pasti kerana SPR kini selalu berubah-ubah. Oleh itu, saya harap SPR boleh memberi jawapan terlebih dahulu.

"Jangan nanti ada yang dilarang masuk pada hari itu," katanya.

Walaupun kenyataan Azhar tidak merujuk tagline itu secara khusus, beliau kemudian menjelaskan kepada Malaysiakini bahawa mereka yang memakai baju yang memaparkan perkataan itu, serta gambar Najib, tidak akan dihalang untuk mengundi.

Tuesday, February 19, 2019

Janji diberi wang, penantian orang kampung di Semenyih sia-sia

Kow Gah Chie
Diterbitkan Hari ini 8:32 malam


PRK SEMENYIH | Ratusan penduduk berkumpul di kawasan berdekatan pasar di sebuah kampung kerana diberitahu ada pihak akan menghulurkan bantuan tunai.

Penduduk di Kampung Bahru Semenyih dijanjikan akan diberi wang tunai RM100 oleh pihak yang tidak dikenali semalam.

Khabar itu tersebar dan semalam ratusan penduduk kampung berkumpul di kawasan gerai makan bersebelahan pasar di penempatan masyarakat Cina itu sebagaimana yang diberitahu kepada mereka.

Apabila ditemui hari ini, Chin, pesara berusia 80 tahun berkata penduduk kampung menyerahkan salinan fotostat kad pengenalan MyKad untuk pendaftaran bagi mendapatkan wang tersebut.

"Mereka mula berkumpul sekitar jam 11 pagi, malah ada yang menunggu sejak 7.30 pagi semalam," katanya.

Dia menjelaskan semua orang tanpa mengira usianya diberitahu layak mendapat wang tunai berkenaan.

Sementara itu seorang lagi penduduk kampung yang enggan dinamakan berkata ada juga yang membawa sama anak kecil dan menunggu dengan sabar.

PH tak beri wang tunai

Ketua Kampung Bahru Semenyih, Gan Boon Chong, yang menemani calon Pakatan Harapan Muhammad Aiman Zainali untuk berkempen di kawasan gerai makan dan pasar berdekatan dilabel orang kampung sebagai 'pembohong'.

"Saya dipanggil pembohong pagi ini dan saya tidak mengerti kenapa. Seorang penduduk memberitahu seseorang telah menggunakan nama saya untuk memberikan wang tunai dan sebanyak 500 salinan fotostat MyKad telah dikumpulkan," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Gan berkata apa yang terjadi merupakan suatu penipuan bertujuan untuk merosakkan sokongan penduduk kampung kepada PH pada pilihan raya kali ini.

"Saya ingin katakan kerajaan Pakatan Harapan tidak akan memberikan wang (semasa kempen pilihan raya).

"Ini suatu penipuan. Ada pihak yang buat kacau supaya penduduk tidak akan menyokong PH pada PRK Semenyih," jelasnya.

Menurut Gan pihaknya akan membuat laporan polis esok.

Kampung Bahru Semenyih merupakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) dengan pengundi Cina yang paling ramai sebanyak 83 peratus, manakala pengundi Melayu 10 peratus dan pengundi India tujuh peratus daripada 3,211 orang yang mendaftar sebagai pemilih.

Pada PRU14, dianggarkan kira-kira 83 peratus pengundi Cina di Semenyih telah mengundi calon PH.

PRK Semenyih dijadualkan berlangsung pada 2 Mac depan, manakala pengundian awal pada 26 Februari.

Pilihan raya kecil kali ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Bersatu, BN, PSM dan calon bebas Kuan Chee Heng.

PRK Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya, allahyarham Bakhtiar Mohd Nor daripada Bersatu yang mewakili PH pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

[Baca berita penuh]

Monday, February 18, 2019

PH berdepan tugas sukar pujuk pengundi

M Fakhrull Halim 
Diterbitkan Hari ini 10:32 pagi

PRK SEMENYIH | Pada PRU ke-14, Pakatan Harapan (PH) berjaya merampas kerusi DUN Semenyih - kawasan tradisi Umno - apabila menang di 13 daripada 23 pusat daerah mengundi (PDM).

Ketika itu, berlaku pertembungan empat penjuru antara PH, Umno, PAS dan PSM. Calon PH Bakhtiar Mohd Nor menang dengan meraih 23, 428 undi (48.35 peratus), manakala calon BN Johan Abdul Aziz mendapat 14,464 undi (30.22 peratus), calon PAS Mad Shahmidur Mat Kosim (6,966 undi, 16.84 peratus) dan calon PSM S Arutchelvan (1,293 undi, 3.54 peratus).

Bagaimanapun dengan mengambil kira kerjasama Umno dan PAS dalam PRK kali ini, beberapa PDM yang dikuasai PH pada PRU lalu akan menjadi kawasan '50-50' dan malah mungkin dimenangi BN.

Malaysiakini melakukan tinjauan di Bandar Tasik Kesuma - PDM keempat dari segi jumlah pengundi terbesar pada PRU lalu - untuk melihat sejauh mana perubahan sokongan politik pengundi di sana.

