Saturday, June 22, 2019

PAS tiada dalam senarai 41 penerima dana 1MDB, pemfitnah perlu mohon maaf

Faiz Zainudin
-June 22, 2019 3:52 PM

Khairil Nizam Khirudin berkata, daripada senarai 41 penerima dana 1MDB yang diumumkan SPRM semalam, tiada satu entiti atau individu berkaitan PAS yang menerima wang daripada Najib Razak.
(Gambar Facebook)

KUANTAN:   Pemuda PAS hari ini menuntut permohonan maaf daripada pemimpin Pakatan Harapan dan pihak yang pernah mendakwa parti itu menerima dana 1MDB.

Ketuanya, Khairil Nizam Khirudin merujuk pengumuman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia semalam mengenai permohonan pelucuthakan sivil ke atas 41 individu dan entiti untuk mendapatkan semula dana 1MDB yang diberikan kepada mereka.

Khairil berkata, senarai 41 penerima dana 1MDB yang diumumkan semalam membuktikan tiada satu entiti atau individu berkaitan PAS yang terbabit menerima wang itu.

“Asasnya ialah dalam senarai 41 itu, tidak ada satu pun nama ataupun individu yang berkait dengan PAS.

“Jadi, kita ucapkan Alhamdulillah kerana Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru, Latheefa Koya telah memberitahu perkara sama seperti sebelum ini oleh Mohd Shukri Abdull bahawa PAS tidak menerima sebarang dana daripada 1MDB.

“Kami memohon mana-mana individu, termasuk menteri sekarang yang sebelum ini memfitnah PAS supaya membuat kenyataan maaf secara terbuka kepada PAS,” katanya pada sidang media sempena Muktamar PAS ke-65 hari ini.

Khairil berkata, bukti individu yang pernah memfitnah PAS menerima dana 1MDB boleh didapati di internet dan laman sosial.

“Buat permohonan maaf secara terbuka, kalau ‘gentleman’ silakan, kalau menghormati rakyat silakan sebab ini perkara yang seringkali dimomokkan terhadap PAS sebelum pilihan raya umum ke-14 yang menyebabkan rata-rata rakyat agak termakan kepada dakwaan dan fitnah sedemikian.”

Semalam, SPRM mengumumkan ia memfailkan permohonan pelucuthakan di bawah Seksyen 56 Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 untuk mendapatkan semula RM270 juta dana 1MDB yang dipindahkan ke akaun Najib Razak dan kemudian kepada 41 individu dan entiti.

Latheefa dilaporkan berkata, penerima terbesar dana 1MDB itu ialah beberapa negeri dan bahagian Umno yang berjumlah RM212 juta.

Sementara itu, Khairil berkata, Pemuda PAS sedia menerima Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dalam parti Islam itu dengan syarat beliau perlu menghormati prinsip Islam yang diperjuangkan mereka.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-