Showing posts with label Perdana Menteri Britian. Show all posts
Showing posts with label Perdana Menteri Britian. Show all posts

Tuesday, April 7, 2020

PM Britain dimasukkan ke ICU, simptom Covid-19 bertambah teruk

Reuters
-April 7, 2020 9:55 AM
Boris Johnson dimasukkan ke Hospital St Thomas di tengah London pada lewat malam Ahad lalu selepas mengalami simptom berterusan, termasuk suhu badan tinggi lebih 10 hari.
 (Gambar AP)

LONDON: Simptom Covid-19 yang dialami Perdana Menteri Britain, Boris Johnson bertambah teruk menyebabkan beliau terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi pada Selasa, manakala menteri luarnya memangku jawatannya ketika negara itu berdepan krisis koronavirus.

Johnson, 55, dimasukkan ke Hospital St Thomas di tengah London pada lewat malam Ahad lalu selepas mengalami simptom berterusan, termasuk suhu badan tinggi lebih 10 hari.

Keadaan merosot dengan cepat dalam 24 jam dan beliau dipindahkan ke ICU – di mana kebanyakan kes serius dirawat. Walaupun beliau diberikan oksigen, pejabatnya berkata Johnson masih dalam keadaan sedar.

Downing Street berkata, pemindahan Johnson ke ICU “sebagai langkah berjaga-jaga jika beliau memerlukan ventilator untuk membantu pemulihannya”.

Johnson disahkan positif Covid-19 pada 26 Mac lalu, pemimpin kuasa utama dunia yang pertama dijangkiti virus itu.

Selepas 10 hari menjalani kuarantin di sebuah pangsapuri di Downing Street, beliau terpaksa dimasukkan ke hospital kerana masih mengalami suhu tinggi dan batuk berterusan.

“Tidak syak lagi keadaan ini bermakna Boris Johnson sangat sakit,” kata Derek Hill, seorang profesor pengimejan perubatan di Universiti Kolej London (UCL).

Istana Buckingham berkata, Downing Street sudah memberitahu Ratu Elizabeth mengenai keadaan Johnson dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berkata semua rakyat AS berdoa untuk pemulihannya.

Johnson dan menteri kesihatannya disahkan positif Covid-19 bulan lalu, manakala ketua penasihat perubatannya, Chris Whitty menjalani kuarantin di rumah.

Tunang Johnson berusia 32 tahun yang sedang hamil, Carrie Symonds, turut mengalami simptom, tetapi beliau sudah pulih.

Britain tidak mempunyai rancangan peralihan kuasa rasmi jika perdana menteri tidak mampu menjalankan tanggungjawabnya.

“PM meminta Setiausaha Luar, Dominic Raab untuk mewakilinya di mana perlu,” kata Downing Street.

Beberapa jam sebelum itu, pejabat Johnson berkata, beliau dalam semangat baik dan Raab memberitahu sidang media yang perdana menteri masih mengetuai kerajaan.

Kerajaan terus berfungsi

“Fungsi kerajaan masih diteruskan,” kata Raab, 46, dalam nada sayu kepada wartawan sambil menambah Johnson sedang dirawat pasukan perubatan cemerlang.

“Fokus kerajaan ialah memastikan arahan perdana menteri, semua rancangan untuk kita menewaskan koronavirus serta mengharungi cabaran ini diteruskan.”

Angka kematian rasmi di United Kingdom mencecah 5,373 orang dan menteri kesihatannya pada minggu lalu berkata, ia mengunjurkan kemuncak kematian Covid-19 pada 12 April ketika sambutan Hari Easter.

Negara itu sedang melaksanakan sekatan pergerakan, keadaan yang akan dikaji semula awal minggu depan dan sesetengah menteri mencadangkan ia mungkin perlu dilanjutkan kerana masih ada individu yang melanggar peraturan ketat itu.

Friday, July 31, 2015

PM Britian gesa Najib selesaikan skandal rasuah, mahu Anwar diberi rawatan

Perdana Menteri Britain David Cameron bercakap di depan tetamu pada satu majlis di Kuala Lumpur, semalam. – Gambar Reuters, 31 Julai, 2015.

Perdana Menteri Britain David Cameron yang mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Najib Razak semalam meminta perdana menteri Malaysia itu menyelesaikan masalah kerajaan seperti skandal rasuah, lapor akhbar United Kingdom (UK), The Telegraph.

Cameron mengadakan perbincangan panjang dengan Najib dalam lawatannya bagi mengukuhkan hubungan perdagangan dan sempat menggesa Putrajaya memberikan rawatan sewajarnya kepada pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menjalani hukuman 5 tahun penjara atas kesalahan meliwat, lapor akhbar berkenaan.

Penasihat keselamatan negara Sir Kim Darroch dilaporkan The Telegraph berjumpa dengan anak perempuan Anwar, Nurul Izzah yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai bagi berbincang tentang kebebasan media dan rawatan ayahnya.

Cameron pada ketika ini didesak beberapa pemimpin pembangkang untuk membatalkan lawatan ke Malaysia ketika beliau mengarahkan pelabur membiayai projek infrastruktur "Northern Powerhouse" di Britain.

"Tak salah adakan lawatan, tiada apa perlu disembunyikan. Kita perlu berbincang mengenai beberapa isu termasuk isu yang dimaksudkan.

"Kita sering adakan perbincangan dengan masyarakat sivil, pemimpin pembangkang, pejuang anti rasuah dan yang lain-lain dalam lawatan itu nanti," kata Cameron seperti dilaporkan The Telegraph.

Cameron dalam lawatannya ke Malaysia juga sempat bertemu pemimpin masyarakat sivil termasuk wartawan, peguam dan pemimpin kumpulan G25 yang memperjuangkan kebebasan media dan ruang demokrasi yang lebih baik.

Pegawai UK menekankan lawatan ini untuk membina hubungan antara "rakyat" dan bukan pemimpin.

Selepas pertemuan empat mata, difahamkan Cameron mengulangi mesej mahu berjumpa dengan ramai lagi pemimpin kerajaan Malaysia bersama Najib.

Cameron dalam ucapannya di Singapura Selasa lalu mengutuk perbuatan rasuah sebagai "musuh utama" yang menghalang perkembangan serta menyentuh isu migrasi dan al-Qaeda.

"Kita mempunyai hubungan kukuh yang membolehkan kita berbincang tentang beberapa isu sukar. Saya ingin membangkitkan mengenai isu dalam ucapan saya awal minggu ini seperi etika dalam perniagaan dan memerangi rasuah.

"Kita perlu bekerjasama demi masyarakat dan ekonomi yang terbuka," katanya.

Najib kini menerima tekanan akibat skandal kehilangan RM42 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta dakwaan RM2.6 bilion masuk ke dalam akaun peribadinya.

Najib turut menamatkan khidmat peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang menjadi salah seorang ahli pasukan khas menyiasat skandal itu, serta memecat timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana lantang mengkritik isu 1MDB. – 31 Julai, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pm-britian-gesa-najib-selesaikan-skandal-rasuah-mahu-anwar-diberi-rawatan#sthash.ht9gE0eL.dpuf

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-