Dan sejumlah pengundi yang ditemui menunjukkan sentimen yang tidak berpihak kepada PH.

Bagi Ismail Yusof, 71, sokongannya untuk PRK kali ini berdasarkan calon yang dilihatnya mampu memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam.
I
Ismail
"(Sokongan) boleh jadi untuk parti atau individu. Jika parti itu menjurus kepada kebaikan Melayu dan Islam tetapi calonnya tak menghayati (hal itu), tiada makna juga," katanya yang meramalkan kemenangan BN di DUN itu.

Penyokong PAS, Nazri Mohd Fadzil, juga menjangkakan perkara sama atas dasar DUN Semenyih sememangnya kubu BN sebelum ini.

"PAS pun baru PRU lepas bertanding di sini," katanya.
Nazri
PDM Bandar Tasek Kesuma menempatkan 4,492 daripada 54,503 pengundi berdaftar di Semenyih. Ia merupakan kawasan majoriti Melayu dengan 3,295 pengundi (76.7 peratus), 755 pengundi India (17.57 peratus) dan 217 pengundi Cina (5.05 peratus).

Pada PRU lalu, PH menang di situ dengan mengumpul 1,763 undi (48.35 peratus), tidak jauh berbeza dengan BN (1,102 undi, 30.22 peratus). PAS pula meraih 614 undi (16.84 peratus).

Dengan andaian pengundi PAS akan menyokong calon BN kali ini, PH hanya memiliki kelebihan 47 undi saja.

Bagi Juria Sharudin yang mengaku sebagai penyokong kuat BN, tiada apa yang akan mengubah sokongannya terhadap mereka.

"Cakaplah apa yang anda mahu, saya untuk BN. Saya Umno, kerana ia untuk orang Melayu, agama dan perlembagaan," katanya.
Juria
Dia disokong beberapa lagi wanita yang bersama-samanya ketika ditemui di sebuah kedai di Jalan Kesuma di situ.

Tak ada masjid

Peniaga Jamilah Ahmad Shukeri berkata PH berisiko kehilangan kerusi DUN itu kerana kegagalannya dalam menunaikan beberapa janji manifesto PRU ke-14.

“Harga barang pun naik, saya yang berniaga lagilah terasa. Saya buat kuih, tapi tepung yang disubsidi dinikmati orang luar.

“Barang pun susah nak dapat. Misalnya warga Bangladesh dapat berkotak-kotak (kerana) mereka mengejar lori (yang membawa tepung), kita ini menunggu saja," kata wanita berusia 50 tahun itu.
Jamilah
Selain isu nasional, beberapa responden yang ditemui membangkitkan isu pembinaan masjid yang menurut mereka belum direalisasikan sejak 13 tahun lalu.

"Di sini mana ada masjid, pakai surau untuk sembahyang Jumaat. Ini kawasan majoriti Melayu, takkan tak boleh bina sebuah masjid?" soal Shafie Omar yang merasakan calon PH Muhammad Aiman Zinali yang berusia 30 tahun sebagai terlalu muda.

"Muda sangat lagi, apa dia boleh buat? Banyak orang yang cakap macam itu," katanya lagi.

Bagaimanapun tetap ada yang merasakan PH mampu mengekalkan kemenangan di sebalik kritikan pembangkang terutama dalam soal Melayu-Islam dan janji manifesto yang tak ditunaikan sepenuhnya.

Jamal Suboh berkata PH mampu menang jika pengundi mengambil kira kejayaan kerajaan negeri sejak sedekad mentadbir Selangor.

“Kalau BN menang pun, pada saya PH tetap menang - dari segi mereka ibarat singa kekenyangan yang tertidur, apabila dikejutkan, maka dia akan menerkam balik,” katanya.
Jamal
Kekalahan PH di Semenyih hanya akan menjadi pengajaran buat gabungan politik itu untuk membetulkan kesilapan sebelum PRU ke-15, katanya yang sudah sepuluh tahun tinggal di Semenyih walau tidak mengundi di situ.

Zabri Tek pula berkata tidak akan keluar mengundi untuk "pertama kali dalam sejarah" namun menjangka kemenangan akan berpihak kepada PH.

"Umur sudah 64 tahun. Ini sejarah, saya tak pernah tak mengundi, tetapi kali ini malas, sudah bosan," katanya yang menyifatkan BN dan PH sebagai "tidak boleh harap".

Beliau yang bekerja sebagai pemandu teksi kecewa dengan pendirikan kerajaan dalam isu perkhidmatan e-hailing.

“Kita sokong sebab dah janji (nak mansuhkan e-hailing). Dia bukan kurangkan, dia tambah lagi. Dulu kata syarikat Rosmah, sekarang?”

PRK Semenyih dijadualkan berlangsung pada 2 Mac depan, manakala pengundian awal pada 26 Februari.

