Saturday, May 22, 2021

Angka korban makin parah

BERNAMA

Suasana sekitar pengebumian jenazah positif Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL

Kuala Lumpur: Rekod kes harian baharu Covid-19 sekitar enam ribu dua hari berturut-turut pada Rabu dan Khamis memungkinkan kebimbangan Malaysia berhadapan dengan lonjakan sehingga 10,000 kes menjadi kenyataan.

Ini ditambah dengan penularan varian baharu Covid-19 yang lebih ganas dari United Kingdom, Afrika Selatan dan India yang sudah dikesan menular dalam komuniti negara ini.

Kebimbangan ini turut disuarakan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Sempena Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini apabila beliau berkata: "Malaysia kini berada pada titik genting. Dijangkakan jumlah kes harian akan mencecah lima angka dalam tempoh beberapa minggu akan datang."

Penularan Covid-19 yang dilihat semakin parah mutakhir ini menyebabkan kes kumulatif menghampiri 500,000 kes sementara kes aktif dengan kebolehjangkitan melepasi paras 50,000 iaitu kepada 50,171 kes.

Malaysia pernah mencatat kes aktif dengan kebolehjangkitan melepasi angka 50,000 pada 6 Februari 2021 iaitu 50,894 kes.

Sehingga pukul 12 tengah hari Khamis 20 Mei 2021, Malaysia menokok sebanyak 6,806 lagi kes harian baharu dengan Selangor kekal menjadi penyumbang terbesar, sebanyak 2,277 kes.

Ini adalah angka tertinggi sejak Malaysia mengesan kes pertama Covid-19 pada 25 Januari 2020. Lonjakan kes kelmarin mengatasi rekod hari Rabu 19 Mei 2021 iaitu 6,075 kes.

Rekod tertinggi kes harian baharu sebelum ini dilaporkan pada 30 Januari 2021 iaitu sebanyak 5,728 kes dengan Selangor menyumbang kes harian baharu tertinggi iaitu 3,285 kes.

Sepanjang tempoh rangkuman mingguan dari 15 Mei hingga 20 Mei 2021, Malaysia merekod lonjakan kes harian baharu Covid-19 yang konsisten antara 3,000 hingga lebih 6,000 dan dibimbangi boleh mencecah lima angka.

Lonjakan kes harian baharu yang mendadak sejak kebelakangan ini turut mencemaskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana kes yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) terus meningkat, begitu juga bilangan pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan.

Sehingga kelmarin, sebanyak 587 kes direkod di ICU dan 330 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam paparan Facebook peribadi beliau pada 18 Mei 2021 menyebut setakat 18 Mei 2021, kadar penggunaan katil rawatan kritikal/ICU Covid-19 di Lembah Klang, secara keseluruhannya mencapai 89 peratus dan 74 peratus di seluruh negara.
Kakitangan perubatan menstabilkan pesakit Covid-19 didalam transit Unit Rawatan Rapi (ICU) yang dikenali ‘MAEPS Acute Resuscitation And Isolation Area (MARIA)’ di Pusat Kuarantin dan Rawatan Bersepadu (PKRC), Serdang. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Menurut beliau, Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah, Sarawak, Negeri Sembilan mencatatkan penggunaan katil Covid-19 ICU melebihi 80 peratus.

Hospital pula meningkatkan jumlah katil ICU yang diperuntukkan untuk pesakit Covid-19 dengan mengubah fungsi (repurpose) wad biasa. Bagaimanapun, ini juga mengurangkan peluang pesakit bukan Covid-19 untuk mendapatkan rawatan kritikal yang diperlukan.

"Peningkatan kes secara mendadak kebelakangan ini memberi tekanan hebat kepada sistem perkhidmatan kesihatan negara dan adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19," katanya.

Dengan 492,302 kes kumulatif, Malaysia kini di tangga 42 dalam senarai 216 buah negara yang dilanda pandemik Covid-19. Malaysia mengatasi Nepal (488,645 kes) dan di hadapan Malaysia adalah Maghribi (515,758 kes).

Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam kenyataan akhbar mengenai situasi semasa jangkitan penyakit Coronavirus 2019 di Malaysia pada Khamis 20 Mei melaporkan sebanyak 59 lagi kes kematian, tertinggi setakat ini, menjadikan kes kumulatif kematian sebanyak 2,099 kes, melibatkan 58 warganegara dan seorang bukan warganegara.

Daripada jumlah 59 kes itu, Johor melaporkan kes kematian tertinggi iaitu 14 kes, sementara 10 kes di Selangor, lapan (8) kes di Kuala Lumpur, enam (6) kes di Kelantan, masing-masing empat (4) kes di Negeri Sembilan dan Melaka, masing-masing tiga (3) kes di Kedah, Pera dan Terengganu, dua (2) kes di Sarawak, serta masing-masing satu (1) kes di Sabah dan Pulau Pinang.

Kes kematian tertinggi sebelum rekod semalam adalah pada 18 Mei 2021 iaitu sebanyak 47 kes dan daripada jumlah itu, Selangor merekod kes kematian tertinggi iaitu 18 kes.

Selangor juga mencatat angka kematian tertinggi pada 15 Mei (26 kes), 16 Mei (8 kes), 17 Mei (20 kes) dan 19 Mei (19 kes).

Kluster baharu semakin banyak dikesan sepanjang tempoh rangkuman mingguan dan untuk Khamis 20 Mei, KKM mengumumkan sebanyak 24 lagi kluster baharu.

Berdasarkan laporan harian Dr Noor Hisham mengenai situasi semasa jangkitan penyakit Coronavirus 2019 di Malaysia, kluster baharu itu terdiri daripada sembilan (9) kluster tempat kerja, enam (6) kluster keagamaan, tujuh (7) kluster komuniti, satu (1) kluster institusi pendidikan KPM dan satu (1) kluster kumpulan berisiko tinggi.

Rekod kluster baharu sepanjang tempoh rangkuman ini, 15 Mei (15 kluster), 16 Mei (11 kluster), 17 Mei ( 14 kluster), 18 Mei (19 kluster), 19 Mei ( 22 kluster) dan 20 Mei (24 kluster).

Secara keseluruhannya, sehingga 20 Mei 2021 negara merekod sebanyak 1,942 kluster dan 1,426 daripadanya ditamatkan, sementara 516 kluster masih aktif.

Lagi berita berkaitan Covid-19
Disiarkan pada: Mei 22, 2021 @ 7:00am

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-