Monday, November 9, 2020

Mahathir cadang potong 10 peratus gaji kumpulan berpendapatan tinggi

Oleh FAZLI RADZI
malaysiadateline.com
November 9, 2020 7:53 pm


Dr Mahathir Mohamad

Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan golongan miskin terkesan teruk akibat pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan ramai yang kehilangan pendapatan atau pekerjaan.

Justeru, bekas Perdana Menteri dua kali itu mencadangkan agar kumpulan berpendapatan tinggi dalam kerajaan dan sektor swasta melepaskan 10 peratus daripada gaji bulanan mereka bagi membantu golongan terjejas.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata potongan tersebut boleh digunakan untuk menyediakan makanan dan barang keperluan kepada mereka yang tidak bekerja atau hilang punca pendapatan.

“Shafie Apdal (bekas ketua menteri Sabah) mencadangkan potongan gaji menteri sebanyak 30 peratus.

“Itu jumlah yang besar. Saya fikir kumpulan berpendapatan tinggi dalam kerajaan dan sektor swasta harus melepaskan 10 peratus daripada gaji mereka.

“Ia adalah pengorbanan dan saya tidak fikir mereka akan tergugat jika ada had potongan yang munasabah, katakan RM20,000 sebulan,” jelasnya menerusi blognya hari ini.

Mahathir berkata, masih terdapat ruang untuk mengurangkan kos operasi dan pembangunan dalam Belanjawan 2021 dengan menyebut bahawa menteri dan ahli Parlimen diberikan pelbagai elaun.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu menggesa kerajaan agar mengubah suai cadangan Belanjawan 2021 untuk menjadikannya “lebih realistik”.

Beliau menyifatkan jangkaan pemulihan ekonomi dalam belanjawan dengan jumlah peruntukan terbesar dalam sejarah itu sebagai terlalu optimistik.

Sehubungan itu, Mahathir menegaskan beliau tidak perlu “dirasuah” supaya menyokong belanjawan yang dibentang Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November lalu itu.

“Kenyataannya ramai orang tidak gembira. Ini ditunjukkan pada reaksi mereka. Saya berharap belanjawan akan diubah suai untuk menjadikannya lebih realistik. Kami akan menyokongnya.

“Kami tidak perlu diberikan rasuah supaya menyokong. Kami tidak mahu menimbulkan krisis,” ujarnya yang menyatakan terpegun dengan jumlah besar belanjawan itu.

Mempersoal sama ada Malaysia mampu membiayainya, Mahathir berpendapat pendapatan dan cukai korporat tidak akan mencecah dua pertiga daripada angka biasa pada masa-masa biasa memandangkan kemerosotan teruk industri selain industri sarung tangan getah.

“Namun pencapaian Petronas dan industri pelancongan merosot teruk. Dua industri itu merupakan penyumbang utama kepada hasil kerajaan.

“Jangan menjangka bahawa industri baru akan dimulakan semula atau dilancarkan pada 1 Januari.

“Gambaran indah pemulihan akan berlaku sebaik sahaja pandemik Covid-19 berjaya diatasi tidak akan berlaku. Pandemik itu tidak akan berakhir pada Hari Tahun Baru,” tegas Mahathir lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-