Sunday, February 17, 2019

Sah, komitmen PAS untuk BN di Semenyih kini berbeza

Diterbitkan Hari ini 5:33 petang


PRK SEMENYIH | Teka-teki mengenai status PAS dalam PRK Semenyih kali ini akhirnya terjawab walaupun ia masih boleh dianggap tidak begitu jelas.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata untuk PRK yang sedang dalam proses rancak berkempen sekarang parti itu lagi tidak memberikan tahap pembabitan seperti di Cameron Higlands.

Kata Takiyuddin pendirian itu selaras dengan sikap PAS yang meletakkan kepentingan Islam dan Melayu mengatasi hal-hal lain, serta hubungan mereka dengan Umno dibuat atas dasar perpaduan ummah dan solidariti pembangkang.

"PAS menyatakan pendirian tidak bertanding dalam PRK Semenyih dan memberi laluan kepada wakil pembangkang, iaitu BN, dengan tahap komitmen serta kadar penglibatan yang berbeza keadaannya pada PRK Cameron Highlands," katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Merujuk kepada kenyataan perdana menteri bahawa Takiyuddin menandatangani surat perakuan, anggota parlimen Kota Bharu itu tidak menafikan hal berkenaan.

Bagaimanapun katanya Takiyuddin, perakuan bertulis tersebut berbentuk contoh saja.

"Perakuan bertulis yang berbentuk contoh (sample) diberikan sebagai komitmen sokongan PAS terhadap kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad di atas dasar menjaga kepentingan agama, negara dan bangsa sehingga PRU ke-15," katanya.

Semalam Mahathir memberikan sedikit maklumat mengenai pertemuan kali kedua beliau dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang di Kuala Lumpur.
Pertemuan tersebut berlangsung di pejabat Mahathir di Yayasan Al-Bukhari dan atas permintaan Abdul Hadi.

Kata Mahathir PAS menyatakan perakuan untuk tidak memberikan sokongan kepada Umno dan BN dalam PRK Semenyih yang akan berlangsung pada 2 Mac ini.

Baca Mustahil PAS tak sokong Umno, kata naib presiden

Kenyataan itu dibuat perdana menteri pada hari yang sama ramai pemimpin PAS hadir memberi sokongan kepada BN di pusat penamaan calon PRK Semenyih di Kajang.

Antara pemimpin PAS yang hadir ialah dua naib presidennya, Idris Ahmad dan Iskandar A Samad serta bendahari Razman Zakaria, serta pesuruhjaya parti itu untuk Selangor Sallehen Mukhyi.
Kata Takiyuddin persetujuan turut dicapai untuk PAS menjalin kerjasama yang lebih baik berdasarkan semangat federalisma di antara Putrajaya dan kerajaan Kelantan serta Terengganu.

"Khususnya dalam hal berkaitan pentadbiran, pembangunan dan pemberian royalti," katanya.

Terdahulu, PAS mengadakan mesyuarat khas di Masjid Rusila, Marang, dipercayai berhubung pendedahan yang dibuat Mahathir itu.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Abdul Hadi dan melibatkan kehadiran hampir kesemua pemimpin kanan parti itu.

Antara pemimpin petang ini ialah Idris serta seorang lagi naib presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah, Ketua Dewan Ulamak, Dr Mahfodz Mohamed, Bendahari Dewan Ulamak PAS, Dr Khairuddin Aman Razali serta Takiyuddin sendiri.

Tidak ketinggalan Ketua Penerangan Nasrudin Hassan, Ketua Pemuda, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Ketua Dewan Muslimat, Nuridah Mohd Salleh.

Pas tak sokong BN di Semenyih: Siapa berbohong, Tun M, Hadi atau TITM?

Oleh MAHFUZ OMAR


ULASAN: Pengerusi Pakatan Harapan, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kenyataannya hari ini mendakwa Presiden Parti Islam Se-Malaysia (Pas), Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang ketika mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri itu telah menyatakan bahawa Pas tidak akan menyokong Umno pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih. Sekiranya benar kenyataan Tun M itu, ia adalah sesuatu yang sangat mengejutkan.

Perakuan tersebut dikatakan dibuat di hadapan Tun M sehari sebelum penamaan calon PRK Semenyih, ia menimbulkan persoalan apakah perakuan Abdul Hadi itu benar atau bohong?. Ini berdasarkan kepada isu pengakuan Pas terima duit Umno di dalam audio ucapan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh yang mana Pas telah mengesahkan kesahihan audio tersebut biarpun Nik Abduh menafikan sekeras-kerasnya sebelum ini. Nik Abduh mengatakan Presiden Pas telah merestui tindakannya berbohong kerana katanya tak salah berbohong kerana menjaga kepentingan Pas.

Timbul persoalan, apa muslihat Presiden Pas membuat perakuan tersebut di hadapan Tun M sedangkan Pas sudah menyatakan dari awal lagi akan menyokong Umno-BN untuk menguatkan pembangkang. Pesuruhjaya Pas Selangor dari awal lagi menyatakan Pas akan memastikan lebih enam ribu undi yang diperolehi Pas pada PRU14 yang lalu akan diberikan (lelongan undi) kepada Umno-BN pada PRK kali ini. Adakah ini sekali lagi kaedah pembohongan syarie dibuat oleh Pas demi kepentingan tertentu?

