Tuesday, June 28, 2022

Nazri cabar buat pemilihan parti kalau berani, baharu PRU-15

agendaily.com
27/06/2022
Bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz.

Veteran UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz mencabar supaya pemilihan parti diadakan terlebih dahulu sebelum Parlimen dibubar bagi mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

Ahli Parlimen (MP) Padang Rengas itu berkata tidak wajar sekiranya UMNO hanya mendesak untuk mengadakan PRU-15 tetapi pemilihan parti boleh pula ditangguhkan demi kepentingan politik peribadi individu tertentu.

“Buatlah pemilihan parti kalau berani, …nak hadapi PRU berani …(perlu berani) hadapi pemilihan parti juga. Apa yang perlu dibuat UMNO ketika ini adalah pemilihan bukannya PRU.

“Saya risau kalau tidak dibuat sebelum Disember, UMNO akan dibubar sebab kita ada 18 bulan bermula Jun tahun lalu untuk adakan pemilihan,” katanya lapor BH.

Nazri juga menyahut cadangan yang dikemukakan bekas ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang baharu dipecat supaya Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berundur kerana terpalit dengan banyak pertuduhan di mahkamah.

“Zahid patut tarik diri, …amalan lepas menunjukkan siapa ada kes perlu berundur seperti mana Dr Mohamad Khir Toyo (bekas Menteri Besar Selangor); Tan Sri Muhammad Muhd Taib (bekas Naib Presiden UMNO) dan Tan Sri Rahim Tamby Chik (bekas Ketua Menteri Melaka).

“Malah, sebelum ini, UMNO buat keputusan sesiapa ada kes perbicaraan perlu mengundurkan diri bagi fokus kepada kes supaya kes peribadi tidak dijadikan kes parti.

“Tetapi tak undur diri pula (Zahid) itu yang jadi masalah sekarang,” katanya.

Mengulas berhubung pendedahan Tajuddin semalam, Nazri berkata MP Pasir Salak itu berhak untuk melontarkan pandangan dan bebas mengkritik kerana beliau bukan lagi ahli MT.

“Ia kebebasan bersuara, …Tajuddin dah bukan ahli MKT, jadi orang tidak boleh marah beliau. Beliau cakap benda betul. Biar rakyat dan ahli UMNO membuat keputusan,” katanya lagi.

Jun tahun lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengumumkan UMNO menangguhkan pemilihannya di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) selama 18 bulan.

Ahmad dilaporkan berkata, sudah menemui dan menulis surat kepada Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan (KKM) dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Mei lalu, UMNO juga sudah meminda perlembagaan bagi membolehkan pemilihan parti diadakan enam bulan selepas PRU-15.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-