Wednesday, January 29, 2020

Kes Zuraida: Demo tak pengaruhi lembaga disiplin - Anwar

BERITA

Presiden PKR Anwar Ibrahim menegaskan sebarang perhimpunan sama ada menyokong atau membantah pemecatan naib presiden parti itu Zuraida Kamaruddin tidak akan mempengaruhi lembaga disiplin parti itu.

Oleh itu beliau meminta pihak yang berkumpul di hadapan ibu pejabat parti dan di mana saja supaya bersurai.

Jelasnya, lembaga disiplin parti itu diminta memantau tindakan anggota parti itu yang melanggar arahan tersebut.

"Merujuk kepada kumpulan yang hadir dan berkumpul di depan ibu pejabat PKR bagi menyokong atau membantah pemecatan Zuraida Kamaruddin, saya meminta kepada mereka untuk bersurai.

"Tindakan menyokong atau membantah di mana-mana lokasi lain juga sama sekali tidak akan mempengaruhi lembaga disiplin yang harus memutuskan sebarang keputusan secara bebas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pagi ini, meskipun dalam keadaan hujan penyokong dan anggota PKR yang membantah Zuraida berkumpul di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya.

Terdapat juga perhimpunan mengecam menteri perumahan itu di tempat sama.
Demo anti-Zuraida
Semalam, Malaysiakini melaporkan penyokong Zuraida dijangka mengadakan perhimpunan solidariti di 10 lokasi di seluruh negara hari ini ketika beliau hadir ke ibu pejabat parti bagi menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh lembaga disiplin.

Pejabat Zuraida memberitahu media bahawa ahli parlimen Ampang itu akan hadir esok pada jam 12.30 tengah hari untuk menjawab surat tunjuk sebab berkenaan.

Zuraida setakat ini enggan mendedahkan alasan surat tunjuk sebab itu dikeluarkan kepadanya namun memberi gambaran bahawa ia mempunyai kaitan dengan ucapannya yang dibuat semasa perhimpunan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali di Renaissance Hotel bulan lepas.

Pemberitahuan kepada media itu juga termasuk jemputan untuk liputan perhimpunan solidariti di Kelantan, Pahang, Terengganu, Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Melaka, Perak, Johor dan Negeri Sembilan yang akan diadakan serentak pada jam 1 petang.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-