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahin Tuan Man juga dalam kenyataannya tiga hari yang lalu di Kota Bharu ketika sidang media selepas program Forum Murabbi Ummah menyatakan Pas akan mengerahkan seluruh jenteranya untuk membantu kemenangan calon BN di PRK Semenyih. Pada hari penamaan calon pula, Naib Presiden Pas bersama pimpinan yang lain telah mengetuai jentera Pas bersama-sama pimpinan Umno-BN mengiringi calon BN.

Persoalannya, mana satu yang benar dan mana satu yang bohong?. Apakah perakuan Abdul Hadi pada Tun M semalam dibantah oleh pimpinan Pas dan menjadikan perakuan Abdul Hadi satu pembohongan kepada Tun M. Atau Pas sedang berbohong pada Umno/BN menjadikan Umno-Bn sebagai mangsa kedua pembohongan selepas ahli dan pengundi Pas menjadi mangsa pertama.

Jadi, siapa yang sebenarnya berbohong? Tak mungkin Tun M yang berbohong. Sedangkan Presiden Pas dalam kenyataannya ketika media semasa Majlis Sambutan Tahun Baru Cina di Terengganu menyatakan yang beliau mahu melihat Melayu lebih kuat dalam kerajaan. Kalau mahu kedudukan orang Melayu kuat dalam kerajaan, sudah tentu tidak boleh bantu Umno-BN di Semenyih dan perlu menangkan calon Pakatan Harapan. Jadi, ada kebenaran kenyataan Tun M yang Presiden Pas menyatakan Pas tak akan sokong dan bantu Umno-BN di Semenyih.

Tindakan dan pendirian pimpinan Pas ketika ini seolah-olah flip-flop dan tidak konsisten, sesama mereka tidak menzahirkan pendirian yang sama. Tindak tanduk Pas ini telah menimbulkan persoalan siapa sebenarnya yang berbohong dalam kalangan pimpinan Pas. Adakah pimpinan Pas sedang pakat-pakat berbohong secara berjemaah. Sungguh kasihan kepada ahli Pas yang sangat terkeliru dengan tindak tanduk pimpinannya.

* Mahfuz Omar merupakan Naib Presiden AMANAH

Berita penuh https://malaysiadateline.com/pas-tak-sokong-bn-di-semenyih-siapa-berbohong-tun-m-hadi-atau-titm/

SPR arah ceramah PH dihenti kerana tiada permit

Diterbitkan Hari ini 8:56 pagi 


PRK SEMENYIH | Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengarahkan penganjur program Pakatan Harapan (PH) yang pertama sempena pilihan raya kecil (PRK) Semenyih dihentikan kerana tiada permit, semalam.

SPR berbuat demikian ketika pegawai suruhanjaya itu mengadakan kunjungan mengejut pada ceramah yang digelar ‘Pentas Anak Muda Harapan’ yang diadakan di Tapak Pasar Malam Taman Jenaris, lapor Malaysia Gazette.

Calon PH bagi PRK itu, Muhammad Aiman Zainali dijadualkan sebagai penceramah terakhir bagi program berkenaan, namun dikatakan tidak hadir kerana menghadiri majlis perkahwinan di kawasan terdekat.

Pengelola program, Ammar Fauzi yang juga merupakan presiden NGO Effort Malaysia, dipetik berkata pihaknya akur dan sedar ketiadaan permit bagi program berkenaan.

“Kita dah mulakan program, dah buat juga, saya pun cuma pengelola saja, mungkin saya banyak undang-undang baru, saya pun orang tempatan dan bila SPR kata tak boleh, tak bolehlah.

“Kita ikut undang-undang, cuma kelemahan saya, bukan Pakatan Harapan, saya yang anjur ni tak pandai dengan permit.

“SPR bagi penerangan cukup baik, dia cakap tak apa, kamu buat juga makan-makan ni, ia kekhilafan saya,” katanya dipetik dalam laporan berkenaan.

Sebelum dihentikan, program itu sempat menampilkan Ketua Penerangan Pemuda PKR Pulau Pinang, Fahmi Zainol dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dusun Tua, Edry Faizal menyampaikan ceramah.

Pegawai SPR kemudian tiba di tapak program menaiki van yang bertulis ‘Penguatkuasa Pilihanraya’ dan seterusnya mengarahkan program dihentikan sebaik kedua-dua penceramah itu selesai memberikan ucapan.

Program adalah anjuran Pemuda Pakatan Harapan.

Penganjur dilaporkan turut menawarkan servis motosikal percuma kepada 100 pengunjung terawal.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir yang turut disenaraikan sebagai penceramah dipetik berkata, beliau tidak maklum bahawa program itu tidak mendapat permit.

