Monday, May 3, 2021

Kongres PKR terbuka bahas isu kerjasama Umno, audio dikaitkan Zahid-Anwar

malaysiakini.com
Shakira Buang
Diterbitkan 3 May 2021, 3:27 pm

PKR memberi kebebasan kepada para perwakilannya untuk membangkitkan serta membahaskan isu spekulasi kerjasama parti itu dengan Umno mahu pun rakaman audio yang didakwa mengandungi perbualan kedua-dua presiden parti berkenaan.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution berkata ruang seluas-luasnya akan diberikan di pentas Kongres Nasional PKR pada 5 dan 6 Jun depan.

"Kita buka kepada perbahasan daripada wakil negeri, perbahasan Wanita dan perbahasan Pemuda. Kita benar mereka berbahas topik seluas langit dan bumi.

"Dia (perwakilan) nak bahas apa dia bahaslah, lagipun ini kongres nasional tahunan, mereka patut diberi ruang seluasnya untuk diberi pandangan, teguran, setuju tak setuju, mereka boleh sebut apa sahaja termasuk (dakwaan mahu kerjasama dengan Umno, penyebaran audio Ahmad Zahid dengan Anwar)," katanya dalam sidang media di ibu pejabat parti itu, hari ini.

Saifuddin berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada isu yang terpalit kepada presiden Anwar Ibrahim itu akan wujudkan gerakan jajaran politik baru antara Umno dan PKR dibincangkan dalam Kongres parti itu.

Audio yang tular awal bulan ini memaparkan perbualan dua pihak yang didakwa Anwar dan Ahmad Zahid, antara lain berkenaan Perhimpunan Agung Umno dan ucapan ahli parlimen Bagan Datuk itu semasa perhimpunan berkenaan.

Anwar dan Ahmad Zahid menafikan ketulenan video berkenaan.

PKR akan mengadakan kongres selama dua hari pada 5 dan 6 Jun.

Kongres itu akan dijalankan secara maya dan fizikal memandangkan situasi Covid-19 yang belum reda.

Sementara itu, Saifuddin turut memberi jaminan bahawa insiden baling kerusi dan baling batu tidak akan berulang lagi pada kongres kali ini.

"Saya dan pimpinan terus berikan nasihat dan pandangan kepada pimpinan parti, kita dapati pada tahun ini perjalanan di peringkat awal di Cabang lancar.

"Apabila kami tutup mesyuarat cabang pada 2 Mei, semua cabang telah berjaya menjalankan mesyuarat masing-masing kecuali dua cabang yang memohon diberikan lebih masa.

"Daripada laporan mesyuarat cabang, kami dapati di kalangan anggota parti sangat fokus kepada PRU, isu kekuatan parti, isu rakyat dan ia memberikan gambaran awal peranan Kongres Nasional tidak akan berlaku seperti yang telah terjadi sebelum ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-