Wednesday, April 15, 2020

Covid-19: 1 kematian, 85 kes baru - terendah sejak sebulan lalu


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan sebanyak 85 kes baru Covid-19 setakat pukul 12 tengah hari tadi, iaitu jumlah kes baru terendah sejak 14 Mac lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini sebanyak 5,072 kes.

Jumlah kes dilaporkan pada 14 Mac adalah 35. Sejak itu, bilangan kes baru setiap hari mencecah 100 dan ke atas.

Noor Hisham turut memaklumkan seorang lagi pesakit Covid-19 meninggal dunia hari ini, menjadikan jumlah kematian menjadi 83 orang.


Pesakit yang meninggal dunia hari ini merupakan lelaki warga Malaysia berusia 69 tahun, dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Beliau dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 21 Mac dan disahkan meninggal dunia pada jam 6.41 pagi hari ini.

Selain itu, sejumlah 169 pesakit Covid-19 telah sembuh dan dibenarkan pulang ke rumah hari ini, menjadikan jumlah kes sembuh kepada 2,647 kes.

Ia menjadikan kadar kes sembuh kepada 52.2 peratus, iaitu pertama kali kadar sembuh melebihi separuh daripada jumlah keseluruhan kes.

Setakat ini, seramai 56 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), kurang empat berbanding semalam.

Daripada jumlah itu, seramai 32 pesakit memerlukan bantuan pernafasan, kurang satu berbanding semalam.

Perlu tingkatkan kepatuhan PKP

Dalam pada itu, Noor Hisham menyambut baik kenyataan Majlis Keselamatan Negara berkenaan tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) pada fasa tiga.

"Berdasarkan pemantauan pihak berwajib dan keadaan trafik kebelakangan ini, didapati masyarakat semakin tidak akur terhadap arahan PKP.

"KKM khuatir ketidakpatuhan ini boleh membatalkan usaha keras semua pihak yang telah diambil setakat ini. Terima kasih kepada semua pihak berwajib dalam membantu menguatkuasakan arahan PKP ini agar tahap keakuran dapat ditingkatkan," katanya.

Menurutnya lagi, kepatuhan masyarakat perlu terus dipertingkatkan memandangkan PKP fasa pertama dan kedua ternyata dapat mengawal penularan wabak Covid-19.

"(Jumlah kes harian) tanpa kenaikan mendadak. Manakala jumlah kes harian yang didiscaj dari wad meningkat saban hari. Ini menunjukkan kemajuan yang

memberangsangkan hasil daripada pelaksanaan PKP, seperti yang dapat dilihat pada tren jumlah kes aktif harian," katanya lagi.

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-