Ketika ditanya sama ada program servis motosikal percuma itu melanggar undng-undang pilihan raya, Shazni berkata, ia terpulang kepada suruhanjaya itu untuk membuat keputusan.

“Itu kena tanya SPR sebab mereka yang akan tentukan samada ia merupakan satu kesalahan atau tidak,” katanya.

Saturday, February 16, 2019

PAS sedang minta nyawa, kata Pemuda Amanah

Diterbitkan Hari ini 8:51 malam


Pendedahan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa Presiden PAS Abdul Hadi Awang memberi perakuan untuk tidak menyokong Umno dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih merupakan bukti kepincangan politik PAS, kata Pemuda Amanah.

Naib ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin mendakwa PAS sedang 'meminta nyawa' rentetan banyak isu yang ditimbulkan pimpinannya sebelum ini.

"Dengan perkembangan terbaru (pendedahan Mahathir), jelas menunjukkan kepincangan langkah politik PAS.

"Dan kita tidak menolak kemungkinan PAS sedang 'minta nyawa' rentetan banyak isu-isu yang ditimbulkan pimpinannya sebelum ni yang secara keras telah menyentuh hal ehwal keselamatan negara," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, pagi tadi Dr Mahathir mendakwa PAS tidak akan menyokong Umno lagi susulan pertemuannya dengan Abdul Hadi.

"(PAS) tak akan menyokong Umno, tapi ada juga pengakuan secara tertulis dan ditandatangani," katanya.
Perjumpaan bersama Hadi di pejabat Mahathir di Yayasan al-Bukhari, Kuala Lumpur itu turut dihadiri Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Dalam pada itu, PAS masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung pendedahan Mahathir.

Hadi ketika ditemui media di Alor Limbat, Terengganu semalam menyatakan pertemuan tersebut untuk membincangkan hal-hal pentadbiran.

Beliau turut memberitahu bahawa PRK Semenyih berbeza dengan pilihan raya kecil Cameron Highlands kerana faktor parti yang bertanding.

"Cuma lainnya Semenyih ini lain daripada Cameron. Di Cameron PAS lawan DAP.

"Di Semenyih ini, bukan (nak cakap) perkauman, tapi pertembungan antara Melayu dengan Melayu," jelasnya.

Ketika ditanya PAS akan membantu kempen BN di Semenyih, Abdul Hadi menjawab: "Itu akan kita lihat."

Menyentuh kenyataan Hadi, Shazny menegaskan hukum mengundi PAS sentiasa berubah berdasarkan kepentingan politik.

"Dalam hal ini rakyat boleh menilai tentang sikap dan kaedah PAS berpolitik. Hukum mengundi sesebuah parti akan berubah-ubah berdasarkan kepentingan politik mereka," tambahnya lagi.

Kenyataan Dr Mahathir bersifat politik - Nasrudin

Oleh Fitri Nizam
cnews@nstp.com.my

Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan. - Arkib NSTP

CHUKAI:  PAS menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengenai pertemuannya bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, adalah bersifat politik yang memanipulasi pertemuan.

Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan, berkata beliau dimaklumkan bahawa pertemuan antara Presidennya dengan Perdana Menteri hanya membincangkan berkenaan soal pentadbiran negeri, wang royalti minyak dan Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN).

Bagaimanapun, Nasrudin berkata beliau tidak dimaklumkan sebarang maklumat berhubung pendedahan Perdana Menteri itu, malah beliau turut terkejut dengan kenyataan dikeluarkan Perdana Menteri itu.

“Saya ada bertanyakan mengenai perkara ini kepada Presiden sendiri tadi, beliau pun kata tiada apa-apa... pertemuan itu seperti mana diberitahu beliau pada majlis semalam (Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina di Alor Limbat),” katanya ketika ditemui selepas Majlis Ijtimak Siber Malaysia yang turut dihadiri Hadi di sini, hari ini.

Nasrudin berkata, jika dilihat daripada sikap pimpinan parti untuk penamaan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih hari ini, menunjukkan tiada masalah kerana antara yang turun hadir memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) adalah Naib Presidennya, Idris Ahmad; Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan dan Bendahari PAS Pusat, Razman Zakaria.

“Malah, pada penamaan calon tadi pun kita memberi sokongan kepada calon BN sebagai team (pasukan) pembangkang,” katanya.

Beliau berkata, pada pertemuan antara Perdana Menteri dan Presidennya itu turut dihadiri oleh Setiausaha Agung PAS sendiri, namun Takiyuddin turun padang memberi sokong kepada calon BN di Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih hari ini.

“Saya tidak tahu bagaimana beliau (Dr Mahathir) boleh mengeluarkan kenyataan demikian sedangkan pimpinan PAS tidak ada memaklumkan perkara itu.

“Sama ada saya kena dapatkan penjelasan lanjut atau saya kira kenyataan Perdana Menteri itu hanyalah kenyataan politik bersifat memanipulasi pertemuan Allahu A’lam... tapi saya terkejut dengan kenyataan itu,” katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir mendedahkan bahawa PAS tidak akan menyokong UMNO dalam PRK Semenyih dan mendakwa mempunyai pengakuan secara bertulis dan ditandatangani ketika pertemuannya dengan Abdul Hadi di Yayasan Al-Bukhari semalam.

