Tuesday, April 7, 2020

PM Britain dimasukkan ke ICU, simptom Covid-19 bertambah teruk

Reuters
-April 7, 2020 9:55 AM
Boris Johnson dimasukkan ke Hospital St Thomas di tengah London pada lewat malam Ahad lalu selepas mengalami simptom berterusan, termasuk suhu badan tinggi lebih 10 hari.
 (Gambar AP)

LONDON: Simptom Covid-19 yang dialami Perdana Menteri Britain, Boris Johnson bertambah teruk menyebabkan beliau terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi pada Selasa, manakala menteri luarnya memangku jawatannya ketika negara itu berdepan krisis koronavirus.

Johnson, 55, dimasukkan ke Hospital St Thomas di tengah London pada lewat malam Ahad lalu selepas mengalami simptom berterusan, termasuk suhu badan tinggi lebih 10 hari.

Keadaan merosot dengan cepat dalam 24 jam dan beliau dipindahkan ke ICU – di mana kebanyakan kes serius dirawat. Walaupun beliau diberikan oksigen, pejabatnya berkata Johnson masih dalam keadaan sedar.

Downing Street berkata, pemindahan Johnson ke ICU “sebagai langkah berjaga-jaga jika beliau memerlukan ventilator untuk membantu pemulihannya”.

Johnson disahkan positif Covid-19 pada 26 Mac lalu, pemimpin kuasa utama dunia yang pertama dijangkiti virus itu.

Selepas 10 hari menjalani kuarantin di sebuah pangsapuri di Downing Street, beliau terpaksa dimasukkan ke hospital kerana masih mengalami suhu tinggi dan batuk berterusan.

“Tidak syak lagi keadaan ini bermakna Boris Johnson sangat sakit,” kata Derek Hill, seorang profesor pengimejan perubatan di Universiti Kolej London (UCL).

Istana Buckingham berkata, Downing Street sudah memberitahu Ratu Elizabeth mengenai keadaan Johnson dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berkata semua rakyat AS berdoa untuk pemulihannya.

Johnson dan menteri kesihatannya disahkan positif Covid-19 bulan lalu, manakala ketua penasihat perubatannya, Chris Whitty menjalani kuarantin di rumah.

Tunang Johnson berusia 32 tahun yang sedang hamil, Carrie Symonds, turut mengalami simptom, tetapi beliau sudah pulih.

Britain tidak mempunyai rancangan peralihan kuasa rasmi jika perdana menteri tidak mampu menjalankan tanggungjawabnya.

“PM meminta Setiausaha Luar, Dominic Raab untuk mewakilinya di mana perlu,” kata Downing Street.

Beberapa jam sebelum itu, pejabat Johnson berkata, beliau dalam semangat baik dan Raab memberitahu sidang media yang perdana menteri masih mengetuai kerajaan.

Kerajaan terus berfungsi

“Fungsi kerajaan masih diteruskan,” kata Raab, 46, dalam nada sayu kepada wartawan sambil menambah Johnson sedang dirawat pasukan perubatan cemerlang.

“Fokus kerajaan ialah memastikan arahan perdana menteri, semua rancangan untuk kita menewaskan koronavirus serta mengharungi cabaran ini diteruskan.”

Angka kematian rasmi di United Kingdom mencecah 5,373 orang dan menteri kesihatannya pada minggu lalu berkata, ia mengunjurkan kemuncak kematian Covid-19 pada 12 April ketika sambutan Hari Easter.

Negara itu sedang melaksanakan sekatan pergerakan, keadaan yang akan dikaji semula awal minggu depan dan sesetengah menteri mencadangkan ia mungkin perlu dilanjutkan kerana masih ada individu yang melanggar peraturan ketat itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-