Tuesday, June 28, 2022

Tajuddin sudah sahkan siapa punca MN jadi porak-peranda, kata PAS

agendaily.com
28/06/2022
Piagam Muafakat Nasional yang dimeteraikan ketika Himpunan Penyatuan Ummah pada 14 September 2019. - Gambar FB
Punca kerjasama Muafakat Nasional (MN) yang terjalin jadi porak-peranda sudah diketahui berpunca daripada siapa, kata Datuk Awang Hashim.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu berkata pendedahan oleh bekas ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman membuktikan selama ini MN jadi huru-hara disebabkan krisis dalaman UMNO sendiri apabila terdapat pemimpinnya yang mementingkan diri sendiri.

“Kenyataan Datuk Seri Tajuddin ini mengesahkan bahawa siapa yang memporak-perandakan MN. Daripada kami? Kami sudah tahu tetapi berdiam diri sebab tak mahu merosakkan perpaduan kita.

“Sebab itu apa saja serangan ke atas PAS, kita tak jawab sangat macam itik patah kaki. Cuma sekali sekala kita bagi reaksi segera kepada serangan PAS dalam MN. Tetapi jawapan daripada Datuk Seri Tajuddin itu adalah jawapan kepada apa yang berlaku dalam MN dari mula lagi sehingga sekarang,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia hari ini.

Zahid ini dilaporkan berkata kerjasama UMNO dan PAS melalui MN perlu dilupakan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

Semalam, Tajuddin mendedahkan pelbagai kepincangan di dalam UMNO, termasuk mengatakan Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berbohong mengenai laungan “No DAP No Anwar” sedangkan pemimpin atasan parti memberi sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PM.

Menurut Tajuddin, Zahid juga sebenarnya mempunyai cita-cita mahu menjadi PM, dan penamaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai PM dan “poster boy” Barisan Nasional (BN) sebenarnya hanya umpan supaya disegerakan PRU-15.

“Tak boleh pakai cerita poster boy ini semua, ini semua umpan… umpan kepada PM supaya dia bersetuju mengadakan pilihan raya (segera).

“Bila ada pilihan raya, dia (Zahid) masih nak bertanding, jadi Presiden parti, kalau menang UMNO, tak menang pun tapi UMNO jadi parti komponen utama dalam kerajaan baharu, dia lah jadi PM,” kata Tajuddin.

Dalam pada itu, Tajuddin juga menggesa supaya Zahid berundur dan melepaskan jawatannya kerana terpalit dengan kes mahkamah yang menyebabkan imej parti tersebut tercalar.

Menyentuh pelawaan PAS Perak terhadap Tajuddin yang kini dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia itu, kata Awang, ia akan dibincang dan diputuskan di peringkat pimpinan parti.

“Sebagai organisasi (parti) kami belum buat apa-apa keputusan. Itu (Pelawaan) hak peribadi, sapa-sapa boleh cakap dan bukan organisasi (parti) punya keputusan.

“Pandangan peribadi dia punya asas fakta yang tak boleh dikeluarkan dia buat tawaran, mesti ada alasan mungkin sebab berlaku di Perak dan PAS Perak yang buat tawaran,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-