PM: Hadi janji PAS tak sokong Umno di Semenyih

Annabelle Lee 
Diterbitkan Hari ini 1:30 tengahari


Beberapa jam selepas pemimpin kanan PAS hadir memberi sokongan kepada Umno dan BN di Semenyih, maklumat baru didedahkan Dr Mahathir Mohamad agak mengejutkan.

Menurut perdana menteri, dalam pertemuan beliau dengan Presiden PAS semalam Abdul Hadi Awang memberi perakuan untuk tidak menyokong Umno.

Ditemui di Petaling Jaya hari ini Mahathir mendakwa pada asasnya beliau dan Abdul Hadi berbincang mengenai politik semalam.

Ditanya mengenai butiran lanjut, Mahathir berkata PAS tidak akan menyokong Umno lagi.

"Tak akan menyokong Umno, ada juga pengakuan secara tertulis dan ditandatangani," katanya.

Malaysiakini sedang menghubungi PAS, termasuk Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, dan Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang turut menghadiri pertemuan semalam, bagi mendapatkan pengesahan.

Semalam Abdul Hadi hadir di pejabat Mahathir di Yayasan al-Bukhari di Kuala Lumpur untuk mengadakan kali kedua dengan pengerusi PH itu.

Ia berlaku sehari sebelum penamaan calon bagi PRK Semenyih di Kajang.

Tidak banyak maklumat didedahkan mengenai pertemuan tersebut. Namun ketika ditemui media di Alor Limbat, Terengganu malam tadi Abdul Hadi menyatakan pertemuan tersebut untuk membincangkan hal-hal pentadbiran.

"Lebih bincang penyelarasan antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

"Isu Majlis Tindakan Ekonomi Negara, projek-projek ada di bawah kerajaan pusat dan kerajaan negeri supaya tiada percanggahan," katanya.

Abdul Hadi juga mengesahkan kerajaan persekutuan sudah membayar royalti minyak kepada kerajaan Terengganu.

Pertemuan semalam diadakan ekoran permohonan daripada Abdul Hadi.

[Berita lanjut menyusul]

Thursday, February 7, 2019

Sentimen Melayu untuk raih undi di Semenyih - Penganalisis

M Fakhrull Halim
Diterbitkan Hari ini 8:00 pagi


PRK Semenyih | Mahu tidak mahu Pakatan Harapan (PH) perlu mengikut rentak pembangkang dengan memainkan sentimen Melayu-Islam bagi meraih undi pada pilihan raya kecil Semenyih, kata seorang penganalisis politik.

Menurut pensyarah kanan program sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor, PRK Semenyih bakal menjadi medan pertempuran bagi meraih undi orang Melayu.

“Kalau cerita perkara yang tak melibatkan kepentingan Melayu (ketika kempen), ia kurang menarik perhatian dan kurang popular.

“Katalah jika kawasan itu kawasan pengundian bercampur, 50-50 antara Melayu dan bukan Melayu, mereka (pembangkang) akan kurang cenderung pergi ke (mengambil pendekatan) ‘kanan’.

“Tapi kali ini, hampir 70 peratus pengundi Melayu. Saya ingat, nak tak nak, pihak kerajaan yang akan diwakili Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) pun terpaksa mainkan sentimen Melayu,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Selepas kekalahan BN pada PRU-14, 9 Mei tahun lalu, Umno dilihat semakin akrab menjalin kerjasama dengan PAS dan sentiasa membangkitkan isu kedudukan orang Melayu dan agama Islam dalam kempen mereka.

Terbaru, pada PRK Cameron Highlands lalu, kerjasama itu berjaya membawa kemenangan kepada calon BN, Ramli Mohd Nor yang menewaskan calon PH, M Manogaran.
Tambah Dr Nadzri, biarpun golongan muda dan ‘rasional’ merupakan peratus agak besar dalam komposisi pengundi Melayu di Semenyih, mereka masih menganggap isu Melayu dan Islam sebagai hal penting buat mereka.

BN-PAS ada kelebihan

Memandangkan peratus pengundi Melayu di Semenyih mencecah 68 peratus manakala pengundi bukan Melayu hanya 32 peratus, Dr Nadzri menjangkakan isu Melayu-Islam di Semenyih akan lebih hebat dimainkan berbanding PRK Cameron Highlands 26 Jan lalu.

Mengakui pendekatan BN-PAS dalam isu Melayu dan Islam ‘terlalu kanan’ dan ‘kurang cocok’ dengan keadaan Malaysia yang pelbagai agama dan kaum, untuk PRK kali ini, kerjasama tersebut dilihat mempunyai kelebihan.
“Undi bukan Melayu memang signifikan, tetapi BN-PAS tak boleh buat apa-apa kerana itu macam dah jadi ‘cash deposit’ untuk PH.

