Monday, April 13, 2020

DUN Kelantan bersidang 45 minit

N Faizal Ghazali

Sidang dewan undangan negeri (DUN) Kelantan hanya berlangsung selama 45 minit di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Ia berikutan persidangan itu terpaksa dijalankan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) selepas ditangguh daripada tarikh asal pada 23 hingga 26 Mac lalu.

Persidangan itu bermula pada jam 9 pagi itu tidak dihadiri jemputan luar dan hanya dihadiri kesemua ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), kecuali Adun Air Lanas (Bersatu) Mustapa Mohamed kerana terdapat urusan yang tidak dapat dielak.

Sebelum persidangan bermula, wakil rakyat yang hadir perlu memeriksa suhu badan dan mengenakan pencuci tangan sebelum memasuki dewan.

Persidangan kali ini juga sempat meluluskan dua Rang Undang-Undang (RUU) iaitu Undang-Undang Taman Negara pindaan 1938 dan RUU Kerabat Bergelar dan Datuk Bergelar.

Speaker DUN Kelantan, Abdullah Ya’kub berkata, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V perkenan titah pembukaan persidangan DUN baginda dibacakan oleh Menteri Besar, Ahmad Yakob.

Menurut beliau, soalan yang dikemukakan oleh Adun juga akan dijawab pada sidang akan datang bagi mengelak persidangan berlangsung lebih lama.

"Persidangan DUN Kelantan sepatutnya berlangsung pada 23 hingga 26 Mac. Namun disebabkan wabak Covid-19, kita adakan hari ini.

"Disebabkan dalam tempoh PKP, saya mencadangkan soalan yang dikemukakan dijawab pada persidangan akan datang.

"Persidangan yang sepatutnya berlangsung selama tiga hari juga dipendekkan dan hanya berlangsung selama 45 minit," katanya ketika ditemui di luar dewan.

Abdullah turut menyatakan rasa syukur kerana sidang DUN berjalan lancar walaupun hanya berlangsung 45 minit sahaja.

Katanya, sidang itu terpaksa dilakukan bagi mengelak terdedah kepada komplikasi undang-undang, memandangkan tarikh akhir adalah 16 April.

"Kita buat secara ringkas sahaja hanya dihadiri Adun tanpa jemputan luar termasuk ketua jabatan dengan meluluskan dua RUU.

"Soalan yang dikemukakan dan perbahasan titah Sultan juga akan dibuat pada persidangan akan datang," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-