“Tapi kelebihan pada BN-PAS kali ini, yang menentukan keputusan adalah undi orang Melayu,” katanya lagi.

Justeru, beliau menjangkakan isu-isu Melayu dan agama Islam akan dimainkan bagi menguja emosi dan menarik ramai pengundi untuk turun pada PRK itu nanti.

10 peratus jadi penentu

Daripada 12 peratus yang tidak keluar mengundi pada PRU-14 lalu, beliau menganggarkan sepuluh peratus daripadanya adalah orang Melayu yang mampu menjadi faktor penentu dalam PRK Semenyih nanti.

“Lebih kurang dalam sepuluh peratus daripada lebih 50,000, maknanya 5,000 lebih (undi). Kalau mereka boleh pengaruh Melayu untuk turun, atas nama agama, bangsa dan tanah air, (ia) kelebihan pada BN-PAS.

“Bak kata orang, Semenyih ni sepuntung rokok saja nak sampai (dekat),” tambah Dr Nadzri.

Sementara itu, beliau turut menggariskan cabaran yang didepani PH bagi PRK Semenyih, termasuk menjawab mengenai manifesto yang belum berjaya ditunaikan.

Ini termasuk serangan di media sosial terhadap beberapa pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.

Malah, Bersatu sendiri berdepan cabaran mempamerkan diri sebagai parti Melayu baru untuk menggantikan Umno dengan ideologi dan polisi yang berbeza daripada ‘Melayu lama’.

“Melayu yang lebih moden, lebih terkehadapan, dan kurang bergantung. Tapi, semuanya masih tidak jelas.

“Mereka masih tercari-cari karakter ‘Melayu baru’ yang mereka cuba lemparkan kepada rakyat,” tambahnya lagi.

Selain BN dan PH, Parti Sosialis Malaysia turut mengesahkan akan meletakkan calon di PRK Semenyih, manakala aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng pula menyatakan hasrat untuk bertanding sebagai calon bebas.

Monday, February 4, 2019

Sepanduk, risalah pertikai pemilihan calon Bersatu di Semenyih beredar

Faisal Asyraf 
Diterbitkan Hari ini 2:58 tengahari 


PRK SEMENYIH | Menjelang pilihan raya kecil (PRK) Semenyih 2 Mac ini, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat berselisih pandangan berhubung calon yang akan dipertandingkan.

Perselisihan itu membawa kepada tindakan menaikkan beberapa sepanduk di pinggir jalan di Semenyih selain pengedaran risalah untuk menyatakan rasa tidak senang dengan beberapa individu yang dipercayai akan dicalonkan menjadi calon bagi PRK berkenaan.

Salah satu sepanduk memaparkan gambar individu yang didakwa berkemungkinan menjadi calon, dengan gambar itu dipangkah dan disertakan ayat "kami tak sokong calon ini".

Sepanduk lain yang turut memaparkan individu sama disertakan dengan ayat "N24 tolak calon luar".

Sepanduk itu dilihat dipasang berhampiran sebuah simpang jalan di Semenyih.

Malaysiakini juga melihat risalah yang memaparkan beberapa gambar individu yang didakwa berkemungkinan dicalonkan, yang turut berpangkah.

Setiap satu gambar itu disertakan tajuk seperti "kaki sapu projek", "Zero Politik/Chipsmore", "pernah kena reject ", "ahli majlis korup", dan Legasi Ayahanda Batas.

Difahamkan, risalah berkenaan turut ditampal pada dinding di kawasan awam.
Sumber dalam Bersatu percaya bahawa akar umbi parti di Hulu Langat terpecah kepada beberapa kem dan menyebabkan pergeseran berhubung calon yang akan dipertandingkan dalam PRK Semenyih.

"Dari satu sisi, Bersatu di sini seperti PKR yang mempunyai beberapa kem. Pada masa yang sama, terdapat pihak yang menyokong individu luar untuk bertanding, namun ahli tempatan menyokong individu dari Semenyih atau Hulu Langat," kata sumber.

Semenyih merupakan dewan undangan negeri (DUN) yang terletak di bawah parlimen Hulu Langat.

Sumber berkata, sepanduk dan risalah berkenaan kemungkinan dipasang dan diedarkan oleh kem di Hulu Langat yang tidak berpuas hati apabila nama pemimpin mereka tidak dicadangkan kepada kepimpinan untuk dicalonkan.

"Tindakan menunjukkan rasa tidak puas hati secara umum seperti itu tidak baik untuk imej parti kerana ia menunjukkan perpecahan. Kita juga bimbang kem tertentu tidak akan memberi sokongan penuh kepada calon yang akan bertanding pada PRK nanti," katanya.

Malaysiakini sudah menghubungi pemangku Ketua Bersatu Hulu Langat, Rais Zulkifli untuk mendapatkan respons.

Kerusi Semenyih kosong selepas penyandangnya Mohd Bakhtiar Mohd Nor meninggal dunia bulan lalu.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebelum ini memaklumkan bahawa parti mereka akan meletakkan calon muda yang berpendidikan tinggi dan diterima oleh orang ramai bagi PRK itu.

Penamaan calon akan diadakan pada 16 Feb.

Media sebelum ini melaporkan lapan nama sudah dicadangkan termasuk dua daripada Wanita Bersatu, seperti yang diumumkan Ketua Wanita Bersatu, Rina Harun semalam.

[Baca berita asal]

Tuesday, January 29, 2019

Calon BERSATU tanding PRK Semenyih - Amirudin

BERITA»Politik
Selasa, 29 Januari 2019 | 6:34pm
Oleh Dawn Chan
cnews@nstp.com.my
PENGERUSI PH Selangor, Amirudin Shari hadir pada perhimpunan bulanan kerajaan negeri di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Shah Alam, hari ini. 
- Foto Faiz Anuar

SHAH ALAM:  Pakatan Harapan (PH) Selangor tetap dengan pendiriannya bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih pada 2 Mac ini, walaupun ada gesaan supaya PKR meletakkan calon parti itu.

Pengerusi PH Selangor, Amirudin Shari, berkata mereka tetap dengan keputusan yang dibuat pada peringkat negeri minggu lalu bahawa BERSATU patut meletakkan calon, kerana ia sebagai penyandang kerusi.

“Keputusan kami ‘status quo’ walaupun ada gesaan daripada akar umbi supaya PKR bertanding di kerusi itu. Cadangan seperti ini memang biasa tetapi ketika ini bukan masanya untuk bercakap mengenai parti mana yang patut bertanding tetapi kita perlu mula bekerja untuk memastikan kejayaan PH di Semenyih.

“Saya serahkan kepada kepemimpinan tertinggi untuk membuat keputusan kerana ini membabitkan Majlis Presiden PH. Kami bersedia jika berlaku sebarang perubahan pada dasar di peringkat nasional membabitkan parti mana yang patut bertanding dan perkara lain.

“Dalam mesyuarat itu, kami memberi sokongan penuh kepada BERSATU untuk memastikan PH mengekalkan pencapaian cemerlangnya dalam PRK di Semenyih,” katanya hari ini.

Amirudin, yang juga Menteri Besar Selangor berkata demikian selepas perhimpunan bulanan kerajaan negeri di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan PKR pusat, berkata satu taklimat akan diadakan dengan parti komponen PH untuk menyediakan jentera kempen PRK.

Pada Jumaat lalu, Pengerusi BERSATU Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari, dilaporkan mengesahkan bahawa parti itu akan bertanding di PRK Semenyih dan ia sudah mengenal pasti lima calon berpotensi.

Beliau berkata, nama berkenaan sudah diusulkan kepada ibu pejabat BERSATU dan Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengadakan mesyuarat untuk membuat keputusan mengenai calon.

Kerusi DUN Semenyih kosong selepas kematian wakil rakyatnya Bakhtiar Mohd Nor, 57, akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu di Hospital Kajang.

Bakhtiar mengalahkan wakil rakyat dua penggal di kawasan itu, Datuk Johan Abd Aziz daripada Barisan Nasional dengan 23,428 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14, 9 Mei lalu.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun sebelum ini mengumumkan PRK Semenyih akan diadakan pada 2 Mac ini.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 16 Februari ini, manakala tarikh pengundian awal pada 26 Februari.

Tuesday, January 22, 2019

PAS azam bekalkan Umno dengan 6,966 undi di Semenyih

Anne Muhammad 
Diterbitkan Hari ini 1:12 tengahari


PRK SEMENYIH l  PAS akan membuka bilik gerakan parti itu dalam pilihan raya kecil (PRK) Semenyih dan menggerakkan kerjasama sama dengan Umno berdasarkan arahan kepimpinan pusatnya.

Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi berkata akan berusaha mengekalkan sokongan pada parti itu dalam pilihan raya umum lalu bagi membantu Umno.

“Fokus kita nak dapatkan 6,966 undi yang kita peroleh pada PRU lalu melalui calon kita akan dapat kita dapat kita bekalkan (kepada calon Umno) dan tambah dan cari 20 peratus undi (lain).

“Jentera akan turun seluruhnya.

"Kita bergerak ikut arahan yang dikeluarkan dan memastikan bilik gerakan PAS akan beroperasi PRK ini dan insya-Allah berkeyakinan Umno akan atau calon yang kita persetujui akan menang di DUN Semenyih,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama calon BN dalam pilihan raya umum lalu Johan Abd Aziz yang memilih memberi laluan kepada muka baru, kali ini.

Sidang media itu diadakan di bangunan Umno Selangor di Shah Alam.

Pada pilihan raya umum lalu, kedua-dua calon Umno dan PAS kecundang di tangan calon Bersatu Bakhtiar Mohd Nor yang menang dengan majoriti 8,964 undi.

Umno mendapat 14,464 undi dan calon Parti Sosialis Malaysia S Arutchelvan mendapat 1,293 undi.

PRK Semenyih diadakan ekoran kematian Bakhtiar akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-